19 September 2022, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Festival Syair, Teater dan Seni Tradisi Antarabangsa 2022 (Setanggi) yang saban tahun diadakan, telah menutup tirai penganjuran buat kali ke-5 dengan jayanya. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara (BITARA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kerajaan Negeri Pahang dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

Bermula pada 15 September hingga 17 September 2022, Setanggi 2022 telah berlangsung di Widad University College, Kuantan, Pahang dengan pelbagai pengisian program yang menarik seperti persembahan teater, forum, seminar, penyampaian anugerah, pertandingan dendang syair dan konsert syair antarabangsa. Program-program tersebut disiarkan secara langsung di beberapa platform seperti laman rasmi Facebook Roslan Madun Rasmi dan Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara, serta pelantar YouTube DBP Malaysia.

Penerima Anugerah Bitara Syair.

Sewaktu Majlis Perasmian yang diadakan pada 15 September 2022 jam 8.30 malam, seramai empat orang penggiat seni puisi menerima Anugerah Bitara Syair 2022 iaitu Dr. Zefri Ariff (kategori Pelestarian) dari Brunei, Encik Fauzi Abdullah (kategori Penyelidikan dan Pemuliharaan), Encik Amir Atan (kategori Pelestarian) dan Encik Noor Kasmara Sokarnor (Kategori Media dan Pelestarian) dari Malaysia. Gelanggang syair juga dibuka dengan persembahan variasi syair asean oleh pendendang syair dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam iaitu Syaimaa Salleh, Muhammad Febriyadi, Syahprizal AR, Sutra Laila dan Pham Gia Lin.

Adefan Teater di dalam Teater Sultan Alauddin.

Majlis seterusnya dihiburkan dengan persembahan Teater ‘Sultan Alauddin: Rakyat Dikendong Islam Dijunjung’ yang ditulis dan diarahkan oleh Encik Roslan Madun sendiri selaku Pengerusi BITARA dan Pengarah Setanggi Antarabangsa 2022. Antara barisan pelakon hebat yang membintangi teater ini ialah Syafiq Ahmad, Natasha Romanof, Zaidi Omar, Silahudin Ahmad, Syed Harris dan Zikry Syed Yaamin.

Pada hari kedua iaitu 16 September 2022, Seminar Syair Antarabangsa telah berlangsung dengan menjemput Dr. Zefri Ariff dari Universiti Brunei Darussalam, Encik Zulkifli Harto iaitu wakil Balai Pelestarian Seni Budaya, Kementerian Kebudayaan dan Pendidikan, Indonesia serta Encik Mohd Fauzi Abdullah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur sebagai pemakalah. Selanjutnya, program diteruskan lagi dengan acara Forum Syair Antarabangsa yang dibarisi oleh panelis berpengalaman seperti  Encik Roslan Madun iaitu Maestro Syair Nusantara, Puan Ida Wati dari Universitas Islam Riau dan Dr. Shafa’atussara Silahudin dari Universiti Malaya. Topik yang dibincangkan dalam seminar dan forum ini adalah selaras dengan tema Setanggi 2022 iaitu ‘Unsur Islam dalam Syair’. Pada sesi malam, Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa kali ke-5 2022 (Peringkat Akhir) berlangsung di mana, 10 orang finalis dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam telah berentap dan Nur Nabihah Shukeri muncul sebagai Juara.

Para Pendendang Syair Yang Membuat Persembahan Sewaktu Konsert Syair Antarabangsa

Memasuki hari terakhir iaitu pada 17 September 2022 , Majlis Penutup diadakan di Widad Convention Centre dengan menganugerahkan Yusrianto Nasution (kategori Pelestarian) dari Indonesia sebagai penerima Anugerah Bitara Syair, manakala Dr. Shafa’atussara Silahudin dari Malaysia dan Pebgo Setiawan dari Indonesia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Biduan Syair Asean. Majlis diikuti dengan Konsert Syair Antarabangsa sebagai penutup penganjuran Setanggi 2022 dengan persembahan hebat daripada pendendang syair antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan istimewa dari Vietnam. Antara individu yang membuat persembahan ialah Roslan Madun, Dr. Shafa’atussara Silahudin, Nur Ameera Nabila, Zafirah Bahiah, Rusmawani Ishak, Pebgo Setiawan, Radika Sofiani, Siska Armiza, Ibnu Zulqarnain, Pham Gia Lin, dan ramai lagi.

Festival Setanggi Antarabangsa konsisten diadakan sejak tahun 2018, bermula di Tanjung Pinang, Indonesia. Kemudian di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Kuantan, Pahang pada tahun 2019. Setanggi tetap diteruskan pada tahun 2020 secara atas talian walaupun seluruh dunia dilanda wabak Covid-19. Selanjutnya, Setanggi diadakan di JKKN Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2021 secara hibrid (bersemuka dan rakaman video) dan baru-baru ini, Setanggi 2022 berlangsung di Widad University College, Kuantan, Pahang.

Setanggi merupakan program tahunan yang menjadi platform pengumpulan keluarga syair dari seluruh nusantara dalam usaha melestarikan perkembangan syair. Program berskala besar ini berada di kelasnya yang tersendiri dan bertaraf antarabangsa kerana ia telah menjalani proses perancangan yang sangat lama dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak, di mana pada tahun yang akan datang, Encik Roslan Madun sendiri mengumumkan sewaktu majlis penutup bahawa, Setanggi 2023 akan diteruskan lagi dengan menjadikan Jakarta, Indonesia selaku tuan rumah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.