Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sabtu lalu, Tokosue yang terletak di tingkat pertama bangunan Wisma Central dimeriahkan dengan pengunjung yang meraikan penyair dan artis yang berkongsi bakat. Acara Open Mic Tokosue itu adalah antara acara puisi awal yang diadakan di kedai Tokosue, setelah mereka melabuhkan tapak operasi mereka di tengah kota itu awal tahun ini. Sebelum ini, Tokosue juga menjadi tempat perkongsian buku dan zine dan apresiasi seni.
Beberapa penyair muda dan baharu ditampilkan oleh pihak penganjur antaranya Nadiah, Farah, LIQA dan Hani Jamal yang masing-masing membacakan puisi di khalayak, di antaranya memilih untuk membaca puisi sendiri ada juga puisi pilihan daripada buku-buku kegemaran.
Art Fazil, penulis lirik, penyanyi dan aktivis seni Singapura-Malaysia itu juga tampil dalam acara ini untuk membuat perkongsian tentang buku puisi sulungnya, Selfie Dari Jendela Keretapi. Beberapa karya beliau daripada buku itu sempat dibacakan khas buat khalayak, sebelum membuat persembahan akustik dengan beberapa lagu ciptaan beliau sendiri. Penampilan Art Fazil adalah antara acara yang mencuri tumpuan ramai pengunjung berdekatan.
Acara ini mengajak peminat puisi khususnya yang masih dalam peringkat permulaan untuk memecahkan dinding ketakutan mereka untuk berpuisi di khalayak ramai. Beberapa penulis baharu seperti Hani Jamal sendiri membuat persembahan puisi debutnya di sini. Malah, sejumlah dua daripada pihak penonton sendiri tampil memberanikan diri dan pertama kalinya membaca puisi karya mereka atau karya penyair lain di hadapan penonton.
Selain itu, terdapat juga persembahan akustik daripada Ahmad Rafae, Mirza Danish, Gasko Ali, Honeybadgers dan Riang Nara. Ahmad Rafae, melagukan puisi-puisi penyair sanjungan kontemporari – yang melonjak dalam ranah sastera – seperti Karim Mohd dan Qurratul Ain dengan alunan gitarnya yang memukau penonton.
Open Mic Tokosue dianjurkan dan diadakan di Tokosue sendiri di Wisma Central, Kuala Lumpur. Turut menyokong adalah Kumandang Zine, sebuah organisasi komuniti dan zine sebagai penyelaras teknikal dan rumah penerbitan Langit sebagai pengurus persembahan.