1 April 2022, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Drama Ayahanda yang bersiaran dalam slot Lestari, TV3. (Sumber: hmetro)

Kuala Lumpur – Walaupun hampir setahun melabuhkan episod terakhir pada 31 Julai 2021 dengan kejayaan meraih jumlah tontonan empat juta orang, drama bersiri Ayahanda yang diadaptasi daripada novel Ayahanda, karya Azizi Haji Abdullah diperkatakan semula dalam program Wacana Sastera.  Program anjuran kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya itu berlangsung secara hibrid pada 31 Mac 2022 yang mengupas tajuk “Ayahanda: Dari Novel ke Adaptasi Cereka TV”.

Drama Ayahanda yang ditayangkan melalui slot Lestari, TV3 selama 13 episod memaparkan watak suami isteri, iaitu Haji Abdullah lakonan Jalil Hamid dan Hajah Noriah lakonan Fauziah Ahmad Daud yang berhadapan pelbagai konflik dengan anak-anak, iaitu Halimah yang (lakonan Noorkhiriah), Ramli (lakonan Shahz Jaszle), Ahmad (lakonan Hairi Safwan) dan Aziz (lakonan Fikry Ibrahim). Drama yang sarat dengan konflik yang meruntun jiwa dan menjentik emosi penonton ini diarahkan oleh Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dengan skrip ditulis oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan.

Lantaran tidak mahu drama Ayahanda terus hilang daripada ingatan khalayak yang telah menontonnya, selain mahu berkongsi tentang pembikinan skrip dan olahan ceritanya yang bersandarkan karya hebat, Ayahanda terbitan DBP. Program Wacana Sastera yang berlangsung selama hampir dua jam membawakan pengarah drama, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, penulis skrip Maizura Ederis dan pelakon yang juga alumni ASWARA, Hairi Safwan. Mantan pegawai DBP, A Wahab Hamzah pula bertindak selaku moderator.

Selaku pengarahnya, Dato’ Ahmad Tamimi mengakui lakonan mantap Fauziah Ahmad Daud atau Ogy sebagai Hajah Noriah menjadi antara faktor yang menjadikan penonton terpaku untuk mengikuti setiap episod drama Ayahanda. Namun begitubeliau  juga mengakui kekuatan drama Ayahanda terletak pada konflik antara ayah dengan anak. Rata-rata penonton beremosi dan marah melihat sikap anak bongsu Imam Abdullah, iaitu Aziz. Namun realitinya Aziz merupakan gambaran watak ayahnya.

“Sebenarnya, antara Imam Abdullah dengan Aziz tiada bezanya, cuma yang membatasi mereka ialah usia, itulah nilai murni antara anak dengan ayah yang sarat dalam jiwa mereka. Jika ada penonton yang marahkan Aziz kerana sikap keras kepalanya, itulah sikap sebenar ayahnya, Abdullah. Ayahanda bukan sahaja mencerminkan sikap si ayah malah juga menunjukkan dalam sifat tegas seorang suami terhadap isteri, namun perasaan kasih dan sayangnya terhadap isteri tidak pernah berkurang meskipun tidak terlafaskannya. Itulah konflik seorang ayah dan suami yang tidak mampu menzahirkan kasih sayangnya,” ujar beliau.

Lantas, bagaimanakah penulis skrip dan pengarah drama menterjemahkan konflik jiwa yang menjentik emosi, ditambah dengan pelukisan hubungan ayah dan anak yang dipaparkan menggunakan teknik imbas kembali dalam novel? Perkara inilah yang menjadikan program Wacana Sastera yang memperkatakan hasil adaptasi Ayahanda, daripada novel kepada cereka TV menjadi sangat menarik.

Selaku penulis skrip, Maizura Ederis menyatakan Ayahanda ialah sebuah mini biografi tentang kehidupan seorang ayah. Ayah yang mengalami konflik jiwa kerana kematian isteri selain krisis dengan anak bongsu. “Ayahanda ialah fragmen memori seorang ayah dan anak. Memori itu difragmenkan dalam skrip drama. Dalam novel, penulisnya banyak bermain dengan emosi dan kenangan. Dramanya pula cuba memvisualkan emosi dan kenangan itu melalui watak ayah dan anak. Contohnya, memvisualkan kenangan anak memancing bersama-sama ayah. Usaha memvisualkan emosi dan kenangan itulah perkara yang sangat mencabar dalam pembikinan drama Ayahanda, namun segmen itulah yang telah membuai perasaan penonton,” demikian kata Maizura apabila ditanya cabarannya mengolah skrip drama Ayahanda.

Maizura turut mendedahkan penulisan skrip drama tidak mengikut sepenuhnya kronologi jalan cerita dalam novel. “Dalam novel, watak ibunya meninggal dunia terdapat pada halaman awal, tetapi dalam drama, babak ibu meninggal dunia diletakkan dalam episod pertengahan. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesan sedih melalui visual, selain menjadi plot tegang yang berjaya meruntun perasaan penonton. Tambah Maizura, Dalam penghasilan skrip drama, struktur cerita dalam novel menjadi tunggang-terbalik, tetapi roh atau jiwa Ayahanda, terutama kisah konflik antara ayah dengan anak bongsu tetap dijaga kerana pengisahan itulah yang menjadi kekuatan drama Ayahanda.

Untuk menjadikan drama Ayahanda ada unsur popular dan nilai komersial, penulis skrip telah mencipta watak Ayu dan kisah percintaannya. “Watak Ayu tiada dalam novel tetapi saya wujudkan watak itu untuk menjadikan jalan ceritanya menarik dan memenuhi selera penonton yang menginginkan kisah cinta dalam drama Melayu,” kata Maizura yang telah mengolah semula cerita dan tidak mengikut sepenuhnya jalan cerita yang ada dalam novel.

A. Wahab Hamzah mendedahkan novel Ayahanda juga mengetengahkan isu pertentangan kaum muda dan kaum tua, atau memperlihatkan jurang perbezaan antara generasi muda dengan generasi tua, terutama berkaitan dengan jemaah dan aktiviti surau. Akan tetapi, isu itu tidak diangkat dalam drama.

Menjawab ulasan tersebut, Maizura memberitahu penulis skrip harus akur dengan kehendak penyiar yang mahukan drama bertemakan konflik keluarga yang disulami dengan babak percintaan. Kisah seperti itu yang penonton mahu lihat walaupun ramai yang memberikan komen drama Melayu dan kisah cinta tidak boleh dipisahkan. Bagi Maizura, elemen itulah yang menjadikan drama Melayu masih ditonton oleh masyarakat kita.

“Drama yang disiarkan dalam slot Lestari TV3 juga membawa jenama pop dan harus menyiarkan cerita yang berunsur popular dan diminati oleh khalayak seperti percintaan. Oleh sebab itulah penulisan skrip dan pengarahan drama Ayahanda tidak mengangkat isu pertentangan golongan tua dan muda kerana isu itu dianggap berat dan penonton yang mengikuti slot tersebut mahu menonton drama yang santai tetapi menghiburkan selain menjadikan mereka terbawa-bawa dengan watak yang berkonflik dalam drama itu,” demikian kata Maizura.

Maizura juga melabelkan kisah percintaan dan konflik keluarga dalam drama Melayu itu ibarat “rukun” dan “syarat” yang harus dipenuhi oleh penulis skrip drama agar karyanya diterima oleh penyiar seperti TV3.

Melihat kejayaannya, Dato’ Ahmad Tamimi mendedahkan Ayahanda bakal menemui penonton melalui Telemovie Raya yang bakal ditayangkan bagi mengisi rancangan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!