Oleh Gadis Buku
16 Mac 2022, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemenang MTDC Mega Book Club Day 2022, Kumpulan OC yang memilih buku Jumanji.

Serdang – Bagaimanakah sesebuah masyarakat itu berupaya menyeimbangkan kehidupan sekiranya ruang hidupnya tidak disuburkan dengan suasana keintelektualan yang dapat merangsang jiwanya untuk terus mekar dan berkembang?

Buku sebagai medium ilmu, tidak akan bermakna jika hanya terperuk di rak bacaan tanpa membacanya, menikmatinya dan membicarakannya. Tradisi ulasan buku merupakan tradisi yang penting, dan tradisi ini tidaklah terhad kepada kelompok akademik semata-mata, tetapi perlu disuburkan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam usaha menyuburkan apresiasi terhadap buku dalam kalangan kakitangan Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC), MTDC Mega Book Club Day 2022 telah dianjurkan sekali lagi baru-baru ini yang bertempat di Rashid Theaterette, UPM-MTDC Technology Centre, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Acara tahunan Kelab Buku MTDC ini merupakan aktiviti yang konsisten dipertandingkan sejak tahun 2015 lagi.

Persembahan Kumpulan Energon yang memilih buku klasik Inggeris, Mary Poppins.

Kali ini, dengan mengangkat genre fantasi sebagai tema pertandingan, sejumlah lima kumpulan dengan lima buku pilihan telah bertanding untuk merebut hadiah kemenangan. Lima kumpulan tersebut ialah Kumpulan Energon (Mary Poppins, Dr P L Travers), Kumpulan Daredevils (Kapal Terakhir Di Dunia – Episod 1, Teme Abdullah), Kumpulan OC (Jumanji, Chris van Allsburg), Kumpulan Amigos (Pheonix Bangkit, Nazehran, Joshe Ahmad) dan Kumpulan Numero Uno (Final Fantasy XV: The Down of the Future, Jun Eishima and Stephen Kohler).

Setiap kumpulan akan diberikan peluang membentangkan buku pilihan mereka dengan kreativiti mereka tersendiri di atas pentas. Sejurus selesai pembentangan, mereka perlu menjawab soalan yang dikemukakan oleh juri bagi menguji kefahaman dan keyakinan mereka mempertahankan pendapat berkenaan dengan karya yang telah dipilih sendiri oleh kumpulan mereka.

Antara soalan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan karakter buku yang dibaca, pendapat berkenaan dengan penulisan karya dan kesesuaian pembacaan, serta proses kreatif kumpulan itu sendiri dalam mempersembahkan idea di atas pentas.

Juri telah sebulat suara memilih Kumpulan OC dengan buku pilihan, Jumanji sebagai pemenang utama. Dengan gimik persembahan yang kreatif berupa kemunculan replika harimau pada awal persembahan, Kumpulan OC bijak menyeimbangkan perkongsian kandungan buku dengan interaksi penonton yang sangat bersahaja.

Bahkan, persembahan mereka juga dibantu audio, visual dan video bersesuaian. Paling menyerlah, mereka turut mengajak penonton menikmati bersama-sama permainan dadu ala Jumanji di atas pentas.

Ketika sesi soal jawab, Kumpulan OC juga mempamerkan keyakinan tinggi untuk menarik minat pembaca pelbagai peringkat usia membaca buku pilihan mereka.

Menurut Dato’ Norhalim Yunus selaku Ketua Pegawai Eksekutif  MTDC yang menginspirasikan kegiatan Kelab Membaca MTDC sejak tujuh tahun yang lalu, beliau sangat gembira dengan peningkatan komitmen yang ditunjukkan kakitangan.

“Saya berasa bangga melihat staf bukan eksekutif dan eksekutif baharu membuat persembahan dengan yakin dan tenang, tidak gugup dan tenggelam punca dek kerana berdiri di khalayak ramai,” ujar beliau.

Dalam ucapan penutupannya juga, beliau menggalakkan kakitangan untuk mendekati karya fiksyen di samping buku-buku lain kerana beliau percaya bahawa menikmati karya fiksyen dapat membantu menzahirkan empati dan merangsang imaginasi pembaca. Beliau turut berterima kasih kepada ahli panel juri yang sudi meluangkan masa kali ini untuk menyokong aktiviti Mega Book Club Day 2022, iaitu Puan Siti Fatimah Abu Bakar, Puan Anis Audina As’ad Azam dan Puan Siti Jasmina Ibrahim.

Selaku sebuah organisasi korporat, usaha yang dilakukan MTDC memang mengagumkan. Aktiviti seumpama ini tidak hanya meningkatkan keyakinan dan skil pengucapan awam kakitangan, tetapi juga menguji kematangan pemikiran dan semangat kerjasama berkumpulan.

Sungguhpun persiapan pertandingan dilakukan dalam masa yang singkat, setiap kumpulan yang bertanding mempersembahkan keupayaan analisis buku yang kritis tanpa mengira buku tempatan mahupun antarabangsa.

Bahkan, sebelum acara kemuncak ini, secara berkala, kakitangan juga digalakkan terlibat menyumbang ulasan buku untuk dikongsi dan dibaca bersama dengan kakitangan yang lain. Hal ini yang menunjukkan bahawa tradisi keilmuan ini dilakukan secara berterusan, bukannya sekali dua sebagai acara tahunan semata-mata.

Secara tidak langsung, usaha ini mempamerkan bahawa dengan visi kepimpinan yang jelas, daya saing kakitangan yang bermotivasi tinggi, serta dibantu sokongan panel juri jemputan yang tidak lokek berkongsi idea dan sumbang saran, apresiasi terhadap buku mampu dilaksanakan tanpa mengenal sempadan.

Terbukti, usaha MTDC dengan komitmen yang serius dan kesedaran tinggi untuk menyuburkan budaya keilmuan adalah sangat wajar disokong serta meraikannya.

Para juri, dari kanan: Puan Fatimah Abu Bakar, Puan Anis A. Azam dan Puan Siti Jasmina Ibrahim bergambar bersama dengan  Dato’ Norhalim Yunus.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.