Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Setelah hampir dua tahun menyiapkan karya terbaharu beliau, penulis tersohor, Lokman Hakim hadir dengan senaskhah novel, Jaz Untuk Dayana bagi memenuhi kehendak karya fiksyen sains buat pembaca tempatan. Membangkitkan persoalan tentang cara komunikasi manusia yang terbatas antara jarak dengan waktu serta bagaimanakah manusia menyediakan diri menjadi satu entiti yang boleh melangkaui halangan tersebut, Lokman Hakim lebih selesa meletakkan novel ini dalam kategori fantasi sains.
“Fiksyen sains mempunyai subjek yang dimasukkan dan dianggap realistik, menggunakan unsur sains yang kita sudah sedia tahu dan menurut logik akal. Namun dalam novel Jaz Untuk Dayana, ada beberapa elemen fantasi yang saya kira mustahil untuk dilakukan dalam dunia nyata,” ujarnya.
Mengangkat persoalan yang sama dalam novel Selestial (2016) yang juga merupakan penulisan beliau, Lokman akui titik mula bagi Jaz Untuk Dayana merupakan lanjutan idea daripada novel tersebut.
Mengulas kedudukan genre fiksyen sains dalam dunia penerbitan buku tempatan, Lokman berpendapat bahawa fiksyen sains masih ada tempat dalam kalangan pembaca tempatan, namun harus mempunyai sedikit penyesuaian dan tidak boleh ditulis dengan berat semata-mata tanpa memikirkan jalan cerita yang bagus.
Tambahnya, pada tahun 2014, penerbit masih bereksperimen. Rata-rata jualan buku fiksyen sains pada waktu itu kurang mendapat sambutan dan sukar untuk bertahan. Namun bagi buku yang mempunyai kekuatan dalam penceritaannya atau penulis yang telah sedia mempunyai nama, maka buku tersebut berjaya mendapat perhatian.
“Pada waktu ini saya lihat banyak penulis muda yang bersemangat untuk menghasilkan fiksyen sains dan sering berinteraksi dengan pembaca dalam media sosial. Jadi mereka ini menghidupkan fiksyen sains itu sendiri dengan iringan media sosial untuk mengangkat karya mereka. Selain itu, karya yang ditulis pula lebih ringan dan gerakan ceritanya lebih pantas supaya pembaca tidak begitu penat dengan jargon sains,” katanya.
Dalam bual bicara tersebut, Lokman turut menganggap bahawa pengalaman menulis bagi penulis muda adalah lebih menyeronokkan dengan bantuan dan pendedahan generasi kini kepada media sosial, kajian teknologi terkini dengan pelbagai jenis informasi dan inspirasi filem di luar sana.
Mengakhiri perkongsian beliau mengenai novel ini, Lokman mengatakan momen beliau menulis novel merupakan antara pendekatan beliau untuk memberikan reaksi dengan keadaan sekeliling sewaktu itu, di mana beliau seolah-olah menulis kritikan sosial secara tidak langsung.
“Bagi Jaz Untuk Dayana, saya rasa apabila manusia diberikan teknologi dan kuasa tanpa pegangan akidah, moral dan sempadan, maka ia akan mencetuskan kekacauan dan kerosakan. Oleh itu, manusia harus belajar untuk bina sempadan, satu kerangka moral supaya mereka tidak dirosakkan dengan teknologi tersebut,” akhiri beliau dalam segmen Bicara Karyawan: Jaz Untuk Dayana yang diadakan baru-baru ini.
Tonton Bicara Karyawan: Jaz Untuk Dayana di sini.