13 April 2022, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jalinan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Majalah dengan Pusat Pengajian Prauniversiti Universiti Malaysia Sarawak (PPPU UNIMAS) diteruskan dengan anjuran Bengkel Penulisan Rencana Popular Bersama dengan Editor Majalah Dewan Kosmik dan Dewan Siswa yang diadakan pagi ini secara dalam talian. Bengkel yang disertai oleh pensyarah PPPU UNIMAS tersebut telah dikendalikan oleh Encik Mohamad Fhaizal Mohamad Bukhari.

Bengkel yang diadakan selama hampir lima jam itu merangkumi empat slot yang dikendalikan oleh Editor Dewan Kosmik, Puan Norfaranieza Muhd Arifin dan Editor Dewan Siswa iaitu Puan Siti Noorisa Abdul Khlil. Selain memberikan pendedahan kepada peserta berkaitan dengan dua majalah terbitan DBP tersebut, bengkel tersebut turut menyediakan ruang kepada penceramah untuk mengulas tentang karya yang telah dihantar  kepada editor yang berkenaan.

Ketika sesi pengenalan bersama dengan majalah Dewan Kosmik, Puan Norfaranieza berkata, Penulis yang ingin menghantar artikel berbentuk sains popular kepada majalah Dewan Kosmik perlu mengolah terma saintifik yang terdapat dalam penulisan tersebut agar dapat difahami oleh pembaca umum. “Walaupun kita mengetahui bahawa penulis dalam majalah Dewan Kosmik ini terdiri daripada ahli bidang seperti pensyarah mahupun penyelidik, namun kita juga harus mengetahui bahawa sasaran pembaca majalah ini terdiri daripada masyarakat umum yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan bidang sains dan teknologi,” tambah beliau.

Sesi bersama dengan Editor Dewan Siswa, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil.

Seterusnya, bengkel diteruskan dengan sesi bersama-sama majalah Dewan Siswa yang dikendalikan oleh Puan Siti Noorisa. Sebagai editor, beliau amat menyarankan agar setiap rencana haruslah mempunyai input yang mampu memberikan ilmu pengetahuan kepada pembaca. Hal ini dikatakan demikian kerana sasaran pembaca Dewan Siswa adalah terdiri dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan remaja yang berusia antara 14 hingga 25 tahun.

Beliau turut menasihatkan agar setiap penulis harus menulis rencana yang mudah difahami. Mereka juga dikehendaki untuk menggunakan perkataan yang konkrit, perkataan yang tepat dengan idea dan mudah difahami. Selain itu, penulis juga diingatkan agar tidak menulis rencana yang meleret, longgar dan elakkan daripada menggunakan ayat yang panjang.

Sebagai penulis, mereka harus diingatkan agar memandang serius terhadap etika kepengarangan yang telah ditetapkan oleh sesebuah rumah penerbitan. Antaranya termasuklah isu plagiat. Selain itu, penulis harus kenal pasti majalah yang dipilih supaya dapat mengelakkan penerbitan karya yang sama dalam majalah berlainan.

            Sebanyak lebih 30 karya yang dihantar untuk diulas oleh Editor Dewan Kosmik dan Dewan Siswa. Antara nasihat dan cadangan penambahbaikan yang telah diberikan adalah penulis tidak boleh menulis rencana seperti bentuk kajian dan elakkan menulis artikel yang longgar.

Turut hadir bersama-sama dalam bengkel tersebut ialah Pengarah, PPPU UNIMAS, Profesor Madya Dr. Mona Sabri yang turut menyarankan agar setiap pensyarah PPPU harus meningkatkan minat dalam bidang penulisan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.