29 September 2022, 07:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selain kedai buku, Tokosue berhasrat untuk menjadi ruang meraikan seni buat masyarakat. Selain membuka ruang kepada orang ramai untuk membaca dan mendapatkan buku, kedai buku juga boleh menjadi sebuah ruang untuk meraikan penulis dan penggiat seni, sama ada yang masih sedang menyusun langkah mahupun yang sudah selesa.

Tokosue meraikan seni dan buku buat masyarakat, berdasarkan kata-kata yang terpampang di dinding kedai mereka, “Nikmati buku, raikan seni.” Mungkin juga dapat dilihat melalui usaha kedai buku itu menganjurkan pelbagai program dan acara buku dan seni sebelum ini. Mereka telah mempunyai kedai di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur ini sejak Mac lalu.

Bertempat di kedai buku Tokosue, Wisma Central, Tokosue bersama-sama Kumandang Zine dan terbitan Langit telah menjayakan sebuah sesi Open Mic Tokosue yang menampilkan beberapa penyair untuk membacakan puisi dan penggiat seni untuk membuat persembahan akustik.

Sue Emoqwin, pemilik Tokosue berkongsi, menerusi tahun pelibatan dan pemerhatian beliau dalam dunia seni, beliau berasakan ada corak yang sama sahaja dalam konteks suara penulis. Menurut Sue, “Penulis yang muda akan mula bercakap tentang hal-hal yang peribadi. Sama ada tentang hati, perasaan dan konflik peribadi. Setelah lama mereka menulis, atau membaca khususnya, penulisan mereka akan berubah kepada kritikan atau kenyataan sosial mereka.”

Seiring dengan pengalaman, penulis muda ini akan menulis pula berkaitan dengan susun atur dunia sama ada dari segi ketidakadilan, politik dan kegelisahan masyarakat. Bahasa lainnya, penulisan mereka akan semakin matang dalam pemaparan pandangan.

Sue beranggapan bahawa perjalanan penulis yang lazim ini perlu diraikan. Biarpun mereka bermula dengan menulis hal-hal yang mungkin dianggap kecil sesetengah orang, namun kita tetap perlu untuk meraikan tulisan mereka. Pemupukan seperti itu akan menjadi titik tolak mereka dalam membina nama sebagai pengarang.

Hani Jamal turut berkongsi perihal pembacaan puisi beliau pada hari itu sebenarnya adalah tangga yang tinggi untuknya. Beliau sebenarnya tidak pernah berpuisi di khalayak awam sebelum ini. “Sebenarnya berpuisi di khalayak ramai ini adalah menakutkan. Saya memberanikan diri saya untuk buat persembahan pertama dalam Open Mic Toko Sue ini.”

Tambahnya, sebagai pencinta buku, beliau tidak ada jawapan apabila ditanyakan soalan apakah buku kegemaran beliau? “Saya tidak boleh pilih satu tajuk pun kerana saya sayang banyak buku. Jadi, saya tulis tujuh sajak khas untuk dibaca hari ini.” Tujuh sajak itu dibacakan Hani diselang-selikan sedikit perkongsian dalam proses menulisnya.

Art Fazil yang tampil untuk berkongsi tentang buku puisi terbarunya, Selfie dari Jendela KeretapiI, menyatakan pula buku puisi sulung beliau itu pada hakikinya berperanan sebagai diari. Beliau ambil masa tujuh tahun untuk menyiapkan buku itu dan setiap puisi ditulis berdasarkan pengalaman dan pemikiran yang timbul. “Saya bukan penulis prolifik, jadi saya tidaklah menulis setiap hari. Puisi-puisi itu muncul bila saya lalui pengalaman tertentu,” ujarnya

Penulis lirik dan penyanyi itu turut berkongsi bahawa dalam menulis puisi atau lirik lagu, beliau lebih teruja dalam menulis puisi. “Penulisan lirik mempunyai peraturan dan struktur yang perlu diikuti seperti ritma dan melodi. Melalui puisi, saya bebas untuk meluahkan, kerana puisi bersifat bebas. Sekali-sekala, saya suka tulis puisi kerana dapat keluar dari kepompong struktur lirik lagu,” akhirinya ketika mengulas lebih lanjut berkaitan dengan penulisan lirik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.