11 Ogos 2022, 07:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
“Episod Khas: Kolaborasi Booktube Malaysia dengan Himpunan Penulis Swaterbit” menampilkan Hilal Asyraf sebagai ahli panel bagi mengupas dengan lebih lanjut berkaitan dengan penulis swaterbit.

Kuala Lumpur – Penulis swaterbit perlu bersedia untuk memposisikan diri bukan sahaja sebagai penulis, malah sebagai pengurus perniagaan yang baik apabila menerbitkan buku tanpa rumah penerbitan.

Demikianlah yang diperkatakan oleh ahli panel jemputan, Hilal Asyraf yang merupakan pemilik Hilal Asyraf Resources semasa bersiaran secara langsung dalam program “Episod Khas: Kolaborasi Booktube Malaysia dengan Himpunan Penulis Swaterbit” menerusi pelantar Facebook rasmi Booktube Malaysia, malam tadi.

Dalam program tersebut, Hilal turut berkongsi faktor utama yang mendorong beliau untuk menerbitkan karya sendiri melalui syarikatnya. Beliau berkata, “Saya menganggap transisi daripada berada di bawah rumah penerbitan lain kepada penerbitan ini sebenarnya gegaran  daripada Tuhan.”

Mengulas lanjut berkenaan hal tersebut, Hilal menjelaskan bahawa pada masa itu, beliau terlalu selesa berada di bawah syarikat penerbitan dan mula kurang mengambil serius dengan dunia penulisan dan tidak terlalu fokus dalam dunia buku. Sebaliknya, beliau cuba untuk berjinak-jinak dalam bidang seminar sehingga beliau diuji dengan tidak dibayar royalti pada waktu yang ditetapkan. Walaupun hampir berputus asa, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit dan terus melahirkan syarikatnya sendiri.

Pada masa yang sama, Hilal Asyraf juga mula memperbaharui genre penulisannya berbanding dengan sebelum ini yang lebih berfokus kepada genre bukan fiksyen berbentuk motivasi islamik kepada genre fiksyen aksi yang masih mengekalkan nilai-nilai dakwah Islam.

Berdasarkan perspektif beliau sebagai seorang penulis, Hilal berpendapat bahawa penulis swaterbit boleh memposisikan diri atau karya mereka sebagai daya penarik untuk nilai komersial karya. Selain itu, terdapat penulis yang berjaya menarik pembaca mereka melalui diri mereka sendiri, baik dari segi personaliti yang bijak dalam menarik pembaca mahupun dari segi paras rupa penulis tersebut.

Namun demikian, beliau lebih memilih untuk memposisikan karyanya berbanding dengan dirinya melalui visi yang tersendiri.

Aku hendak apabila orang bercakap tentang karya yang bagus, karya yang baik, karya yang sihat, karya yang mengingatkan orang kepada Allah, aku nak orang cakap, karya Hilal Asyraf.

Mengakhiri program tersebut, Hilal sekali lagi menegaskan bahawa untuk berkecimpung dalam dunia swaterbit secara sepenuh masa perlu memiliki perancangan yang rapi terutama dari segi pengurusan dan perbelanjaan. Beliau turut menasihati supaya tidak terburu-buru meninggalkan pekerjaan sedia ada, sebaliknya mulakan swaterbit secara perlahan-lahan dengan membina asas yang kukuh, membina jaringan yang mantap dan mendalami selok-belok dalam bidang ini.

Program Episod Khas pada kali ini berakhir dengan aktiviti hadiah percuma daripada pihak penganjur, iaitu sebuah novel karya Hilal Asyraf yang berjudul Hikayat Satria-satria Sejati Siri Pertama.

Turut hadir sebagai hos bersama-sama dalam Episod Khas kali ini ialah AJK Eksekutif Booktube Malaysia, Puan Norsamila Samsudin, manakala hos tetap program, Hafiz Latiff selaku Presiden Booktube Malaysia. Program ini akan terus bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu, pukul 9.09 malam di Facebook Rasmi BookTube Malaysia dan Himpunan Penulis Swaterbit  hingga 21 September 2022 nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.