13 September 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Buat julung kalinya, pada 12 September 2022, Pusat Budaya dan Seni (PBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Kebudayaan, Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) telah menganjurkan Pertandingan Ekspresi Puisi antara Jabatan UUM.

Pertandingan ini diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022, yang memperlihatkan tujuh peserta daripada pelbagai jabatan dan pusat pengajian di UUM mempamerkan bakat masing-masing di pentas deklamasi puisi. Pertandingan yang berlangsung di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni UUM turut mempersembahkan tarian bidasari oleh Kumpulan Asasi Pengurusan UUM sebagai persembahan selingan.

Tiga panel juri telah diundang untuk menghakimi persembahan peserta, iaitu Encik Saidin Abdullah, Timbalan Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah, Encik Idris Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pemuisi Negeri Kedah, dan Encik Puzi Hadi, Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah selaku Ketua Juri. Dalam penyampaian ulasan oleh panel juri, Encik Saidin Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena, Zaidin Abadi berkongsi beberapa panduan untuk menyertai pertandingan deklamasi puisi.

Sebelum itu, selaku Ketua Juri, Encik Puzi Hadi mengucapkan syabas kepada penganjur pertandingan. “Melalui pertandingan sebegini, kita dapat mencungkil bakat baharu dan bakat terpendam yang ada pada staf yang terdiri daripada golongan pentadbir dan akademik. Kita juga menyaksikan ada peserta yang pertama kali beraksi di pentas pertandingan deklamasi puisi, namun berjaya menampilkan persembahan yang menarik. Ada juga persembahan yang disampaikan secara berduet dan ini sesuatu yang baharu dalam pertandingan deklamasi puisi,” demikian ucapan Encik Puzi Hadi yang turut berbesar hati kerana diundang menjadi Ketua Juri oleh pihak penganjur.

Dalam ulasannya tentang persembahan peserta yang menyertai Pertandingan Ekspresi Puisi antara Jabatan, UUM, Encik Saidin Abdullah berkata, “Secara keseluruhannya, peserta menunjukkan gaya yang hebat, namun nampak kekurangan dalam aspek penghayatan puisi. Tidak dinafikan ada peserta yang mantap dalam gaya dan penghayatan, lantas mempersembahkan deklamasi  puisi yang cukup berkesan,” Tambah beliau lagi, “Semua peserta berjaya memahami isi puisi yang disampaikan dalam pertandingan ini. Apabila memahami isi puisi tersebut, peserta berjaya mempersembahkan deklamasi puisi yang memukau penonton dan juri.”

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengarah I Pusat Asasi Pengurusan UUM, Profesor Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa.

Dalam pertandingan ini, pemarkahan diambil kira dari aspek suara dan gaya. Dari aspek suara atau vokal, penilaiannya dibuat berdasarkan nada dan intonasi yang dipamerkan oleh peserta. Nada itu sama ada tinggi, rendah, melankolik, protes, atau patriotik, bergantung pada isi puisi yang dideklamasikan. Maka itu, peserta harus pandai meletakkan nada mengikut isi puisinya. Penilaian aspek gaya pula meliputi mimik muka, penghayatan, bahasa tubuh dan penampilan. “Tunjukkan mimik muka yang sesuai dengan nada sajak, sama ada sedih, marah, kecewa atau gembira. Begitu juga dengan penghayatan, zahirkan isi puisi kepada penonton melalui gerak tangan dan gerak tubuh yang selaras dengan makna dan isi puisi,” demikian ulas Encik Saidin yang memperincikan aspek pemarkahan dalam Pertandingan Ekspresi Puisi.

Seterusnya, Encik Saidin yang menjuarai pertandingan deklamasi puisi sempena sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri Kedah sebanyak tiga kali berturut-turut telah mendeklamasikan puisi bertajuk “Ayahku Seorang Penjual Roti” hasil karya Zainal Rashid Ahmad.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM, Syahidatul Munirah Badrul Munir diumumkan sebagai Johan Pertandingan Ekspresi Puisi antara Jabatan, UUM melalui deklamasi puisi yang bertajuk “Suatu Malam di Dataran Merdeka”. Naib Johan disandang oleh peserta yang merupakan staf Pusat Pengajian Kerajaan manakala tempat ketiga dimenangi oleh staf dari Pusat Komputer. Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah I Pusat Asasi Pengurusan UUM, Profesor Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa, yang diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan MKSK, UUM dan Pengarah Muzium Pengurusan UUM, Tuan Haji Mohd Fairus Abd Majid.

Untuk rekod, Syahidatul Munirah merupakan penggiat seni dan budaya yang begitu aktif, terutama dalam persembahan teater dan syair. Beliau juga merupakan penulis kreatif yang menulis buku Lela Rentaka dan pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja  anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka ketika berusia 14 tahun pada tahun 2004.

Selaku pengkarya muda, Syahidatul Munirah juga pernah menjadi penghias kulit hadapan majalah Tunas Cipta keluaran September 2021. Beliau yang sudah agak lama tidak menyertai pertandingan deklamasi puisi dan dendangan syair menyatakan kemenangan yang diperolehnya dalam Pertandingan Ekspresi Puisi antara Jabatan UUM adalah sebagai mewakili Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.