15 Julai 2022, 07:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mengopi Puisi Siri 11 pada kali ini menampilkan Dr. Fahd Razy dan Ainunl Muaiyanah yang disiarkan melalaui platform Twitter.

Kuala Lumpur – Sayembara Puisi Kata-Pilar Siri 3.0 yang dianjurkan oleh Kata-Pilar Books dengan kerjasama Tukang Puisi membuka peluang kepada para pemuisi untuk menghantar karya hingga 15 Oktober 2022.

Bersempena dengan sayembara tersebut, pihak penganjur telah menjemput dua orang ahli panel hakim Sayembara Puisi Kata-Pilar 1.0 dan 2.0, iaitu Dr. Fahd Razy dan Ainunl Muaiyanah dalam program “Mengopi Puisi Siri 11” yang disiarkan secara langsung melalui platform Twitter Spaces @Tukangpuisikatapilar pada malam tadi.

Program tersebut merupakan perkongsian tip daripada kedua-dua ahli panel hakim berkenaan tatacara penulisan dan penghantaran karya puisi khususnya dalam sayembara ini.

Sayembara pada kali ini sedikit berbeza daripada sayembara yang lalu dan sayembara yang lain disebabkan pihak penganjur mencari manuskrip puisi untuk diterbitkan dan bukan sekadar pertandingan semata-mata. Oleh itu, peraturan dalam sayembara ini agak berlainan.

Demikian jelas Dr. Fahd Razy. Tambah beliau lagi, “Dalam sayembara ini, kita boleh muatkan karya yang pernah diterbitkan. Sebaliknya, jika dalam sayembara yang lain, karya yang pernah diterbitkan tidak boleh diterbitkan lagi.”

Walau bagaimanapun, puisi yang pernah diterbitkan itu hanya boleh dimuatkan sebanyak 20 puisi sahaja daripada 50 puisi yang dihantar. Selain itu, kelainan dalam sayembara kali ini dapat dilihat apabila manuskrip pemenang sayembara ini akan disunting terlebih dahulu sebelum diterbitkan tujuannya agar karya tersebut menjadi lebih baik.

Pada masa yang sama, Ainunl juga berkongsi tip berkenaan dengan puisi yang boleh mempengaruhi minat ahli panel hakim dalam mengadili pertandingan ini, iaitu peserta mesti memahami matlamat penganjur sebelum menghantar karya mereka. Selain itu, karya tersebut perlulah memiliki elemen baharu dan mampu memberikan kejutan kepada pembacanya.

Ujar beliau, “Elemen yang mengejutkan ada banyak, antaranya gaya bahasa puisi yang tidak pernah dibaca sebelum ini yang kebiasaanya terdapat pada penulis baharu, selain  gaya penulisan puisi yang berbeza daripada pemuisi sedia ada.”

Terdahulu, pertandingan ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan ketika pertandingan ini mula dianjurkan iaitu menerima penyertaan sebanyak hampir 500 manuskrip yang mengandungi 50 puisi setiap satu mansukrip. Namun demikian, sayembara ini telah tertangguh selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Peserta yang berminat untuk menyertai sayembara ini boleh melayari Facebook rasmi Tukang Puisi dan Kata-Pilar Books bagi syarat dan maklumat lanjut berkenaan  dengan Sayembara Puisi Kata-Pilar Siri 3.0.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.