19 Julai 2022, 21:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Yusnorsyazana bergambar bersama dengan mentornya, Halimatun Zaharah Ali (Galuh Cendra Kirana).

Johor Bahru – Penantian seorang penyair, Yusnorsyazana Mohd Yunos untuk ditauliahkan daripada Akademi Syair Nusantara sejak setengah tahun yang lalu berakhir apabila Majlis Graduasi Adiguru Syair Cendana berjaya dijalankan baru-baru ini. Namun hajatnya untuk hadir sendiri ke majlis itu tidak kesampaian apabila beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sejak 12 Julai yang lalu kerana disahkan menghidap penyakit Plasenta Previa tahap tiga.

Yusnorsyazana yang telah berjaya menamatkan pengajiannya di Akademi Syair Nusantara.

Yusnorsyazana atau lebih mesra disapa sebagai Yus merupakan seorang arkitek di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Yus telah ditauliahkan dalam majlis ringkas yang sangat istimewa oleh mentornya sendiri iaitu Halimatun Zaharah Ali (Galuh Cendra Kirana) atau nama panggilannya “Keklin” ketika beliau melawat Yus di Hospital Sultanah Aminah baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Yus turut diberikan buku Syair Lirik karangan Adiguru Tuan Adiguru Roslan Madun dan DVD Adiguru Syair Dendangan Syair Pelajar yang turut termuat karya dan dendangan syairnya. Yus turut berkongsi pengalaman berkenaan dengan cabaran yang beliau dan pelajar yang lain hadapi ketika menghadiri kelas bersama-sama Keklin. Menurut beliau, sering kali terjadi peristiwa yang mencuit hati sewaktu kelas secara dalam talian dijalankan.

Sememangnya banyak peristiwa lucu yang boleh disimpan sebagai kenangan manis. Katanya lagi, hubungan antara mentor dan menti kekal akrab walaupun telah tamat pengajian kerana kami sering berkongsi lagu dan syair masing-masing melalui kumpulan Telegram. Walau bagaimanapun, Yus berkata bahawa beliau tidak akan mampu menghabiskan pengajian ini tanpa sokongan suaminya, Syawal Fatah yang memberinya ruang dan waktu untuk menghadiri kelas dan meneruskan minatnya dalam bidang puisi.

Sesungguhnya, minat akan seni dan bahasa itu tidak mengira peringkat umur dan latar belakang. Buktinya, Yus berjaya menamatkan pengajian meskipun menghadapi pelbagai halangan dan cabaran. Sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga, mentor dan rakan menti sendiri ternyata memberikan semangat dan kekuatan sepanjang tempoh pengajian ini.

Perasaan cinta akan sastera dan misi untuk melestarikan puisi tradisional seperti syair itu ibarat nyawa yang turut bernafas segar dalam kehidupan seharian.

Majlis Graduasi Adiguru Syair Cendana yang julung kali diadakan di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Julai yang lalu telah mentauliahkan sebanyak 23 orang pelajar kumpulan pertama sesi Julai hingga Disember 2021 dari seluruh tanah air dengan melibatkan sebanyak lapan orang mentor sebagai guru di bawah seliaan Adiguru Roslan Madun dan Dr. Shafa’atussara Silahudin sebagai teraju utama Akademi Syair Nusantara.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.