Oleh Nazreen Coklat
28 Disember 2021, 21:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada zaman penjajahan atau kolonial, kearifan tempatan di seluruh dunia ini dipinggirkan, malah banyak yang dimusnahkan dan ilmu Barat yang dibawa bersama dengan penjajah Barat telah menjadi dominan. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja berakhirnya penjajahan, kearifan tempatan telah kembali bernafas. Namun kini dalam dunia digital yang membolehkan manusia pantas berinteraksi dan dalam proses globalisasi yang sehala sifatnya, ilmu Barat telah berjaya untuk menguasai semula kerana ilmu tersebut pantas berkembang sebagai ilmu global yang mendominasi semua ilmu yang lain. Oleh itu, kearifan tempatan telah mula kembali terancam.

Sebelum kesemuanya dimusnahkan oleh imperialisme ilmu, kearifan tempatan perlu segera diselamatkan, iaitu wajib diselamatkan oleh bangsa atau masyarakat pewarisnya sendiri. Justeru ia perlu di rekayasa dan dilestarikan, dengan betul, diselidiki dan dipulihara dengan sempurna, disebarkan dengan cara yang berkesan dan yang paling penting diintegrasikan dalam sistem pendidikan.

Clifford Geertz yang merupakan pakar pengajian Jawa dari Harvard/Princeton. (Sumber: Amazon. com)

Secara umumnya, kearifan tempatan merupakan disiplin ilmu pengetahuan yang mengiktiraf dan meraikan kebijaksanaan masyarakat tempatan dalam aspek pemikiran, penciptaan, perekayasaan dan sebagainya. Antara tokoh awal yang mengingatkan masyarakat umum tentang kearifan tempatan ialah Clifford Geertz, pakar pengajian Jawa dari Harvard/Princeton dengan bukunya yang berjudul Local Knowledge: Further Essays in Interpretive Anthropology (1983). Bagi Geertz kearifan tempatan menjurus kepada satu bentuk ilmu pengetahuan yang wujud di satu-satu tempat dan diamalkan dalam setiap masyarakatnya. Wujud kemahiran dan kepintaran hasil daripada respons masyarakat terhadap keadaan sosial dan persekitaran alam yang sentiasa berubah. Selain itu, Geertz turut menegaskan bahawa istilah kearifan tempatan merujuk kemahiran dan keupayaan yang diperoleh dan digunakan oleh masyarakat setempat dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah setempat dan ia sesuai dengan situasi tempatan. Dalam erti kata lain, ia merupakan kearifan yang bersifat tempatan untuk tujuan dan keadaan tempatan, manakala istilah tempatan bukan sahaja merujuk tempat tetapi juga merujuk budaya dan ekologi, iaitu tempat kearifan itu terhasil.

Selain itu, harus diketahui bahawa kearifan tempatan adalah berasaskan pengalaman dan pemerhatian zahir dan batin. Kegunaan atau kesahihannya telah diuji zaman berzaman. Oleh itu, ia bersesuaian dengan nilai sosiobudaya dan persekitaran setempat. Kearifan tempatan didukung oleh masyarakat dan setiap individu, tersemat dalam kepercayaan, pemikiran, bahasa, amalan, bentuk seni budaya, artifak, institusi, adat istiadat dan upacara. Pada masa yang sama, kearifan tempatan bersifat dinamik dan boleh berinteraksi dan berubah mengikut kesesuaian. Malah, kearifan tempatan boleh diadaptasikan di tempat lain dan menyumbang kepada ilmu global. Pemahaman konsep kearifan tempatan juga adalah berkait dengan konsep kearifan peribumi dan kearifan tradisional tetapi mempunyai perbezaan yang tersendiri. Hal ini demikian kerana, konsep kearifan tempatan peribumi memfokuskan terhadap penduduk tertentu, iaitu tidak meliputi pendatang dan ilmu yang diserap masuk dan mempunyai konotasi atau implikasi politik. Antweiler (1998) menyatakan, “Indigenous knowledge is bound by language, tradition and values to particular community”. Dalam konsep kearifan tempatan pula, wujud konotasi masyarakat yang statik, tidak dinamik dan berbeza dengan konsep kearifan tempatan yang bebas daripada konotasi demikian.

Dari segi epistemologi, kearifan tempatan merupakan sistem ilmu yang menyeluruh dan bersepadu untuk sesebuah bangsa atau masyarakat. Ia meliputi semua bidang kehidupan, iaitu masing-masing dengan cara janaan, simpanan, aplikasi dan transmisi yang tersendiri. Sebagai disiplin keilmuan, kearifan tempatan bersifat antara disiplin, manakala segi ontologi pula, kearifan tempatan bersifat berperingkat, iaitu bermula daripada yang tinggi atau eksklusif dan bersifat rohani atau esoterik hingga kepada yang rendah atau inklusif dan bersifat empirikal atau terbuka. Kearifan tempatan berkaitan dengan umur, gender, pekerjaan dan kedudukan dalam masyarakat serta melibatkan pengetahuan dan kemahiran.

