15 Julai 2022, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kehadiran Mohamad Daud Mohamad di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini boleh diibaratkan “Seperti sirih pulang ke gagang”. Mohamad yang juga seorang penulis dan pengkritik sastera tanah air yang disegani merupakan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, DBP sebelum bersara pada tahun 2011.

Mohamad diundang oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP sebagai pengkuliah bagi Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) yang bertempat di Anjung DBP bagi membincangkan “Teori dan Kritikan: Satu Pendekatan Sastera”. KUPAS tersebut dikendalikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, Saifullizan Yahaya.

Melalui program tersebut, Mohamad membetulkan kesilapan pandangan masyarakat terhadap teori dan kritikan sastera. Katanya, teori dan kritikan perlu ada kerana kedua-duanya merupakan ilmu pengetahuan dan pendekatan untuk memahami, serta menilai karya sastera.

“Oleh itu, setiap karya sastera perlu mengandungi ilmu pengetahuan dan pemikiran untuk diambil oleh pembaca sebagai panduan hidup selain ajaran agama,” jelas  beliau.

Antara contoh karya Sasterawan Negara (SN) yang dibincangkan dalam sesi KUPAS baru-baru ini.

Mohamad memberikan beberapa contoh karya sastera yang mempunyai pemikiran tinggi, iaitu novel Hujan Pagi (SN Datuk A. Samad Said), dan Tunggul-Tunggul Gerigis (SN Dato’ Shahnon Ahmad). Tambah beliau, judul karya tersebut telah menggugah pemikiran pembaca untuk memahaminya.

Menyebut penyair atau penulis muda, Mohamad turut ditanya semasa sesi soal jawab mengenai sikap dan pandangan yang perlu ada pada golongan ini terhadap teori dan kritikan sastera. Beliau juga ditanya apakah mereka tidak layak bergelar penulis jika meremehkannya.

Tegasnya, setiap penulis tanpa mengira muda atau mapan harus banyak membaca kerana dengan amalan sedemikian, seseorang penulis dapat menajamkan lagi pemikiran untuk menghasilkan karya yang ada pemikiran.

“Apa yang penting ialah pemikiran dalam karya agar bermanfaat kepada pembaca dan masyarakat, serta dapat diangkat oleh pengkritik dan sekali gus dapat membantu perkembangan penulis terbabit,” tambah Mohamad yang juga pernah memimpin Persatuan Penulis Kuala Lumpur atau KALAM.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA dan barisan penggiat sastera yang lain seperti Dr. Hanafi Ibrahim, Armin Azhari Salleh, Zaidi Ismail, Shahrun Nizal Mohd. Nor, Ladin Nuawi, Mohd. Isnin Tawaf dan Usman Gumanti Ibrahim

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.