15 Oktober 2022, 21:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
KraFikir merupakan bual bicara yang dianjurkan oleh Karangkraf secara dalam talian.

Shah Alam – “Saya memilih untuk menulis novel seram (thriller) kerana genre ini susah dan saya suka perkara yang mencabar,” jelas Arman Jazee dalam “KraFikir Episod Pertama” malam tadi.

Beliau mengakui bahawa penulisan genre seram ini agak sukar berbanding dengan genre lain, namun genre inilah yang menarik minat beliau untuk terus berkarya.

Walaupun beliau mula menulis sejak 10 tahun yang lalu, namun beliau mengakui bahawa jumlah karya yang dihasilkan tidak banyak berbanding dengan penulis lain. Hal ini disebabkan menulis novel merupakan hobi sahaja.

Kongsi beliau lagi, pelibatannya dalam penulisan genre seram disebabkan beliau mendapati bahawa jumlahnya masih sedikit pada masa ini.

Menurut beliau, tambahan pula, sebagai seorang pembaca lelaki, agak janggal untuk membaca karya bergenre romantis atau sastera. Dari situlah munculnya idea untuk menjadi salah seorang perintis yang menghasilkan novel bergenre seram.

Dalam tempoh tersebut, beliau berhasil mengeluarkan sebanyak lima buah novel genre seram, termasuklah Legasi Pejuang yang memiliki tiga siri dan menjadi siri tersohor.

Novel Legasi Pejuang diinspirasikan daripada perjuangan rakyat Palestin yang telah berjuang sejak ratusan tahun dahulu. Arman Jazee memilih untuk menulis karya ini supaya dapat memberikan inspirasi dan memberikan kesedaran kepada masyarakat perihal perkara yang berlaku di sana.

Selain itu, ilham beliau untuk menulis genre tersebut datang daripada novelis terkenal, iaitu Ramlee Awang Murshid. Selain itu, beliau turut terinspirasi dengan karya Tamar Jalis yang berjudul Bercakap dengan Jin.

KraFikir Episod Pertama anjuran Kumpulan Media Karangkraf muncul dengan tajuk “Crime. Action. Thriller” di platform Twitter Space malam tadi. Selain Arman Jazee, bual bicara ini turut membawakan seorang lagi panel iaitu pempengaruh buku atau Duta Buku Jiwa di bawah penerbitan Jejak Tarbiah, Iman Danial Hakim serta dihoskan oleh Asyraf Jebat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.