12 September 2022, 14:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kosmonaut merupakan buku yang ke-22 dan novel yang ke-18 dihasilkan oleh Lokman Hakim. Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berlangsung pada 3 hingga 12 Jun 2022, Kosmonaut menduduki tangga ketujuh dalam senarai carta 10 judul terlaris buku terbitan DBP pada hari keenam PBAKL 2022.

Kosmonaut, sebuah novel fiksyen sains hasil karya penulis muda, Lokman Hakim tersenarai dalam 50 Malaysian Best Title for International Right bagi tahun 2022. Pemilihan judul buku yang membarisi 50 Malaysian Best Title for International Right ini diusahakan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) saban tahun. Senarai judul buku dibahagikan mengikut kategori seperti kanak-kanak, pendidikan, Malaysiana, fiksyen dan bukan fiksyen. Maka itu, Kosmonaut tersenarai sebagai salah satu judul dalam kategori fiksyen.

Kosmonaut yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2021 mempunyai ketebalan 282 dan dijual dengan harga RM30.00. Novel fiksyen sains ini mengisahkan sekumpulan angkasawan yang terperangkap di ruang angkasa sebaik sahaja Stesen Angkasa Antarabangsa meletup. Pelbagai halangan yang dilalui oleh mereka dan setiap daripada mereka mengalami peristiwa yang berbeza-beza semasa terperangkap di angkasa. Tubuh mereka berubah melalui metamorfosis, iaitu mereka menjadi cahaya dan hidup tanpa jasad. Tubuh dan anggota badan mereka rosak dan hilang tetapi mereka hidup dan berkomunikasi tanpa jasad.

Mereka sebenarnya telah bertukar menjadi phoenix, iaitu kewujudan separa abadi tanpa jasad. Mereka cuba untuk membaik pulih stesen angkasa dan cuba menyasarkan Ceres untuk dijadikan tempat pendaratan. Namun begitu, pendaratan tidak berjalan dengan lancar. Komponen-komponen berkecai dan mereka terpisah. Di Ceres, mereka berhadapan dengan raksasa laut yang besar, iaitu Kraken dan Krolacanth, rahu kegelapan yang ganas.

Ceres merupakan sebuah planet yang menempatkan stesen angkasa manusia dan pada masa yang sama mempunyai makhluk asing yang wujud lebih awal daripada manusia. Watak Samuel, Laura dan Husairi dan Musa terkorban kerana diserang labah-labah axion. Andy pula berjaya masuk ke menara Ceres dan bertemu dengan Frederich yang menceritakan kejadian sebenar yang menimpa mereka yang sebenarnya melakukan eksperimen menjadi pengembara masa. Watak Syuib, Sally, Benedict, Ruby dan Tony menemui Vista Ceres yang menjadi tempat tinggal kosmonaut yang sudah kehilangan identiti. Setelah menempuh pelbagai halangan, mereka berkumpul di sebuah markas, iaitu Vista X yang menempatkan para pengembara masa yang diseliakan oleh sekumpulan manusia berteknologi tinggi. Mereka akhirnya ditukarkan menjadi pengembara masa.

Sememangnya melalui Kosmonaut, Lokman telah mencipta dunia imaginasi yang sangat tinggi, terutamanya dalam menggambarkan watak, latar tempat dan latar masa. Kosmonaut juga memperlihatkan kebijaksanaan Lokman Hakim dalam mengolah cerita yang menarik, sehinggakan apabila membaca novel ini, pembaca akan membayangkan keadaan latar tempat di angkasa dan pasti merasakan diri mereka seperti menonton filem Hollywood.

Judul ini terpilih sebagai judul terbaik dalam kategori karya fiksyen kerana potensinya untuk penjualan lesen hak cipta pada peringkat antarabangsa melalui pesta buku yang berlangsung di luar negara. Kisah yang diketengahkan dalam Kosmonaut juga berpotensi untuk diadaptasi dalam bentuk filem dan diyakini dapat menarik minat syarikat pembuat filem antarabangsa yang mencari novel yang bertemakan fiksyen sains.

Lokman Hakim.

Dalam laman Facebooknya, Lokman Hakim memberitahu “100,500 AU” merupakan judul asal manuskrip yang mengandungi 100 ribu patah perkataan. Disebabkan terlalu tebal, Lokman Hakim memecahkan “100,500 AU” menjadi dua manuskrip dengan tajuk “Kosmonaut” dan “Menjadi Phoenix”. Kedua-dua judul itu diterbitkan oleh DBP dan judul “Menjadi Phoenix” diubah kepada Ketika Waktu Berpilih yang juga terbit pada tahun 2021 dengan ketebalan 359 halaman.

Berkaitan dengan 50 Malaysian Best Title for International Right, MBKM akan menyediakan katalog yang menyenaraikan 50 judul terbaik di Malaysia, dan katalog tersebut akan menjadi medium untuk memperkenalkan buku Malaysia di pesta buku antarabangsa seperti Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt. Melalui katalog itu juga, pihak penerbit di Malaysia yang menyertai pesta buku antarabangsa dapat menjual lesen hak  cipta buku masing-masing kepada penerbit di luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.