24 Mei 2022, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Panduan dan pendaftaran boleh dibuat melalui imbasan kod QR.

Kuala Lumpur – Minggu Penulis Remaja (MPR) yang telah melahirkan banyak penulis berprestij dan mapan tanah air kini tampil lagi pada bulan Jun tahun ini. Bertarikh 7 hingga 9 Jun 2022, MPR 2022 akan dilaksanakan secara dalam talian. Program kelolaan Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu begitu komited dan konsisten untuk memastikan peserta MPR akan mempunyai kemahiran menulis yang lebih beridentiti dan bermutu. Hingga kini, MPR yang berusia 37 tahun itu telah melahirkan lebih daripada 600 penulis dalam bidang masing-masing.

Mohd Amizi Ikman, iaitu pegawai  yang bertanggungjawab dalam program MPR pada tahun ini menegaskan bahawa MPR berperanan sebagai platform buat penulis pemula untuk mengembangkan sayap mereka.

Menurut beliau, “MPR ibarat satu pengiktirafan buat penulis muda apabila masing-masing terpilih untuk menyertai program ini.” Tambahnya lagi, MPR sendiri sudah berdiri sebagai jenama penuh prestij yang dikenali dalam kalangan penulis tempatan. Antara penulis tempatan tersebut ialah Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Nisah Haron, Zaen Kasturi dan Ahmad Patria Abdullah merupakan alumni MPR yang kini merupakan antara penulis mapan yang berjaya dalam bidang masing-masing

Seperti slogan MPR, “Sekali menulis, selamanya menulis”, itulah yang harus diterapkan dalam pendirian penulis pemula. Sementara itu, peserta juga boleh melihat MPR sebagai ruang untuk berkumpul bersama dengan pencinta sastera, selain mencungkil bakat yang terpendam.

Bersesuaian dengan peredaran zaman, peserta MPR kini akan didedahkan dengan media penerbitan digital dalam satu sesi bengkel khas yang akan diadakan sepanjang program tersebut berlangsung. Amizi menjelaskan, “Bengkel tersebut secara tidak langsung adalah untuk membantu mereka berkarya seiring dengan perkembangan zaman, memandangkan dunia teknologi kini berkembang dengan pesatnya.”

“Selama MPR dianjurkan, para pembimbing juga dibarisi oleh penulis berpengalaman dan ternama. Seperti penganjuran program terdahulu, kita mempunyai pembimbing seperti Salina Ibrahim, Saifullizan Yahaya, Dr. Fahd Radzi dan ramai lagi,” tambah beliau. Kebanyakan peserta yang lahir daripada program MPR ini telah menjadi penulis yang mapan sehinggakan memenangi anugerah pada peringkat antarabangsa dalam bidang penulisan. Bagi penulis pemula, mereka amat disarankan agar terus menulis dan jangan sesekali berhenti menulis.

MPR merupakan program jangka pendek yang bertujuan melahirkan penulis yang beridentiti dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan penulis muda. Pertama kali diadakan di Sudut Penulis DBP pada 13 hingga 16 September 1985 yang merupakan cetusan idea Tan Sri Johan Jaafar (Ketua Unit Buku Remaja DBP pada ketika itu). Bagi MPR 2022 kali ini, terdapat beberapa bengkel yang akan dimuatkan seperti “Bengkel Penulisan Cerpen”, “Bengkel Penulisan Puisi”, “Bengkel Penerbitan Digital” dan “Sesi bersama dengan Editor Dewan Bahasa dan Pustaka.”

Pendaftaran boleh dibuat di pautan ini sebelum 25 Mei 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.