11 Mac 2022, 08:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Generasi muda merupakan generasi yang berkebolehan,  kreatif dan puitis. Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun mereka mempelajari ilmu sastera, namun mereka juga mempunyai kemahiran untuk menyunting video dan menangkap suara penting yang menjadikan sebuah karya seni itu cantik dan menarik mata memandang,” ujar Dr. Roslina Abu Bakar, sebagai pengkuliah bagi Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) siri ke-5 baru-baru ini.

KUPAS, sebuah inisiatif anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka itu menemui khalayak di siri ke-5 dengan topik berkaitan “Tradisi Lisan: Kepentingannya kepada Generasi Muda”.

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Menurut Roslina, tradisi lisan mengandungi pelbagai manfaat yang perlu dimanfaatkan oleh generasi muda. Ujarnya, “Dalam kalangan individu dan masyarakat, pelestarian tradisi lisan ini dapat menjana idea baharu, di samping menjaga nilai tradisi warisan yang penuh dengan kebijaksanaan, budaya dan ilmu.

Tradisi lisan merupakan bahan wacana yang bergerak dalam kalangan masyarakat dari mulut ke mulut. Selain itu, tradisi lisan boleh wujud dalam puisi tradisional, cerita rakyat malah lagu rakyat yang memerlukan penyampaian secara lisan.

Dalam alam Melayu, tradisi lisan merupakan gagasan ilmu yang mengandungi pengalaman, pemikiran, idea, pandangan dan kelakuan masyarakatnya yang melangkau zaman. Oleh sebab itu, Roslina berpendapat bahawa adalah satu keperluan buat khalayak untuk memastikan tradisi lisan tidak hilang ditelan arus lebuh dunia moden. Atas faktor ini juga, Roslina menekankan keutamaan yang harus diberikan supaya generasi muda pada masa ini dapat dipugar minat dan pengetahuan mereka mengenai tradisi lisan.

“Tradisi lisan memaparkan perkara yang berlaku dalam kalangan masyarakatnya, iaitu daripada masyarakat tradisi hingga masyarakat moden dan pascamoden. Maka inisiatif dan usaha (untuk tradisi lisan) telah berjalan untuk melestarikan tradisi lisan dalam bentuk media baharu. Dengan wujudnya perubahan demi perubahan, iaitu apabila adanya ledakan teknologi dan pergerakan arus zaman, tradisi lisan juga (dengan bantuan masyarakatnya) bergerak seiring dengan pergerakan itu,” ulas beliau.

Beliau turut menambah bahawa tradisi lisan juga berperanan untuk memaparkan nilai-nilai kehidupan, kelakuan dan sifat yang mendefinisikan masyarakatnya. Melalui pelestarian yang membawa kepada budaya, tradisi lisan sebenarnya mampu untuk membentuk karakter masyarakat yang menghargai budaya. Oleh sebab itu, generasi muda dilihat sebagai khalayak paling utama untuk memugarkan budaya tradisi lisan ini.

Dalam sesi tersebut, Roslina turut berpendapat bahawa usaha untuk melestarikan tradisi lisan harus dilestarikan sejak dari peringkat sekolah lagi, iaitu dalam kalangan kanak-kanak. Antara inisiatif yang boleh dilakukan di rumah adalah seperti memperkenalkan mereka kepada bahasa loghat daerah, permainan tradisional, puisi tradisi, pantun, budaya bercerita sebelum tidur dan apa-apa yang berkaitan dengan tradisi lisan.

Manakala bagi peringkat remaja dan belia pula, wajarlah penglibatan mereka dalam aktiviti tradisi lisan dipupuk dengan lebih aktif. Sama ada di sekolah, aktiviti sosial malah profesional. Memandangkan generasi kini (tua dan muda) sudah semakin rapat dengan teknologi dan multimedia, maka tradisi lisan juga tidak boleh jauh daripada perkembangan itu.

Buku Antologi Kuingin Berterima Kasih terbitan DBP merupakan antara karya yang telah dialih wahana kepada animasi.

Menyentuh hal tradisi lisan dalam multimedia, beliau sempat berkongsi aktiviti dan hasil kerja generasi muda dalam memugar tradisi lisan melalui karya multimedia seperti projek animasi Asal Padi, olahan prosa tradisi lisan daripada buku Antologi Kuingin Berterima Kasih terbitan DBP. Manakala selain animasi, tradisi lisan juga dapat dipugar dalam kalangan generasi muda dengan lakonan dalam video pendek, dan sebenarnya, peluang untuk menyemarakkan tradisi lisan kini semakin luas dan dinamik bentuknya.

Namun demikian, rupa asal tradisi lisan tetap adalah “lisan”, iaitu seperti penglipur lara yang menyampaikan cerita kepada khalayak dan keunikannya tidak sama dengan tradisi lisan yang disampaikan melalui bahan multimedia. Menurutnya, “Kita sedia maklum bahawa tradisi lisan dengan rupanya yang unik, penyampaian dan keistimewaannya yang tidak sama seperti tradisi penulisan, apabila diadaptasikan ke dalam bentuk multimedia, sedikit sebanyak akan kurang nilai estetikanya. Namun demikian, inisiatif ini penting untuk memugarkan dan melestarikan budaya tradisi lisan itu sendiri.”

Jelasnya lagi, karya tradisi lisan dalam bahan multimedia ini dapat menjadi sumber kepada generasi muda untuk menerima nilai cerita, watak dan perwatakan serta ideologi dan falsafah di sebalik karya tradisi lisan untuk mereka fahami. Kelak setelah mesra dan kenal dengan tradisi lisan, generasi muda akan berpeluang untuk mendalami dan memekarkan budaya tradisi lisan dengan lebih lanjut.

Tonton bicara penuh di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.