7 Februari 2022, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memenuhi minat dan hobi pengumpul barangan lama, pada 5 hingga 6 Februari telah berlangsungnya KL Collectors Market di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Seperti lazimnya, di pasar ini pengunjung berpeluang melihat dan membeli koleksi barangan lama, dan pastinya ada barangan tersebut yang tidak pernah dimiliki dan tiada dalam koleksi peribadi.

Salah satu penjual buku terpakai yang turut menyertai KL Collectors Market di Pasar Seni.

Tinjauan ke lokasi Pasar Seni mendapati pengunjung kelihatan teruja membelek deretan koleksi barangan antik, buku dan majalah langka, hasil seni, gambar lama, mainan kanak-kanak, muzik cakera padat dan pakaian yang kebanyakannya jarang-jarang dilihat dan sukar didapati pada masa ini. Satu daripada koleksi yang menjadi perhatian ialah surat khabar Penang Shimbun (edisi bahasa Inggeris) yang diterbitkan pada tahun 1943, semasa zaman penjajahan Jepun. Surat khabar yang ditulis dalam tahun penjajahan Jepun (dipanggil kōki) 2603, hampir keseluruhan kandungannya menyiarkan berita perang yang melibatkan tentera Jepun di serata Pasifik.

Gadis Buku turut mengambil peluang dan mengisi ruang di Lorong Pasar Seni dengan memperagakan koleksi buku dan majalah langka dan terpakai untuk memenuhi minat pencinta buku. Kelihatan banyak judul buku dan majalah lama yang dijual oleh Gadis Buku di Lorong Seni yang menyimpan seribu satu kenangan berkaitan dengan buku terpakai, hasil seni dan lukisan lakaran.

Gadis Buku atau nama sebenarnya Anis A. Azam turut pernah menghiasi ruangan “Sejalur Kata” dalam majalah Tunas Cipta Bil. 02/2020.

Menurut Gadis Buku, penyertaan mereka dalam KL Collectors Market dengan mempamerkan dan menjual buku terpakai kerana mahu memberikan peluang kedua kepada buku lama itu untuk “bernafas” dan memaknai hidup pemiliknya yang baharu. Walaupun buku terpakai, kebanyakannya masih dalam keadaan yang baik dan dijual dengan harga yang mampu milik. Selain menjual koleksi buku lama karya penulis tempatan, Gadis Buku juga membawakan buku terbitan luar negara yang merangkumi novel dan buku ilmiah. Yang menariknya, Gadis Buku memanfaatkan pantun yang ditampal di hadapan meja jualan sebagai daya tarikan dan hiburan kepada pengunjung yang singgah di reruainya.

Gadis Buku merupakan penjual buku karya kreatif pelbagai genre, termasuklah buku genre serius seperti buku teori dan falsafah. Selaku pengedar sah beberapa penerbit buku Malaysia dan Indonesia, Gadis Buku yang ditubuhkan pada tahun 2015 ini menawarkan pilihan buku yang lazimnya sukar didapati di beberapa kedai buku sedia ada.

Gadis Buku turut aktif dalam mempromosikan majalah Tunas Cipta.

Selain buku, Gadis Buku juga turut menjual majalah dan jurnal yang bertemakan sastera. Salah satu majalah pilihan yang dijual oleh Gadis Buku ialah Tunas Cipta. Laman media sosial Gadis Buku dilihat ada mempromosikan majalah Tunas Cipta dan penulis muda yang berkarya dengan Tunas Cipta, terutama apabila penulis berkenaan berkunjung ke galeri Gadis Buku yang terletak di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. Secara tidak langsung, Gadis Buku turut mempromosikan buku karya penulis berkenaan yang ada dijual di galerinya.

Yang pastinya, Gadis Buku akan konsisten menyertai KL Collectors Market yang akan membuka acara seterusnya di Pusat Beli Belah Paradigm, Petaling Jaya, Pusat Beli Belah The Curve, Petaling Jaya dan Pusat Beli Belah Sungei Wang, Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.