4 Ogos 2022, 07:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur –Ketua Pengarah Urusan (CEO) Jejak Tarbiah Publishing House, Puan Saadiah Ali dan Pengarah Urusan Bookhero, Puan Siti Nazuha muncul sebagai panel dalam bicara khas Booktube Malaysia dengan kerjasama Himpunan Penulis Swaterbit bertajuk “Wanita yang Mengayun Dunia Buku” di Facebook rasmi Booktube Malaysia dan Himpunan Penulis Swaterbit malam tadi.

Dalam bual bicara yang dikendalikan oleh Presiden Booktube Malaysia, Hafiz Latiff pada malam tadi, dua figura wanita ini berkongsi perjalanan jatuh bangun mereka sebagai pejuang dalam dunia buku.

Siti Nazuha mula berkecimpung dalam dunia percetakan sejak lapan tahun yang lalu ketika tahun akhir pengajiannya di universiti bersama-sama suaminya dan berjaya melebarkan sayap sehingga berjaya membuka lima buah cawangan. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa mengecilkan operasi selepas COVID-19 melanda dan fokus kepada bidang percetakan buku sahaja.

“Kami membuat keputusan pada masa itu dengan melihat kekuatan syarikat dan kami kenal pasti percetakan buku yang paling utama. Jadi kami jual segala mesin yang tidak berkaitan dan fokus kepada percetakan buku,” jelas beliau yang berkongsi pengalamannya dalam siaran langsung tersebut.

Saadiah mula serius dalam dunia buku bermula pada tahun 2012 dengan mengasaskan sebuah kedai buku dalam talian, disusuli dengan Komuniti Buku Jejak Tarbiah pada tahun 2014 yang memfokuskan acara, seminar, kembara, serta jualan dan penerbitan buku.

Beliau berkata, “Pada fasa awal, Jejak Tarbiah hanya menjual buku Buya Hamka dan diteruskan dengan judul lain. Lalu pada tahun 2016, baru kami mula masuk ke dalam dunia penerbitan.”

Tambah beliau lagi, berlaku peningkatan jualan buku sejak April 2020 apabila COVID-19 melanda sehingga Jejak Tarbiah berjaya berkembang daripada enam orang pekerja kepada 20 orang pekerja tetap dan lima orang pekerja bebas.

Walaupun Jejak Tarbiah terkenal dengan buku tokoh, namun apabila menyentuh berkaitan dengan cabaran dalam menerbitkan buku tokoh yang telah meninggal dunia, Saadiah mengakui terdapat juga kegagalan dalam mendapatkan hak cipta di sebalik kejayaan penerbitan buku tersebut kerana tidak mampu memenuhi permintaan waris tokoh berkenaan dari segi jumlah royalti dan lesen yang besar.

Sementara itu, Siti Nazuha menghadapi cabaran yang berbeza apabila harus berhadapan dengan ragam penerbit buku yang memerlukan cetakan segera dan kumpulan swaterbit yang terdiri daripada penulis pemula.

Dalam bahagian akhir bual bicara ini, Saadiah dan Siti Nazuha berkongsi jawapan yang sama berkenaan ikon wanita yang menjadi inspirasi kepada mereka iaitu bonda mereka yang tercinta.

Terdahulu, Saadiah menyatakan R. A. Kartini, sebagai penulis wanita kegemarannya, manakala Ainon Mohd merupakan penulis wanita kegemaran Siti Nazuha.

Himpunan Penulis Swaterbit adalah sebuah program kepada kumpulan penulis yang berminat untuk meningkatkan nilai komersial mereka melalui penulisan. Layari Facebook rasmi Himpunan Penulis Swaterbit bagi maklumat lanjut berkenaan program tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.