22 April 2022, 07:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Forum “Yang Lama Dikelek, Yang Baru Didukung menampilkan SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, Moechtar Awang, Zainal Rashid Ahmad dan Wan Nor Azriq sebagai panel. Manakala Ainunl Muaiyanah bertindak sebagai moderator.

Bangi – Syarikat penerbitan mandiri, Kata-Pilar Books tampil dengan Siri Tokoh Puisi yang baru saja dilancarkan pada 16 April lalu di Teratak Buku Jejak Tarbiah, Bangi. Siri Tokoh Puisi tersebut membawakan tiga buku kumpulan puisi yang mengangkat puisi terbaik dan terpilih daripada penyair mapan iaitu Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh dengan buku Sudah Hampir Malam di Kyoto, Moechtar Awang dengan Rahang Gelombang dan Rahimidin Zahari dengan Lelaki Berambut Rumput.

Dalam majlis pelancaran itu, sebuah forum bertajuk “Yang Lama Dikelek, Yang Baru Didukung” dianjurkan dengan menampilkan SProfesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, Moechtar Awang, Zainal Rashid Ahmad dan Wan Nor Azriq sebagai panel. Manakala peranan moderator pula digalas oleh Ainunl Muaiyanah.

Melalui forum ini, Wan Nor Azriq sebagai salah seorang penyelenggara dalam Siri Tokoh Puisi (dan pemberi prakata buku Sudah Hampir Malam di Kyoto) berkongsi perihal perjalanan beliau dalam menyusun dan memilih karya penyair mapan itu.

Sudah Hampir Malam di Kyoto.

Ketika menyusun puisi Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh untuk dimuatkan dalam Sudah Hampir Malam di Kyoto, Wan Azriq menemui perasaan kagum dengan perjalanan kepengarangan Sasterawan Negara itu yang sangat rencam temanya, aneka ragamnya serta gaya bahasa dan pendekatannya. Beliau banyak menulis berdasarkan pemerhatian beliau dalam satu aspek kehidupan dengan pemerhatian yang membuka. Beliau jarang-jarang mengetengahkan emosi secara lurus, dan mencipta jalur puisi yang baharu sebagai penyair. Namun cita rasa generasi muda lebih cenderung kepada karya yang bersifat peribadi dan emosi.

Menurut Wan Azriq, antara cabaran sebagai penyelenggara antaranya adalah bagaimanakah untuk mempersembahkan buku ini kepada pembaca dan penyair baharu. Saya sendiri sebagai pembaca jika mahu mula dalam membaca karya penyair mapan soalan yang bermain adalah dari manakah saya nak mula?

Wan Azriq menyambung, “Awalnya setiap kumpulan puisi hanya mengandungi sebanyak 50 puisi. Namun setelah difikirkan semula, saya berbincang dengan Rasydan Fitri, pengurus Kata-Pilar Books, dan memutuskan bersempena dengan ulang tahun ke-80 SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, sebanyak 81 buah puisi terbaik beliau dikumpulkan dalam Sudah Hampir Malam di Kyoto,” Itupun tambah beliau, terdapat banyak lagi puisi yang memaparkan kerencamannya, gaya suaranya dan aneka ragamnya namun tidak dapat dimuatkan dalam buku itu.

Selain memilih dan menyusun sajak yang terbaik, sajak yang dipilih dalam Siri Tokoh Puisi juga menepati beberapa ciri khas untuk menarik perhatian dan mudah didekati pembaca generasi muda pada hari ini. Diamati daripada subjek, tema dan gaya bahasa yang dirasakan rapat dengan cita rasa pembaca generasi baharu. Generasi baharu atau generasi muda mungkin lebih gemar dengan puisi perihal peribadi, emosi dan suara teatrikal berbanding dengan puisi tentang negara, bahasa atau isu yang lebih besar dan umum.

Manakala, satu lagi sisi yang lebih penting adalah bagaimanakah untuk mengetengahkan  dinamik suara pengarang seperti yang terdapat pada Sajak-sajak Pendatang karya SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh. Beliau menulis dalam tempoh yang lama, dan seiring itu, Sajak-sajak Pendatang disifatkan sebagai puisi-puisinya yang bersuara penyair muda kerana konsisten meneroka elemen baharu dalam sebuah sajak.

Sepanjang beliau berkarya, beliau sentiasa ada perubahan dari segi bahasa, pendekatan dan gaya suara. Di samping perubahan itu, beliau masih utuh sebagai penulis tempatan yang paling konsisten. Hal ini perlu ditunjukkan kepada generasi muda dan Wan Azriq sebagai penyusun, menggalas tangungjawab untuk merakam kemampuan itu.

“Oleh itu, saya membahagikan buku Sudah Hampir Malam di Kyoto ini kepada lima bahagian. Tidak boleh nak digabungkan kerana sebahagian sajak karya beliau mempunyai dunianya yang tersendiri, dan seakan-akan mustahil untuk dicampurkan dengan puisi lain. Ini juga untuk membantu menunjukkan kepada pembaca generasi baharu, tentang bagaimana rupa dinamik proses perubahan cara berkarya seorang penyair mapan,” ulas beliau dengan lebih lanjut.

Terdapat sisipan wawancara yang terdapat di penghujung buku Sudah Hampir Malam di Kyoto. Tambah Wan Azriq, beliau menyarankan agar wawancara itu dimuatkan sebagai bantuan kepada generasi baharu untuk lebih rapat dengan suara seorang penyair, sama ada kewarasannya, humornya, minatnya dan pemikirannya.

Memetik pula kenyataan Rasydan Fitri melalui majlis pelancaran buku itu, antara sebab mengapa Kata-Pilar Books komited untuk menerbitkan semula puisi daripada penyair mapan ini adalah supaya karya mereka yang dianggap penting itu dapat diakses dan dibaca semula oleh khalayak sastera pada hari ini.

Selain itu, khalayak muda juga mengalami dilema dalam memilih karya apakah yang sesuai untuk dibaca sebagai panduan pemula? Hal ini dikatakan demikian kerana perjalanan kepengarangan penyair mapan adalah sangat panjang. Sebagai contoh, SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh telah terlibat dalam dunia penulisan sejak awal tahun 1960-an lagi, iaitu memakan masa lebih setengah abad.

Dengan zaman yang semakin laju pergerakannya, karya juga bergerak dengan semakin pantas. Maka itu kumpulan puisi Siri Tokoh Puisi ini diterbitkan dalam naskhah yang lebih bernuansa kontemporari. Menyambut usaha itu, dinyatakan juga akan peranan Tukang Puisi dalam menampung keperluan itu. Tukang Puisi adalah medium pendokumentasian karya lama dan baharu, penyair mapan dan yang terkini, dengan penyelenggaraan yang terperinci buat khalayak kontemporari. Sama ada untuk pembaca mahupun pengkarya, khalayak boleh mengakses arkib mandiri ini secara dalam talian (laman sosial media rasmi Tukang Puisi) mahupun secara fizikal melalui zine dan buku kelolaan mereka.

Siri Tokoh Puisi boleh didapatkan di pautan ini atau di kedai-kedai buku berdekatan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!