16 Februari 2022, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menurut Salina Ibrahim, usaha menukang karya kreatif kanak-kanak dalam karya kreatif dipandang kecil oleh sesetengah orang. Akuinya, walaupun tidaklah ketara, namun memang komuniti penulis novel kanak-kanak tidak mendapat sambutan yang sama seperti penulis naskhah umum. Namun hal itu tidaklah menjadi masalah kerana fitrah khalayak karya kreatif memang terletak pada khalayak pembacanya sendiri.

Pembikinan novel kanak-kanak ini tidaklah mudah seperti yang disangka, ada cabaran dan kelainannya. Ketika saya mula menulis karya kreatif kanak-kanak ini, saya juga sudah banyak menghasilkan naskhah umum.

Sewaktu Salina mula terlibat dalam penulisan karya kanak-kanak, beliau akui bahawa beliau bukan seorang yang pakar dalam dunia penulisan kanak-kanak. Oleh itu, beliau belajar menulis secara berperingkat. Cerpen kanak-kanak beliau yang pertama telah disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar. Lama-kelamaan, beliau telah berjaya menerbitkan buku kumpulan cerpen kanak-kanak yang pertama iaitu E-mel untuk Merdeka, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

“Peluang membimbing kanak-kanak secara aktif ini memberi saya pendedahan baharu dalam karya kreatif genre kanak-kanak,” ujar Salina Ibrahim ketika sesi Bicara Karyawan: Maya Kesuma baru-baru ini. Beliau juga merupakan  pembimbing dalam bengkel menulis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, dan sebanyak dua antologi tulisan kanak-kanak telah berjaya diterbitkan.

“Proses penghasilan novel Maya Kesuma sendiri tidaklah semudah itu. Saya masih ingat tentang bagaimanakah manuskrip Maya Kesuma diserahkan semula kepada saya kerana editor ada beri sedikit nota untuk ditambah baik. Saya percaya dengan editor kerana editor buku kanak-kanak lebih pakar dan mahir dalam isu semasa genre itu,” ulas beliau.

Sebagai pembimbing, beliau turut merincikan pengalaman beliau bersama dengan penulis pemula ketika berada dalam ranah menukang cerita kreatif. Menurut beliau, penulis pemula harus bergiat aktif dalam menghasilkan karya kanak-kanak. “Dalam satu perspektif, dunia kanak-kanak ini kecil. Dunia mereka hanya seputar ibu bapanya, dan keluarganya sahaja. Maka elemen kreatif yang kita bawa dalam mengarang buku kanak-kanak ini boleh jadi daya pendorong buat mereka untuk melihat dunia dengan lebih besar melalui lensa imaginasi,” jelas Salina.

Tegas beliau lagi, kita tidak boleh pandang rendah dengan daya kemampuan imaginasi kanak-kanak. Pengalaman beliau membuktikan bahawa dengan pendedahan dan bimbingan, daya imaginasi kanak-kanak akan mengejutkan kita. Namun demikian, tanggungjawab kita sebagai pengarang adalah untuk mendidik mereka agar mengetahui batas dan jalur budaya.

Budaya membaca harus bermula dari rumah. Peranan ibu bapa dan keluarga merupakan tunjang utama. penjaga, Seterusnya, galakan di sekolah kita, seperti guru akan dapat memupuk budaya minat membaca dalam kalangan generasi muda.

“Secara peribadi, saya melihat banyak kemunculan penulis pemula mutakhir ini. Saya turut terlibat dalam Minggu Penulis Remaja baru-baru ini dan beberapa bengkel penulisan lain yang membimbing penulis pemula. Saya lihat generasi penulis pemula ini hadir dengan karya, teknik, keberanian dan perspektif yang pelbagai. Namun yang paling penting adalah sejauh manakah penulis pemula ini dapat bertahan dan akan terus berkarya? Mereka yang akan terus berkarya walaupun dihimpit kekangan inilah yang akan menjadi penentu masa depan sastera generasi akan datang,” tambah Salina ketika mengulas tentang kehadiran penulis pemula.

“Kita tidak akan ketandusan karya, kerana mereka inilah yang akan menjadi pelapis dan pengganti generasi sastera pada hari ini, dan tugas kita adalah untuk terus melatih dan membimbing mereka,” ujar Salina.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.