7 Mac 2022, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Zaen Kasturi menekankan setiap karya sastera yang memenangi Hadiah Sastera Darul Iman V (HASDI V) dapat dipertanggungjawabkan setelah diperakukan oleh lapan orang panel penilai. Bercakap dalam majlis Wacana Karya Terpilih HASDI V, beliau telah diberi tanggungjawab untuk mengupas tentang kualiti cerpen, novel, esei dan drama pentas para penulis yang menyertai HASDI V.

Zaen Kasturi.

Secara umumnya, beliau meletakkan kreativiti merangkumi gaya bahasa dan penerokaan sesuatu subjek yang baharu adalah penting untuk memenuhi ciri-ciri sesebuah karya yang baik sama ada dalam penulisan novel ataupun cerpen.

“Kebijaksanaan pengarang timbul setelah bagaimana sesuatu subjek diolah dengan suatu gaya yang berlainan, baharu dan segar. Tidak semestinya subjek yang biasa digunakan tidak bagus. Misalnya cerpen garapan Azizi Haji Abdullah memaparkan subjek biasa, tetapi keluarbiasaannya dapat dilihat melalui bagaimana subjek tersebut diangkat dan disampaikan kepada pembaca sehingga menimbulkan  impak, rasa atau kesan kepada pembaca,” ujar penerima anugerah S.E.A Write 2010 ini.

Zaen Kasturi beranggapan bahawa banyak penulis yang mampu mengolah cerpen, namun bagaimana untuk menimbulkan impak atau rasa, misalnya rasa ekspresif, emotif, atau empati. Cerpen yang baik juga mampu menjentik taakulan pembaca, memberikan pengetahuan dan pengalaman yang baharu kepada pembaca.

Bagi menilai sesebuah kumpulan cerpen yang mengandungi 10 buah cerpen dan ke atas, penilai meletakkan ukur tara bahawa keseluruhan cerpen yang terkandung dalamnya mestilah mempunyai kekuatan. Keseluruhan cerpen mestilah padu dalam satu bentuk kumpulan. Persoalan yang dipaparkan penulis misalnya berkaitan dengan kekeluargaan, permasalahan masyarakat, kesihatan dan lain-lain.

Subjek yang lumrah dalam kehidupan ini akan bermutu setelah dilengkapkan dengan gaya bahasa dan pengucapan yang bermutu. Kekuatan dialog pula berupaya memberikan gaya pengucapan yang membangunkan watak dan perwatakan dan juga mengembangkan plot.

Zaen melihat, penulis cerpen hari ini sangat takut untuk menggunakan dialog. Oleh sebab itu, cerpen hanya dibentangkan dengan sedikit atau tanpa dialog, sedangkan dialog antara teknik yang akan mengembangkan watak, perwatakan dan juga plot. Cerpen dan novel merupakan karya kreatif yang menekankan seni keindahan dan kebenaran. Kedua-dua unsur ini mesti digandingkan. Keindahan karya melalui gaya bahasa yang berkesan akan menjentik kognitif pembaca.

Zaen merumuskan tanda aras dalam menulis cerpen atau novel ialah sesuatu yang baharu, sesuatu yang dapat menjentik kognitif pembaca, sesuatu subjek yang mungkin biasa tetapi diolah dengan gaya penyampaian yang berbeza dan memberikan pengalaman yang baharu kepada pembaca.

Zaen mengharapkan penulis muda, terutamanya harus berani untuk menghasilkan karya yang memenuhi aspek seperti yang dinyatakan bagi mewarnai kesusasteraan tanah air.

Dalam bidang drama pentas, Zaen memperakui HASDI V menghadapi ketandusan karya. Bukan di Terengganu sahaja, malahan di Malaysia tidak ramai penulis yang menceburi bidang ini.

Terengganu mempunyai tokoh penulis skrip drama yang hebat seperti Hatta Azad Khan, Wan Ahmad Ismail, Marzuki Ali dan lain-lain. Kecenderungan penulis muda adalah menulis sajak, cerpen dan novel. Maka itu, penulisan skrip drama pentas merupakan satu ruang yang perlu diberi perhatian dan direbut oleh para penulis muda.

Bercakap tentang esei pula, Zaen meletakkan bilangan penulis dalam bidang ini masih rendah berbanding dengan banyaknya wadah penyiaran yang tersedia pada hari ini, misalnya majalah DBP, jurnal dan akhbar. Penulis muda dikatakan tidak berminat menulis bidang esei dan kritikan. Kelompangan ini harus diisi dan usaha perlu digiatkan untuk melahirkan lebih ramai penulis dalam jurus esei.

Karya sastera adalah tentang bercakap mengenai kehidupan dan kebenaran. Keindahan dalam sastera bukan sekadar keindahan susunan kata-kata tetapi merangkumi keindahan fikiran dan budi. Hal ini yang dikatakan demikian kerana, keindahan sewajarnya hadir secara lahiriah dan dalaman. Keindahan sastera amat sejajar dan sinonim dengan pengajaran.

Zaen menggambarkan tiga tingkat dalam penulisan yang baik, iaitu realiti, asumsi dan falasi. Seseorang penulis yang baik bukan sekadar membentang persoalan, bahkan mesti menggulung persoalan yang dilontarkan kepada pembaca. Bagi Zaen, penulis boleh membiarkan pembaca untuk berfikir tentang karya mereka tetapi alur cerita dan konsep cerita mesti jelas.

Zaen akhirnya mengingatkan bahawa tugas penulis mestilah menulis dan menulis. Tidak boleh lari dan berhenti daripada menulis. Kesungguhan, laluan kejayaan dan sebagainya sudah ada dalam ketentuan atau takdir. Paling seronok menulis, apabila kita sentiasa bersangka baik. Tidak menang anugerah bukan bermakna karya kita tidak baik, tetapi ada karya yang lebih baik daripada karya kita.

Wacana anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) ini diadakan bagi memberikan ruang dialog secara terbuka antara ahli panel penilai dengan penulis Terengganu dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengkaryaan penulis Terengganu khasnya. Dr. Shamsudin Othman (Universiti Putra Malaysia) turut terlibat sebagai ahli panel dalam program ini dan beliau menyentuh langsung tentang karya puisi para penulis yang menyertai HASDI V.  Wacana ini dikendalikan oleh Nurimas SN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.