30 September 2022, 07:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Promosi pratempah kombo “Patah” yang terdiri daripada tiga buah buku terkini terbitan JIWA berjaya dilaksanakan menerusi platform Twitter Space dalam segmen “Curhat JIWA” episod 17 dengan tajuk “Patah Tak Bermakna Kalah” baru-baru ini.

JIWA memilih tema “Patah” pada kali ini kerana novel Yang Paling Patah Antara Kita, karya saudari Ainul Farihah merupakan watak utama atau tema sentral dalam kombo ini, selain buku puisi yang berjudul Lalu Alam mengirim Kaca, karya saudara Akmal Arsat dan buku antologi cerpen, Habuk Bintang, hasil tulisan Kamil Naim.

Menerusi segmen “Curhat JIWA” ini, editor JIWA, saudara Adam menyatakan tema “Patah” ini mengetengahkan maksud pengabsahkan perasaan yang melibatkan emosi seperti sedih, kecewa dan rapuh.

Beliau yang juga merupakan editor novel Yang Paling Patah Antara Kita mengisahkan bahawa saudari Ainul berjaya menterjemahkan watak dalam penceritaannya dengan tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut Ainul, tidak banyak karya yang menceritakan tentang emosi atau jiwa lelaki sebagai tema utama dalam sesebuah karya.

Novel Yang Paling Patah Antara Kita adalah berkisarkan tentang kisah antara empat sahabat lelaki, iaitu Azfar, Firman, Zakwan dan Jimy.

Dalam episod Curhat ini juga, saudara Akmal, penulis buku puisi Lalu Alam mengirim Kaca berkongsi tentang maksud “patah” daripada perspektif beliau, “Bagi saya, tidak salahpun untuk kita menunjukkan sisi kesedihan dan kelemahan kita pada orang lain. Hal ini kerana mengabsahkan perasaan “patah” itu adalah normal kerana itu merupakan emosi seseorang manusia itu.”

Sesi Curhat JIWA pada kali ini dikendalikan oleh Iman Danial Hakim yang merupakan Duta Buku JIWA, manakala panel dalam sesi ini pula ialah saudara Adam (Editor JIWA), Ainul Farihah (penulis novel Yang Paling Patah Antara Kita) dan Akmal Arsat (penulis buku puisi Lalu Alam mengirim Kaca)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.