Oleh NURIL BAHANUDIN
16 Mei 2022, 19:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perjalanan menjadi seorang penulis bukanlah sebuah perjalanan yang mudah. Setiap laluan pasti ada liku-likunya. Penulis bermula memasuki dunia penulisan ini dengan tidak mempunyai apa-apa kemahiran khusus, mahupun pembimbing secara formal. Penulis hanya menjadikan minat sebagai panduan penulis untuk menggerakkan pena di atas kertas. Tahun 2009 merupakan titik permulaan penulis dalam bidang penulisan ini. Pada awalnya, penulis hanya menjadikan kemudahan dalam Internet seperti blog sebagai permulaan untuk memperkenalkan diri penulis dalam bidang ini.

Perasaan cinta terhadap penulisan karya kreatif tidak hanya terhenti begitu sahaja. Penulis teruskan usaha dengan mencari individu yang boleh membantu penulis untuk lebih serius dan akhirnya penulis menemui laman blog yang dimiliki oleh Dato’ Wan Mohd Muzri yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Penulis memberanikan diri dengan menghantar cerpen yang telah siap ditulis kepada pengendali laman tersebut dan cerpen tersebut berjaya disiarkan tidak berapa lama kemudian.

Sebagai penulis yang baru memasuki bidang ini, sudah tentu akan ada perasaan teruja apabila membaca komen positif yang diberikan oleh pembaca. Lantaran itu, penulis terus bersemangat untuk menghasilkan karya kreatif yang berkualiti.

Selepas menghasilkan beberapa buah cerpen, penulis terus mencabar diri untuk meneruskan langkah dengan menghasilkan sebuah novel pula. Walaupun dihasilkan secara bersiri iaitu penulis menyiarkannya secara berkala pada setiap minggu, penulis tetap berasa teruja. Setiap karya yang dihasilkan pada ketika itu, penulis tidak menerima apa-apa bayaran. Hal ini dikatakan demikian kerana komen positif yang diberikan oleh pembaca merupakan pembakar semangat penulis untuk terus berkarya tanpa mengenal erti lelah.  Hubungan baik antara penulis dengan Dato’ Wan Mohd Muzri diteruskan apabila beliau yang juga merupakan pemilik Penerbitan Karya Seni dan Penulisan2u bertanyakan tentang novel yang dihasilkan dan beliau berhasrat untuk membantu penulis menerbitkan novel tersebut.

Pucuk dicita ulam mendatang, ketika penulis masih mencari hala tuju dalam bidang ini, masih ada insan yang sudi membimbing penulis. Penulis menyerahkan manuskrip tersebut kepada beliau, dan beliau membantu menyerahkan manuskrip tersebut kepada Rizal Abdullah iaitu pemilik syarikat Kaki Novel Sdn Bhd. Sepertimana penerimaan yang menggalakkan dalam kalangan pembaca blog yang mengikuti karya penulis, naskhah tersebut turut berjaya terjual sebanyak 20 ribu naskhah. Sebagai penulis pemula, jumlah tersebut memang mengujakan penulis.

Berkecimpung dalam bidang ini dengan keadaan industrinya yang terhad, penulis perlu memastikan agar kekal relevan dengan karya dan naskhah yang diterbitkan masih menjadi pilihan pembaca. Penulis akui bahawa penulis mempunyai kelemahan dari segi aspek teknikal dalam penulisan. Oleh itu, Izzatul Sakinah Abdullah telah membimbing penulis tentang aspek teknikal dan juga penggunaan tatabahasa yang betul. Lama-kelamaan, penulis belajar menulis dengan menggunakan ayat penuh dan standard. Tidak lagi betah menulis menggunakan singkatan dan mencampuradukkan dengan bahasa asing dalam membina sesebuah ayat.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. (Sumber: Utusan Malaysia)

Sekian lama menghasilkan karya kreatif bergenrekan popular, penulis mula berasa ingin melakukan sesuatu kelainan dari sudut idea dan gaya penyampaian serta penulisan dalam sesebuah karya. Mungkin seiring dengan peningkatan usia, penulis berhasrat untuk menghasilkan karya yang lebih kemas dan tidak terlalu santai. Lantaran itu, pada tahun 2016, penulis mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan kreatif di sebuah institusi pengajian tinggi iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Di ASWARA, penulis memperoleh peluang untuk berguru dengan insan hebat seperti Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Prof. Dato’ Rahman Shaari, A. Rahim Abdullah, Ridzuan Harun, Dr. Azman Ismail, Roziah Adama Siti Raihani dan Susilawati Kamaruzzaman.

