21 Mei 2022, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2022, Pejabat Perdana Menteri telah menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan rakan kerjasama Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain menampilkan penyair mapan, sayembara yang diadakan di Balai Seminar, DBP turut mendapat penyertaan dalam kalangan penyair generasi muda yang meminati puisi Melayu. Dengan pola umur peserta yang pelbagai, peserta tersebut berjaya memaparkan penyampaian puisi yang berkesan meskipun menggunakan bahasa yang bukan merupakan bahasa ibunda mereka.

Roua Muhanad, penyair muda dari Syria berjaya mendapat tempat ketiga dalam sayembara tersebut.

Seperti Roua Muhanad Alhamad yang mewakili Syria, beliau yang masih berumur 12 tahun itu mendeklamasikan “Sejahtera Bahasaku”, karya Rahman Shaari dengan penuh penghayatan serta menggunakan penekanan nada yang mengesankan. Sebagai seorang kanak-kanak, beliau telah berjaya membuktikan bahawa sastera itu milik semua. Beliau berjaya mendapat tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000, piala dan sijil penyertaan.

Seterusnya, sayembara tersebut menghimpunkan penyair muda lain seperti Abdulmajid Abdirahman (Afrika Selatan) yang mengangkat “Bahasaku Melebar Sayapnya”, karya Roslan Madun, Adelowo Shamsudeen Opeyemi (Nigeria) dengan puisi “Megahnya Peradaban”, karya Saleeh Rahamad, Anna Kuwata (Rusia) dengan “Cuit-Cuit Anak Muda”, karya Mohd Ghazali Taib, Marya Alhamad (Syria) dengan puisi “Bahasa Bonda”, karya Usman Awang dan Maria Kuwata (Rusia) pula membawakan “Kau Hidup dalam Sejarah yang Pulang”, karya Wan A. Rafar.

Sasterawan Negara (SN) Profesor Dr. Siti Zainon Ismail pernah menyatakan hasratnya untuk melihat warga sastera dalam kalangan generasi muda tanah air untuk bersifat lebih komunikatif dan aktif dalam perbincangan sastera.

Dalam hal ini, komitmen dan sambutan yang ditunjukkan dalam kalangan peserta tersebut membuktikan bahawa dunia sastera telah berjaya mendekati generasi muda. Selain itu, sayembara tersebut seolah-olah seruan kepada penyair tanah air untuk meneruskan usaha mengembangkan pergerakan puisi tanah air. Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.