Oleh Lim Wei Wen
3 Disember 2021, 17:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah bengkel asas penulisan karya kreatif berjaya dianjurkan oleh Kelab Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaya pada pagi tadi. Program ini merupakan kali pertama dijalankan secara maya bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Dalam bengkel ini, para peserta mendapat bimbingan daripada pensyarah yang berpengalaman dalam bidang penulisan iaitu Dr. Ummi Hani Abu Hassan.

Sesi bimbingan ini memfokuskan teknik penulisan khususnya genre cerpen dan novel. Sebagai seorang pengarang, Dr Ummi Hani menegaskan bahawa kualiti sesuatu karya terletak kepada pengarang yang mempunyai jiwa dan rasa lalu diolah dengan sensitiviti dan kreativiti. Malah segala aspek misalnya gaya hidup, persekitaran, pendidikan, agama dan kepercayaaan hidup turut berperanan dalam membentuk cita rasa dalam penulisan.

Beliau turut mengambil kesempatan dengan menceritakan pengalaman beliau dalam bidang penulisan termasuklah bahan bacaan yang sangat signifikan bagi setiap penulis dan juga penghayatan terhadap karya sastera. Cerpen yang tersiar di akhbar Berita Harian, Mingguan Malaysia dan majalah Tunas Cipta sering kali menjadi bahan bacaan beliau terutamanya ketika bergelar sebagai pelajar. Oleh itu, beliau turut menggalakkan para peserta agar tekun meneroka karya sastera daripada Sasterawan Negara (SN) seperti SN A. Samad Said, SN Anwar Ridhwan, dan ramai lagi.

Bagi Dr Ummi Hani, proses berfikir dan penghasilan adalah proses yang perlu dilalui bagi seseorang penulis dalam menggarap karya pelbagai genre termasuklah puisi. “Kepekaan, imaginasi dan kreativiti merupakan antara unsur yang berfungsi dalam memantapkan lagi karya yang dihasilkan”, tambah beliau. Dr. Hani juga sempat berkongsi beberapa proses penciptaan karya beliau misalnya cerpen M suami yang memenangi Hadiah MASTERA, K isteri, Rindu Seon Mi, dan Para Pencari Rumah (sekadar menyebut beberapa karya). Dalam K isteri tamsilnya, beliau mengadunkan pengalaman diri ketika di Korea yang digabungkan dengan pengaruh imaginasi, realiti sosial dan kritikan sosial bagi melahirkan cerpen tersebut.

Karya kreatif adalah suatu hasil yang diilhami daripada nilai hidup yang dinamik, yang dirasakan oleh hati nurani seorang seniman. Nilai-nilai ini muncul daripada pengalaman dan jalinan hubungan dengan Pencipta, manusia dan alam.

Bengkel perkongsian tersebut lalu diakhiri dengan sesi soal jawab yang melibatkan antara penceramah dengan para peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.