26 Julai 2022, 21:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Secangkir Kopi yang kini bersiaran pada musim keenam telah menemui khalayak pengikutnya dengan siri pembuka, “Membaca Sebagai Penulis”. Siri pada kali ini menampilkan tiga figura yang sinonim dengan program itu iaitu Nisah Haron sebagai moderator, Azian Isa dan Rozninah Abd Azib sebagai panel.

Cinta Sekerdip Embun. (Sumber: Goodreads)

“Membaca Sebagai Penulis” membuka semula perbincangan inti pati dalam cerpen era hujung tahun 90-an iaitu “Jurai Palma” karya Siti Zainon Ismail, “Permainan Kematian” karya Azmah Nordin dan “Persidangan Agung Wanita Klasik” karya Nisah Haron. Ketiga-tiga cerpen ini dipetik daripada buku Antologi Cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996-2005, Cinta Sekerdip Embun.

Menurut Nisah Haron, ketiga-tiga cerpen ini dipilih kerana kedudukannya sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana yang menurutnya mempunyai kelainan berbanding dengan Anugerah Sastera Negara. Baginya, karya yang mendapat Hadiah Sastera Perdana memang dinilai secara khusus terhadap karya itu sendiri yang mewakili eranya.

Oleh itu, Azian Mohamed Isa yang mewakili pembaca generasi kini telah melakukan pembacaan secara ekstensif dan melakukan ulasan terhadap ketiga-tiga cerpen tersebut. Secangkir Kopi merupakan program yang memfokuskan perkembangan seorang penulis pemula dan Azian merupakan antara produk yang boleh dibanggakan, hasil daripada bimbingan yang telah diberikan. Azian yang belajar bersama dengan penulis yang berpengalaman dalam dunia sastera tempatan seperti Nisah Haron dan Rozninah sehingga Azian berjaya menerbitkan cerpen dalam majalah Dewan Bahasa.

Kini, Azian cuba mengulas tiga buah cerpen yang telah dihasilkan jauh dua dekad lepas, hasil karangan tiga pengarang wanita yang mencabar teknik sastera, yang mendalam maksud dan mesejnya.  Azian akui sebagai pembaca, yang paling beliau utamakan dalam membaca adalah “kesan”. Menurut beliau, membaca itu umpama kata kunci dan kita memerlukan kata kunci tersebut untuk masuk ke dalam karya si penulis dan menjumpai diri penulis dalam karyanya.

Sambung Azian lagi, ketiga-tiga cerpen ini sangat rencam dan berbeza. Namun begitu, terdapat unsur persamaan atau unsur sepunya yang tidak dapat dinafikan, antaranya ialah ketiga-tiga pengarang cerpen tersebut ialah wanita, cerpen disiarkan sebelum abad ke-21, manakala satu unsur sepunya yang paling menonjol adalah ketiga-tiga cerpen memanfaatkan dua latar masa atau ruang yang berbeza dalam sebuah cerita.

“Aspek penggunaan dua latar masa atau ruang ini, dapat dilihat pada “Jurai Palma” yang bijak dengan menggunakan teknik imbas kembali dalam karnyanya. Manakala dalam “Permainan Kematian” pula, Azmah Nordin bermain dengan ruang siber mengiringi dunia realiti. Seterunya, “Persidangan Agung Wanita Klasik” pula dengan babak monolog dan perdebatan dalam diri seorang peguam dengan memilih jalan untuk memajukan dirinya dalam karier,” ulas beliau.

Azian juga berkongsi, dalam usaha untuk membina jambatan yang menghubungkan diri penulis dengan karya mereka, kata kunci itu harus dicari. Kata kunci atau inilah yang dapat diperoleh dengan pembacaan yang berstruktur. Kata kunci tersebut hanya dapat didapati setelah membaca cerpen ini berulang kali. Contohnya dalam “Jurai Palma”, kata kunci paling kuat dalam cerpen itu ialah ‘akar’. Kata ‘akar’ itu mengaitkan watak ceritanya dengan perbuatan bernostalgia, mengingatkan kita (pembaca) kepada asal-usul.”

Cerpen “Permainan Kematian” pula terpapar sebagai karya yang menyatakan fenomena teknologi dan kesannya kepada manusia. Dalam cerpen tersebut, penulis telah mengambil semangat juang wanita yang sukar untuk difahami dan ditafsirkan secara terus yang membuktikan bahawa “Permainan Kematian” sebenarnya merupakan sebuah cerita monolog.

Cerpen ketiga, “Persidangan Agung Wanita Klasik” pula menonjol melalui kata persidangan itu sendiri. Persidangan menggambarkan situasi perbincangan sekumpulan orang di sebuah meja bulat, yang membangkitkan permasalahan untuk menemui kesepakatan melalui hujah. Menerusi cerpen ini, unsur bersidang sendiri cukup kuat dalam tanah fikiran wataknya walaupun tiada meja bulat dan ahli panel secara terang.

Tonton episod Secangkir Kopi di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.