18 Ogos 2022, 23:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Apabila bercakap tentang sastera, kandungannya agak berat dan serius, malah penulisannya bersandarkan fakta dan penulisnya perlu membuat kajian serta memastikan fakta itu betul, tepat dan tidak melanggar sensitiviti.”

“Hal ini disebabkan, peristiwa sejarah pada masa lalu banyak juga menyentuh elemen sensitiviti. Oleh sebab itu, mungkin penulis muda pada hari ini tidak menghasilkan karya sejarah. Walau bagaimanapun, mereka mungkin boleh mengambil karya sastera sedia ada dan mengolah karya tersebut kepada bentuk yang lain dengan mencipta kandungan menerusi media sosial seperti TikTok.”

Demikianlah ulasan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Nurul Julia Alani Henry berkenaan kaedah untuk individu yang terlibat dalam penghasilan karya sastera supaya boleh terus menjadikan karya tersebut sebagai sumber utama dalam memupuk semangat kebangsaan ketika bual bicara Cakna Bahasa di Radio Bernama petang tadi.

Tambah beliau lagi, menerusi penghasilan karya sastera secara moden ini juga secara tidak langsung menggalakkan pengkarya muda untuk terus membaca penulisan sastera yang bertemakan kemerdekaan dan sejarah. Hal ini disebabkan ada dialog yang menarik dan kandungan yang boleh diangkat untuk diketengahkan dalam media sosial tersebut.

Mengakhiri temu bual tersebut, Puan Nurul Julia berharap agar karya sastera dapat terus diketengahkan pada masa ini dengan kaedah yang relevan seperti memanfaatkan semua platform media sosial. Selain itu, beliau mengingatkan bahawa pembangunan negara bukan sahaja terletak pada fizikalnya, malah pada mental dan rohaninya, manakala untuk mengisi rohani itu hanyalah melalui karya sastera.

Bersempena bulan kemerdekaan pada kali ini, DBP telah menganjurkan beberapa pertandingan dan aktiviti menarik seperti Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2022/2023 yang merupakan kolaborasi bersama Persatuan Sejarah Malaysia, jualan istimewa melalui Bahagian Pemasaran dan Pengedaran  dengan tawaran diskaun sehingga 15% bagi buku yang bertemakan sejarah, patriotisme dan kemerdekaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.