17 Julai 2022, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Malam Puisi Islami yang berlangsung baru-baru ini telah diadakan secara dalam talian melalui pelantar YouTube rasmi Universiti Teknologi Mara cawangan Melaka. Majlis ini dihadiri barisan pelajar serta aktivis seni dan puisi dari negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand dengan mengangkat tema Alam dan Kemanusiaan. Malam  Puisi Islami Bilangan 4 ini merupakan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) negeri Melaka dan Persatuan Pelajar Kebudayaan dan Kesenian UiTM cawangan Melaka.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Encik Mohd Riduwan Wahab berkata, Malam Puisi Islami Bilangan 4 ini menjadi sejarah bagi Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan kerana Universiti Teknologi Mara cawangan Melaka dan Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) negeri Melaka bakal menyaksikan karyawan dari negara jiran yang akan mendeklamasikan puisi masing-masing. Beliau juga turut berbesar hati menyambut jalinan kerjasama ini sebagai menyahut semangat Nusantara dalam memartabatkan bahasa Melayu melalui puisi dan nyanyian lagu puisi berunsur Islam.

Penggunaan bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi kelompok rumpun Nusantara ini merupakan keistimewaan yang perlu dimanfaatkan dalam membina hubungan dengan rakan negara jiran melalui tema tentang alam dan kemanusiaan.

Menurut Encik Ahmad Khairuman Md Hasim selaku Penolong Rektor Kampus Jasin, Merangkap Rektor UiTM cawangan Melaka berkata dengan adanya program seperti ini bukan sahaja ia dapat meraikan cabang kesenian, tetapi juga memberikan pendedahan kepada pelajar dan melatih diri pelajar dalam bidang kurikulum.

Selain menampilkan aktivis seni dan penyair dari negara serantau. Turut membuat persembahan ialah mahasiswa Universiti Teknologi Mara cawangan Melaka, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaya, Universitas Malikusalleh Acheh Indonesia, Universitas Negeri Makassar Indonesia, Universiti Fatoni Thailand dan Madrasah Alya Negeri Watan, Kalimantan Timur Indonesia.

Demi memperkasakan dan melestarikan bidang bahasa Melayu, kesusasteraan dan warisan budaya negara serantau dalam kalangan mahasiswa dan generasi muda,  program berbentuk persembahan ini telah dibahagikan kepada dua jenis persembahan puisi iaitu puisi moden yang terdiri daripada deklamasi sajak, monolog dan nyanyian lagu puisi serta puisi tradisional yang terdiri daripada pantun, syair, nazam dan dodoi.

Yang menariknya, persembahan malam puisi tersebut turut memperlihatkan beberapa bakat besar penyajak dan penyair muda dalam bidang penulisan serta deklamasi sajak. Persembahan pembukaan dimulakan oleh Ismahani Idris dengan monolog hasil karyanya sendiri yang bertajuk “Terpanggil” yang mengangkat tema alam sekitar.

Antara lain, persembahan pantun oleh Audry Hrithik  Nur Rauzan dari Singapura yang membawa pantun “Kemajuan” ciptaan beliau yang juga mengangkat tema alam sekitar. Manakala, Nur-akiroh A-wae yang merupakan penuntut Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Patani Thailand lebih memfokuskan tema Islami kemanusiaan pada sajak ciptaannya yang berjudul “Sajak Anak Tiri”.

Audry Hrithik Nur Rauzan dari Singapura yang membawa pantun “Kemajuan”.

 

Nur-akiroh A-wae dari Thailand yang mendeklamasikan sajak “Nasib Anak Tiri”.

Malam Puisi Islami Bilangan 4 ini turut menampilkan bakat muda dari Brunei Darussalam dan Indonesia dengan karya mereka sendiri, iaitu puisi “Dedaunan Yang Mati” oleh Norsusilanita Bahari karya Atin Aswana dan “Kepada Perempuan Yang Ku Seru Emak” karya Muhammad Rois Rinaldi dari Indonesia yang dipersembahkan oleh beliau sendiri. Turut menyerikan malam tersebut ialah penampilan istimewa Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Penampilan istimewa Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.