20 Ogos 2022, 21:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyertaan yang menggalakkan daripada para penyair muda telah menyemarakkan suasana baharu di atas pentas Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya hari ini. Bertempat di Rumah Pena, Bukit Petaling Kuala Lumpur, seramai 19 orang peserta bertanding mendendangkan pendeklamasian puisi patriotik masing-masing. Johan bagi sayembara tersebut akan bertanding kelak di Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan.

Johan, Noorhisyam Razali
Naib Johan, Istajib Mokhtar.
Tempat ketiga, Mohamad Hakimi.

Setelah hampir tiga jam para deklamator menyampaikan puisi dan sajak masing-masing, Anugerah johan dirangkul oleh Noorhisyam Razali yang mendeklamasikan sajak “Landskap Bangsa” karya Saleeh Rahamad, membawa pulang piala utama dan hadiah wang tunai RM1000. Manakala Istajib Mokhtar yang membawa sajak “Harapan di Hujung Penantian” karya Muhamad Mansur Abdullah memenangi Anugerah Naib Johan dan membawa pulang piala dengan wang tunai RM700. Seterusnya di tempat ketiga, deklamator Mohamad Hakimi Mohamad Rejab membawakan sajak “Citra Bangsa Negara Jaya” karya Ikhram Fadhly Hussin.

Manakala peserta yang menduduki tempat keempat, kelima dan keenam mendapat hadiah sagu hati iaitu Amirul Aiman Helmi, Nur Eleyda Ezani dan Ridzuan Zainal Abidin.

Mengambil kenyataan wakil juri dalam mengulas persembahan para peserta,

Perbezaan markah antara para pemenang tidaklah ketara, malah menimbulkan perdebatan sengit antara para juri untuk menentukan pemenang Johan. Di sebalik ada ruang untuk penambahbaikan, kebanyakan peserta sayembara ini sudah mempunyai ciri-ciri seorang Johan dalam mendeklamasi puisi.

Memetik pula kata-kata Presiden Pena dalam ucapan sebelum perasmiannya, “Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat W.P Kuala Lumpur & Putrajaya memang mengalu-alukan penyertaan pemenang Johan dan Naib Johan sayembara lepas untuk menyengitkan dan menghangatkan lagi pentas sayembara kali ini.”

Menyentuh konteks penyertaan, jelas dari kerusi penonton, kebanyakan peserta yang bertanding dalam sayembara ini adalah dalam kalangan generasi muda. Pemenang tempat kedua iaitu Mohd Istajib Mokhtar, 37, berasakan penyertaan kali ini meriah dengan kehadiran generasi muda. Penyertaan tersebut dapat dilihat sebagai satu peluang dan ruang untuk beliau menambah baik kemahiran diri, selain dilihat sebagai cabaran dalam bertanding.

Bagi johan pula, Noorhisyam Razali melihat peserta muda dalam sayembara ini mempunyai gaya dan teknik yang baharu dan kami juga boleh belajar daripada deklamator muda seperti gaya sebutan yang jelas, teknik pernafasan dan sebagainya.

Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Sayembara tersebut dirasmikan oleh Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Tuan Haji Hassan Alias yang mengalu-alukan kerjasama antara persatuan penulis dan DBP untuk menganjurkan lagi sayembara berprestij seperti ini pada masa hadapan. Turut hadir Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ,Presiden PENA, dan Datuk Haji Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 GAPENA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.