Maka dalam kearifan tempatan wujud beberapa jenis komponen dengan pemilikan, kegunaan dan transmisi yang berbeza. Pertama, kearifan khusus (rahsia/suci) yang dimiliki secara eksklusif oleh beberapa individu dengan fungsi tertentu sahaja seperti pawang, bomoh, dukun, pendekar, dalang, bidang, mudim dan mak andam. Ilmunya bersifat esoterik dan diperoleh melalui penuntutan atau perantisan bersama dengan upacara. Kedua, kearifan khusus, iaitu dimiliki oleh lebih banyak individu, seperti pembuat emas/perak/tembaga, tukang rumah/ukir/cerita, pembuat batik, songket, juragan, pengamal perubatan dan lain-lain. Ilmu diperoleh melalui perantisan dan pengasahan kemahiran. Ketiga, kearifan kongsian, iaitu kearifan yang dikongsi oleh kumpulan individu yang jauh lebih ramai dan berkait dengan pekerjaan kelompok masing-masing seperti penternak, pesawah, peladang dan nelayan. Kesemua ilmu ini diperoleh melalui pengalaman dan pemerhatian. Yang terakhir ialah kearifan bersama, iaitu dimiliki oleh semua anggota masyarakat atau anak bangsa yang berkaitan dengan rutin harian seperti makanan, pakaian, rekreasi, amalan kekeluargaan dan interaksi sosial dan lain-lain.

Dalam konteks perkembangan ilmu, bidang disiplin kearifan tempatan ini adalah selari dengan semangat pasca modenisme yang menolak wacana hegemoni atau universal, terutama yang hanya menerima ilmu dari Barat atau Eropah semata-mata. Dari satu sudut, para sarjana pasca modenisme telah membawa pendekatan yang lebih baik, iaitu dengan mengiktiraf kepelbagaian wacana dalam pelbagai bidang ilmu yang tidak semata-mata menggunakan kayu ukur Barat. Pasca modenisme juga dilihat meruntuhkan segala pemahaman ilmu yang telah didukung hanya untuk menyaksikan dan menceritakannya daripada sudut pandangan Barat kepada dunia. Sebaliknya, ia memberi ruang kepada kemajmukan suara, termasuk suara atau naratif kecil yang salam ini berada di pinggiran.

Salah satu kajian kearifan tempatan dapat dilakukan dengan menolak hegemoni Barat ialah dengan menggunakan sastera rakyat. Sastera rakyat ialah hasil pemikiran sesuatu budaya yang disampaikan dari satu generasi ke generasi seterusnya secara turun-temurun. Pada dasarnya, sastera rakyat wujud dalam bentuk lisan dan disampaikan sebagai ucapan atau nyanyian, misalnya cerita dongeng, cerita asal usul, cerita jenaka, cerita hantu dan peri, peribahasa, puisi, pantun, syair dan sebagainya. Sastera rakyat boleh dianggap sebagai cetusan budaya sesuatu masyarakat kerana melambangkan cara pemikiran dan kearifan tempatan yang diguna pakai dalam kehidupan seharian masyarakat tersebut. Sastera lisan juga merupakan medium untuk menyampaikan ilmu pengetahuan (kepakaran, petua dan nasihat) yang diwarisi secara turun-temurun dan disebarkan dari mulut ke mulut sejak zaman berzaman.

Kajian dalam bidang sastera lisan ini telah dilakukan oleh mereka yang ingin mendalami cara pemikiran sesuatu budaya atau masyarakat kerana dapat mengungkap buah fikiran komuniti itu dalam menghadapi sesuatu situasi. Malah, sastera lisan juga dapat mencerminkan norma dan nilai pegangan komuniti tersebut. Dalam usaha untuk memulihara kearifan tempatan di Malaysia, maka hasil sastera lisan sesuatu masyarakat itu amat penting untuk dikaji, diolah secara ilmiah dan didokumentasikan untuk tatapan umum.

Dalam usaha untuk memartabatkan kearifan tempatan pula, sastera lisan sebagai satu khazanah ilmu wajar diberikan perhatian oleh para pengkaji kerana genre ini mampu menjadi sumber akal budi, di samping menjadi hiburan dan sumber pendidikan. Tidak dinafikan, peribahasa, cerita rakyat, syair dan pantun yang dihasilkan pada masa lalu itu mengandungi unsur-unsur yang mencerminkan perkembangan sejarah pada waktu sastera lisan tersebut diilhamkan kerana “tiap-tiap hasil sastera mencerminkan keadaan masyarakat pada waktu itu, khususnya susunan masyarakat bangsa itu sendiri dari segi lahir dan batinnya”.  Hasil karya ini wajar dianggap sebagai ilmu sepunya segenap lapisan masyarakat, lalu harus dipelihara dan disebarkan terutamanya kepada generasi muda agar dapat dikekalkan sebagai satu amalan budaya yang mencerminkan betapa tinggi dan dinamiknya nilai peradaban masyarakat Malaysia.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi