18 Ogos 2022, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Persediaan untuk seseorang penulis ini bukannya tentang isu mengenal pembaca, tetapi mengenal dirinya dahulu. Apabila kita mengenal diri sendiri, maka kita tahu apa yang kita boleh beri kepada orang ataupun sumbangan besar yang kita dapat berikan, barulah kita dapat merencana projek penulisan ataupun pengkaryaan.” Berikut merupakan mukadimah Tuan Zamri Mohamad sebagai ahli panel jemputan dalam “Episod Khas: Kolaborasi Booktube Malaysia dengan Himpunan Penulis Swaterbit” menerusi pelantar Facebook rasmi Booktube Malaysia, malam tadi.

Zamri Mohamad menegaskan bahawa dorongan daripada diri penulis itu sendiri, iaitu matlamat mereka dalam penulisan merupakan aspek terpenting yang perlu dititikberatkan sebelum menulis.

Hal ini disebabkan seseorang penulis itu tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam penulisannya, maka penulis itu hanya menjadi “penulis ikut-ikutan” yang kabur hala tujunya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut berkongsi dua perkara utama yang perlu diambil kira untuk menjadi penulis terbaik iaitu dengan bertanya kepada diri sendiri tentang “apakah tujuan kita menulis?” dan “apakah kelebihan diri kita?”.

Mengulas lanjut berkenaan “kelebihan diri”, beliau menggambarkan dengan satu situasi, apabila seseorang itu berasa gembira dan tidak penat untuk berkongsi mengenai perkara tersebut sehingga boleh membincangkannya dalam tempoh masa yang lama tanpa disedari.

Dalam Facebook saya, tip penulisan yang saya berikan adalah bertujuan untuk meretakkan keraguan dan melihat dari sudut potensi serta peluang yang boleh dicapai. Saya tidak penat untuk bercakap tentang perkara tersebut setiap hari sebab saya percaya bahawa manusia akan terus ke hadapan selagi dia tidak berputus asa dengan rahmat Allah dan hidup bersandarkan dengan harapan yang baik pada masa hadapan.

Program Episod Khas pada kali ini berakhir dengan hadiah percuma daripada pihak penganjur kepada penonton terpilih yang berjaya menjawab soalan daripada ahli panel jemputan. Hadiah tersebut merupakan sebuah buku karangan Ainon Mohd dan Zamri Mohamad yang berjudul Seni Berfikir Kreatif untuk Bisnes dan Hidup.

Terdahulu, pemenang bagi hadiah percuma pada minggu lalu ialah saudara Nizam Wahid dan bakal menerima novel karya Hilal Asyraf yang berjudul Hikayat Satria-satria Sejati Siri Pertama.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.