6 Julai 2022, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Buku  Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang telah berlangsung pada Jun baru-baru ini menyaksikan peningkatan yang tinggi dari segi sambutan pengunjung dan carta jualan. Menyaksikan fenomena ini, BookSurgeon telah mengadakan sebuah sesi diskusi yang bertajuk “Muhasabah PBAKL: Pembeli vs Pembaca” untuk mengangkat perbincangan itu dari sudut pandang penerbit, penjaga reruai, pembeli dan pembaca.

Perkembangan industri buku juga memainkan peranan dalam merubah genre bacaan masyarakat. Situasi tersebut memperlihatkan terdapat beberapa genre yang menjadi tumpuan pembaca pada PBAKL baru-baru ini.

Nazlie Amri menyatakan bahawa antara genre yang menjadi tumpuan ialah fiksyen, motivasi, buku yang menyentuh perasaan, terutama yang memfokuskan penyembuhan diri seperti buku sejarah dan buku terjemahan.

“Dari apa yang ditampilkan oleh FIXI, sebagai sebuah rumah penerbit yang fokus dalam menerbitkan buku fiksyen, mereka berjaya mengumpul hasil jualan lebih kurang RM700 ribu sepanjang pelaksanaan PBAKL baru-baru ini. Manakala untuk buku-buku terjemahan pula, kita lihat penerbit baharu seperti IBDE dan Bibliophile turut menjadi tumpuan pengunjung,” ujar Nazlie.

Manakala menurut Zaidi Abdullah, pemain industri buku tempatan hari ini sebenarnya sudah bersedia untuk menampung kehendak pembaca. Konteksnya adalah dalam menyediakan buku yang selari dengan genre untuk pembaca pada hari ini.

Beliau melihat bagaimana penerbit baharu seperti Jejak Tarbiah dan Iman yang kini mendapat tempat dalam kalangan pembaca. Tambahnya, Jejak Tarbiah berjaya menjual lebih daripada 25 ribu naskhah ketika PBAKL berlangsung baru-baru ini. Mereka sebenarnya bergerak ke arah perubahan genre dalam menerbitkan buku mereka. Perubahan genre juga berlaku atas pengamatan kepada kehendak pembaca.

Selain Jejak Tarbiah, Zaidi menyebut FIXI, Iman, Patriots Publishing merupakan antara penerbit yang sedang menempa nama sebagai penyedia buku yang bermutu. Mereka antara penerbit baharu yang mandiri yang sentiasa berkembang dan bergerak untuk memenuhi kehendak pembaca.

Rumah penerbitan yang “muda” ini juga sebenarnya memang memaparkan perubahan mereka dalam menerbitkan buku yang berkembang genrenya. Seperti Iman Publications yang kini lebih komited untuk menerbitkan buku fiksyen yang berkualiti dan bermutu, Kata-Pilar yang dahulunya fokus pada buku dalam topik medik dan anekdot juga kini lebih giat menerbitkan buku sastera seperti cerpen dan puisi. Malah Bibliophile yang pada awalnya hanya menterjemahkan karya dunia kini turut serta dalam menerbitkan buku fiksyen. Usaha ini menunjukkan kesungguhan rumah penerbit tersebut untuk memenuhi kehendak pembaca.

Zaidi merupakan Pegawai Penerbitan Kanan bagi Penerbit USM dan Setiausaha Jawatankuasa Teknikal MAPIM, dan berpengalaman mengendalikan penglibatan MAPIM di PBAKL sejak tahun 2018 hingga kini. Beliau turut berkongsi dapatan kasar ahli MAPIM yang menyertai PBAKL. “Secara kasarnya, hasil penjualan ahli MAPIM sewaktu PBAKL telah menghampiri nilai setengah juta. Dan apa yang saya boleh kongsikan, penerbit universiti yang mengungguli carta jualan ialah Penerbit UM,” ulas beliau.

Selain itu, Nazlie pula bersetuju dengan kenyataan bahawa sambutan luar biasa di PBAKL tahun ini menunjukkan pola masyarakat yang semakin membaca. Ujar beliau, “Ini merupakan naratif baru, yang mana sebelum ini kita banyak mendengar stigma bahawa masyarakat kita jarang-jarang membaca. Lihat sahaja fenomena di PBAKL baru-baru ini, sambutan pengunjung amat menggalakkan dan bertahan hingga ke hari terakhir.”

Beliau menambah, persoalan tentang adakah mereka (pengunjung PBAKL) baca atau tidak buku yang dibeli itu merupakan satu perbincangan yang lain. Namun perkara yang penting adalah kecenderungan untuk bergerak ke arah budaya membaca itu terpapar jelas semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

Sesi diskusi yang dianjurkan oleh BookSurgeon diadakan secara dalam talian melalui Facebook BookSurgeon.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.