Secara jujurnya, penulis tidak pernah menyangka akan bertemu dengan penulis kepada drama pentas Asar Belum Berakhir yang pernah penulis kaji sewaktu zaman persekolahan dahulu iaitu A. Rahim Abdullah. Berbual-bual dengan beliau merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Antara topik kegemaran beliau ketika berbicara adalah berkenaan topik estetika dan semiotik drama pentas Nordin Hassan. Ilmu yang ditimba pada ketika itu amat berharga dan membantu penulis untuk menulis dengan lebih baik pada masa akan datang. Bersempena dengan pesta buku yang bakal diadakan pada awal Jun ini, penulis bersama dengan rakan penulis yang lain akan menerbitkan kumpulan skrip drama pentas yang berjudul Mendam Rindu.

Berguru dengan seorang sasterawan merupakan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh penulis selama ini, SN Dato’ Dr Anwar Ridhwan merupakan antara pensyarah kegemaran penulis. Beliau sangat terbuka menerima idea kami sebagai pelajarnya tanpa sedikit pun memperkecilkan idea yang diberikan.

Penulis mempunyai pengalaman peribadi bersama dengan beliau iaitu ketika membentangkan projek tahun akhir di ASWARA. Ketika penulis bertanyakan komen tentang pembentangan tersebut, beliau berjeda lama dan akhirnya memberitahu penulis bahawa beliau berasa hampa. Jujur pada ketika itu, penulis berasa terkejut dan risau. Akhirnya, beliau menerangkan bahawa beliau hampa kerana gagal menemui banyak kesalahan dalam pembentangan tersebut. Begitulah sifat peribadi SN Dato’ Anwar Ridhwan yang disenangi oleh pelajarnya.

Roziah Adama.

Seterusnya, penulis suka untuk berkongsi kata-kata yang diungkapkan oleh Roziah Adama, iaitu “Alam terkembang menjadi guru.” Membentang dan membedah karya bersama dengan beliau telah menjadikan penulis untuk terus bersemangat. Keperibadian beliau yang sentiasa menunjukkan minat tentang cerita pelajarnya, mendengar rentak suaranya memberikan komen yang membina dan menukarkan idea yang biasa menjadi luar biasa telah membuatkan penulis amat teruja ketika berada di dalam kelas beliau.

Bergelar sebagai pelajar di ASWARA ternyata mampu untuk membimbing penulis untuk menghasilkan karya yang berkualiti. Berguru dengan Susilawati Kamaruzzaman merupakan antara pengalaman yang mengujakan. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau suka menekankan konsep poetic justice dalam setiap karya. Menurut beliau, karya yang baik itu mestilah mempunyai konsep keadilan. Selain itu, beliau selalu memberikan teguran iaitu apabila menghasilkan sesebuah karya, ia harus dihasilkan dengan matlamat yang berpijak di bumi nyata, ada sebab dan akibat serta tidak terawang-awang tanpa hala tuju.

Ridzuan Harun.

Tanggungjawab penulis bukan sekadar menulis semata-mata, namun penulis juga harus memastikan agar penulisan tersebut menggunakan tatabahasa yang betul. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui penulisan, ia mampu mendidik pembaca secara tidak langsung. Ridzuan Harun yang merupakan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem yang juga merupakan penyelia projek tahun akhir penulis telah membimbing penulis dari segi penggunaan tatabahasa yang betul.

Begitulah serba sedikit perjalanan penulis dalam bidang penulisan ini apabila bertemu dan mengait ilmu dengan insan hebat yang merupakan guru penulis. Walaupun telah melebihi sedekad dalam bidang ini, namun penulis masih tetap berasa kerdil dan masih banyak ilmu yang perlu digali dan ditambah baik. Kepada guru penulis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, penulis mengucapkan jutaan terima kasih dengan segala tunjuk ajar yang diberikan. Semoga Allah SWT merahmati hidup kalian. Selamat Hari Guru.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!