20 Ogos 2022, 18:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Amalan konsep ASAM (Asas, Sepintas, Analisis, Mencapah) adalah salah satu gaya yang boleh diamalkan ketika membaca, bukan semata-mata membaca untuk kepuasan diri tetapi juga sebagai penulis, ia merupakan formula mudah dalam menelaah hasil penulisan lain untuk belajar akan kekuatan dan kelemahan karya tersebut.

“Penulis perlu ada ilmu dan perlu mengembangkan ilmu dengan pembacaan, pengalaman dan pengamatan, terutama karya-karya besar yang pernah dihasilkan dulu,” ujar Azian Mohamed Isa ketika sesi Secangkir Kopi Jam 10 yang diadakan pada pagi ini.

Aspek kreatif dalam kalangan penulis adalah faktor yang dititik berat oleh Azian dalam menghasilkan cerita yang mampu meyakinkan pembaca. Mengulas karya Cinta Sekerdip Embun oleh S. M. Zakir, beliau berpendapat bahawa gaya karangan S.M. Zakir merupakan cerminan kebijaksanaan penulis tersebut, iaitu cerpen itu jelas tertulis dialog antara watak seperti tentang kehidupan, alam, feminisme dan pembaca “disuapkan” dengan elemen tradisi ilmu.

“Seperti dalam karya “Memanah Bulan” oleh Ana Balqis, walau hanya dengan tiga halaman, penggunaan bahasa, pemilihan kata, susunan ayat dan dialog adalah sangat menarik. Pemilihan kata seperti Jemala dan Gandewa serta penggunaan simbol bagi cerpen itu adalah penggunaan yang berkesan dan bermakna,” sambung Azian lagi.

“Membaca teks yang diluar bahasa moden memaksa kita mencari makna dan menyebabkan penulis itu semakin kaya kosa kata. Kita kena selesa menggunakan sesuatu perkataan kerana jika tidak, perkataan tersebut tidak akan sebati dan senada dengan penulisan”, ujar Nisah yang turut bersetuju dengan saranan Azian

Nisah turut menasihatkan kepada penulis baharu supaya menelaah terlebih dahulu sesuatu topik atau watak untuk penceritaan yang lebih baik dan bukan hanya meletakkan ia dalam penulisan tanpa pemahaman yang mendalam.

“Seperti watak Gilgamesh, Odysseus dan sebagainya, jika tidak faham, mulakan carian dengan edisi yang lebih mudah seperti versi kanak-kanak dan kemudian beralih kepada bahan yang lebih serius, dalam dan mencabar,” sambung Nisah.

Tambah beliau, jika penulis hanya pernah membaca teks sejarah Melayu, ambillah teks itu. Yang penting adalah kita faham apa yang terdapat dalam teks itu dan kita boleh memberi tafsiran dan makna dan kita masukkan dalam cerpen seperti yang pernah dilakukan oleh Saifullizan Yahaya.

Aspek yang penting dalam inter-teks harus mempunyai olahan dan hasil olahan tersebut seharusnya dapat menghasilkan makna baharu. Sekiranya penulis menghasilkan makna yang sama, tanpa membuat olahan, maka ia merupakan karya ciplak (plagiat).

Rozninah turut sama bersetuju dengan Nisah menambah bahawa tiga asas inter-teks iaitu mengambil, meminjam dan transformasi bahan boleh menjadi dasar kepada cerita atau sebagai sampingan yang bantu mengukuhkan cerita.

Walau bagaimanapun, beliau lebih menekankan perbezaan antara cerpen dan anekdot dalam kalangan penulis. Beliau turut mengingatkan bahawa kedua-dua jenis karya ini adalah berbeza, iaitu penulisan cerpen mesti mempunyai plot, watak dan tema dalam cerita.

“Cerpen ada dialog dalam penulisan untuk hidupkan cerita dan ciri yang penting untuk setiap cerpen adalah tertumpu kepada falsafah dalam cerita, sebagaimana yang terdapat dalam cerpen “Memanah Bulan”,” ujar Rozninah.

Sesi itu turut membincangkan karya Abdullah Hussain, “Nagasaki” dan tentang sistem fragmen bintang tiga yang digalakkan dalam kalangan penulis baharu untuk memisahkan latar cerita bagi melancarkan pengalaman membaca.

“Kekuatan Abdullah Hussain adalah menggunakan gaya bahasa Kata Bual ketika mengaplikasikan teknik imbas kembali. kita kena faham bahawa gaya bahasa Kata Bual yang menghidupkan cerita ini menjadikan naratif itu beremosi,” katanya.

Penulis perlu menguasai empat jenis Kata Bual atau turut dikenali sebagai Bahasa Ujaran, untuk menghasilkan karya yang tidak berlarutan atau jalan cerita yang meleret.

Pada akhir perbincangan itu, para penulis tersebut menekan akan kepentingan untuk menguruskan jumlah watak dengan baik, iaitu jumlah watak yang digalakkan adalah antara empat hingga lima watak yang mampu menggerakkan jalan cerita hingga penghabisan dengan baik.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.