Oleh Lim Wei Wen
19 April 2022, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sayembara Bahasa Melayu yang diadakan pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-2 yang akan bermula dari 3 April  hingga 28 Mei 2022 melalui platform Facebook dan YouTube Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis UTM (DEPIKIR). Sayembara tersebut membawa tiga objektif utama iaitu melestarikan tulisan Jawi, memperkasa semangat perpaduan dalam warisan budaya, serta meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal melalui pengucapan awam dan penulisan.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama DEPIKIR, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Komuniti Menulis Malaysia, UTM International, Pusat Islam UTM dan Alumni UTM. Seperti tahun-tahun yang lalu, terdapat empat pertandingan yang bakal diadakan melalui sayembara ini, iaitu Penulisan Esei Rumi, Deklamasi Sajak, Penulisan Cerpen Jawi dan Pidato. Bagi meningkatkan penyertaan dalam kalangan pelajar, pihak penganjur turut menawarkan empat kategori yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Atas dan Matrikulasi, Mahasiswa Malaysia, Mahasiswa Nusantara dan Mahasiswa Antarabangsa.

Terdapat enam kategori yang bakal dipertandingkan dalam sayembara tersebut, iaitu “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Sains dan Teknologi”, “Penjagaan Alam Sekitar”, “Keamanan dan Kemanusiaan Sejagat”, “Antirasuah” serta “Pandemik COVID-19”. Bagi pertandingan deklamasi sajak, para peserta akan dinilai dari aspek suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, dan juga gerak badan.

Selain pertandingan deklamasi sajak, sayembara tersebut turut mempertandingkan penulisan cerpen Jawi yang selari dengan matlamat program iaitu melestarikan tulisan Jawi yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan sebagai warisan kebangsaan negara. Menariknya, pada tahun lepas sayembara tersebut telah berjaya mendapat penyertaan lebih daripada 1000 peserta yang melibatkan enam buah negara iaitu Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura, China dan Malaysia.

Pada tahun lepas, Sayembara Bahasa Melayu telah dapat penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar institut pengajian dari lima buah negara.

Sebanyak 62 buah institusi juga terlibat dalam sayembara ini termasuklah universiti awam, universiti swasta, universiti antarabangsa, Institut Pendidikan Guru dan politeknik.  Sayembara Bahasa Melayu 2022 turut menawarkan peluang kepada para peserta untuk menyerlahkan bakat dan idea melalui pengucapan dan penulisan. Melalui inisiatif ini, budaya wacana ilmu dalam kalangan belia di Malaysia dan peringkat dunia dapat dilahirkan.

Para peserta turut digalakkan untuk menyertai sayembara ini sebelum tarikh tutup penghantaran penyertaan iaitu pada 1 Mei 2022. Maklumat lanjut berkaitan dengan penghantaran karya serta tema dan syarat sayembara dapat diakses melalui pautan ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.