13 Mei 2022, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ─ Mula menulis puisi sejak tahun 1970-an, iaitu semasa beliau sedang berkhidmat sebagai guru sekolah rendah, Dr. Lim Swee Tin yang berjaya menghasilkan 300 buah karya kreatif kini merupakan penulis sepenuh masa yang aktif berkarya, menumpukan kepada golongan kanak-kanak dalam hasil kerja beliau yang terbaharu, iaitu Bermain Gerimis.

Keinginan tinggi untuk berkongsi ilmu dalam perkembangan dunia puisi kanak-kanak bersama dengan rakan penulis dan faktor perubahan landskap sosial anak-anak kini mendorong beliau untuk menawarkan sesuatu yang baharu kepada pembaca. Dengan mengangkat pelbagai tema yang meliputi pendekatan terhadap alam sekitar, beliau turut menyatakan tujuan penulisan kali ini adalah untuk merapatkan jurang pengetahuan bagi memberikan pengalaman membaca yang baharu kepada kanak-kanak, tidak kira sama ada mereka menetap di bandar atau pedalaman.

“Ada tema yang sangat dekat dengan anak-anak di bandar dan di kota, akan tetapi asing bagi anak-anak di luar bandar. Barangkali ada anak-anak kita di pedalaman yang jauh dari bandar hanya pernah dengar apakah itu ETS, tetapi mereka tidak pernah berkesempatan untuk menggunakan perkhidmatan ini. Begitu juga dengan anak-anak di bandar. Sekiranya mereka tidak dibawa ke zoo, mungkin tupai itu merupakan sejenis haiwan yang asing bagi mereka,” jelas Dr. Lim Swee Tin.

Menurut beliau, penghasilan buku ini juga merupakan usaha untuk merapatkan kembali anak-anak bersama dengan rakan, alam sekeliling serta kehidupan yang ada di sekitarnya dan menyelamatkan mereka daripada terkepung dalam ruang yang bersifat kebendaan. Beliau juga menyatakan proses perancangan buku ini termasuk menjadikan ia sebagai bahan rujukan untuk ibu bapa di rumah bagi menyusun strategi pengajaran bahasa dalam kalangan anak-anak mereka.

Untuk puisi kanak-kanak, kita harus menulis sesuatu yang dekat dengan mereka, atau sesuatu yang menimbulkan sifat ingin tahu supaya mereka bertanya kepada orang dewasa. Di samping memperkenalkan perkataan yang mudah dicerap oleh minda mereka, kita juga perlu menawarkan perkataan yang sedikit sukar supaya apabila membaca, mereka juga akan bertanya, sekali gus menjadikan pengalaman membaca itu juga sebagai masa untuk mendidik mereka dengan bahasa.

“Saya juga berhasrat agar buku ini diberikan perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membuat penilaian dan menjadikannya sebagai bacaan tambahan atau jika mungkin sebagai buku wajib dalam subjek Bahasa Melayu,” sambungnya.

Berbicara mengenai pemilihan tajuk buku, beliau menyatakan bahawa Bermain Gerimis adalah salah satu tajuk sajak dalam naskhah tersebut yang membawa konotasi yang sangat rapat dengan kanak-kanak. Sebagaimana disebut sebelum ini, antara tujuan beliau menulis adalah untuk mendekatkan kanak-kanak kembali kepada alam.

“Ada hujan, ada pelangi, ada gerimis, angin yang menderu, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Semua ini merupakan antara unsur alam yang saya terapkan dalam buku ini, selain elemen kognitif yang bersifat pengetahuan am. Terdapat juga elemen bahasa yang barangkali boleh digunakan sebagai bahan pengajaran oleh guru,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa unsur-unsur alam wajar diketengahkan dalam karya kepada golongan ini untuk memupuk sifat cintakan alam agar mereka berkembang dan membesar dalam nilai tersebut.

Dalam sesi temu bual ini, Dr. Lim juga menyatakan peri pentingnya  bagi pihak berkenaan untuk menggerakkan apresiasi kanak-kanak terhadap puisi dan antara caranya adalah dengan melalui aktiviti berkumpulan, berpasangan atau berkelompok yang dikendalikan oleh guru.

“Jika dibaca secara perseorangan mungkin anak-anak akan anggap itu sebagai  penderaan. Namun jika dibaca beramai-ramai, maka akan bertukar menjadi keseronokan kerana bebanan untuk menyampaikan puisi itu telah dikongsi bersama. Malahan, proses pengajaran juga menjadi cepat. Gubah puisi dan sajak menjjadi lagu serta gunakan alat muzik dan tayangan video untuk menarik perhatian mereka,” jawab beliau dalam merungkai persoalan untuk menarik minat golongan muda dengan puisi.

Disusun dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menggunakan ilustrasi yang segar dan menarik, serta menjadikan semua halaman dalam buku ini berwarna dan susun atur selaras dengan psikologi kanak-kanak, Dr. Lim berharap agar buku ini mampu untuk menarik perhatian dan minat golongan sasaran.

Tonton video penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.