11 Jun 2022, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Amaro merupakan karya terbaharu daripada Liam Toha yang bakal mendekati pembaca generasi muda.

Kuala Lumpur – Program Bicara Buku di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 diteruskan pada petang ini dengan menampilkan Abdul Halim atau nama penanya Liam Toha bersama-sama karya fiksyen terbaharunya, iaitu Amaro. Program tersebut diadakan oleh Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Penerbitan, DBP yang turut menampilkan Dorensia Dyonie sebagai moderator.

Amaro, sebuah novel remaja yang mengisahkan tentang kembara seorang perantis muda di sebuah perpustakaan yang menawarkan dirinya untuk menjejaki sebuah kitab Hikayat Manusia Ajaib yang hilang akibat kecuaiannya sehinggakan membawa dirinya ke sebuah tempat asing yang dilanda sumpahan Kemarau Merah.

Menurut Liam Toha, beliau memilih untuk mengangkat watak orang muda dalam novel ini kerana beliau terinspirasi daripada sebuah projek penulisan semula hikayat Melayu lama yang diberikan nafas baharu sebagai usaha untuk menarik minat generasi muda  membaca semula karya klasik tersebut.

Liam Toha turut berkongsi tentang Hikayat Omar Umayyah yang menjadi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan karya terbaharu itu.

“Dalam projek penulisan ini, ada beberapa hikayat Melayu klasik yang telah ditonjolkan untuk diinspirasikan semula dan saya memilih karya Hikayat Omar Umayyah yang merupakan antara karya terbitan DBP yang saya miliki,” jelas beliau semasa ditemu bual dalam program “Bicara Buku: Menjejaki Amaro Bersama-sama Liam Toha” yang diadakan pada petang tadi.

Amaro merupakan karya Liam Toha yang ke-16 dan merupakan sebuah novel remaja yang bertemakan cinta dan kasih sayang yang merangkumi perasaan cinta sesama manusia, cinta akan ilmu, cinta akan negara dan alam sekitar.

Mengulas lebih lanjut berkenaan dengan karya terbaharunya itu, Liam Toha menyatakan bahawa novel Amaro mempunyai sebanyak 36 bab keseluruhannya kerana mengikut acuan Hikayat Omar Umayyah. Selain itu, jumlah bab tersebut lebih memudahkan beliau untuk merangka keseluruhan cerita dan mengikut kesesuaian tahap pembacanya, iaitu remaja.

Tambah beliau lagi, selain Hikayat Omar Umayyah, penghasilan novel ini sebenarnya banyak diinspirasikan oleh novel Syonagar yang juga merupakan novel terbitan DBP. Oleh itu, beliau berasa amat teruja apabila karya beliau, iaitu Amaro turut berjaya diterbitkan oleh DBP.

Pada akhir program ini, Liam Toha berharap agar pembaca buku terutamanya generasi muda akan lebih terbuka untuk menerima genre penulisan yang pelbagai dan pada masa yang sama, mereka dapat menerapkan nilai-nilai yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut dalam kehidupan seharian. Turut hadir  di reruai DBP semasa program “Bicara Buku: Menjejaki Amaro Bersama-sama Liam Toha” ialah Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Mariati Josepha Mustafa dan para pengunjung pesta buku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.