26 Oktober 2021, 07:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus– Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail dan badan penulis di Terengganu telah bersatu melaksanakan Perkampungan Celik Sastera Terengganu 2021 secara dalam talian pada 24 hingga 25 Oktober 2021.

Program penataran sastera ini berperanan untuk memberikan pendedahan asas kepada peserta tentang sastera dan penulisan serta cabang sastera. Sasaran pemahaman dan celik sastera ini ialah kepada generasi muda dalam kalangan para pelajar IPG, IPT dan penulis muda yang sebelum ini hanya mendapat pendedahan agak terhad dan sebahagian besar mereka masih kabur tentang sastera dan genrenya.

Program pendedahan asas ini diharapkan dapat mencelikkan para peserta tentang apakah itu sastera dan bidang penulisannya. Selain itu, program ini juga dapat menarik minat  peserta untuk lebih mendekati sastera, sama ada melalui penulisan dalam genre sastera atau melalui seni persembahan karya sastera.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan, dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan penghargaan kepada IPG Kampus Dato’ Razali Ismail dan rakan NGO penulisan dan kesenian di Terengganu, iaitu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Persatuan Karya Negeri Terengganu (KARYA), Majlis Kebudayaan, Kesusasteraan dan Warisan Negeri Terengganu (MKN), Grup Teater Asyik Terengganu (GTA), Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER), Persatuan Jurnalis Terengganu (PEWARTA), dan Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT) yang bersatu menjayakan perkampungan sastera ini dan sentiasa menyokong DBP dalam usaha memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Pelaksanaan program ini digerakkan dengan keterlibatan dan bimbingan daripada penulis, pakar dan sasterawan aktif yang berada dalam badan NGO sastera atau persuratan di Terengganu. Peserta pula dihimpunkan secara perkampungan dalam satu talian untuk mengikuti sembilan slot bimbingan. Satu jam untuk setiap slot diperuntukkan kepada setiap penceramah dan ini bertujuan memberikan pengetahuan peringkat asas kepada  peserta tentang alam sastera Melayu.

S.M Noor mengendalikan slot “Skrip Drama Radio dan Drama TV” pada hari pertama Perkampungan Celik Sastera diadakan.

Lima slot program diadakan pada hari pertama merangkumi  Puisi Tradisional oleh Marzuki Ali, Sajak Umum dan Remaja oleh Awang Abdullah, Anekdot dan Cerpen oleh Alias Ismail, Novel oleh Husna Nazri, dan Skrip Drama Radio dan Drama TV dibimbing oleh S.M Noor. Empat slot lagi disampaikan pada hari kedua yang meliputi Skrip Drama Pentas oleh Wan Ahmad Ismail, Karya Kreatif untuk Kanak-kanak dibimbing oleh Nurimas SN, Sharif Putera membicarakan tentang Biografi, Autobiografi dan Travelog, dan Kamarulzaman Ismail memberi bimbingan dalam slot terakhir, bidang Esei dan Kritikan.

Untuk menguji perhatian dan pemahaman peserta bagi setiap slot, setiap penceramah telah menyediakan tiga soalan untuk kuiz terkumpul. Peserta yang berjaya menjawab kuiz tersebut akan diberikan hadiah berupa buku oleh pihak DBP.  Peserta ternyata berpuas hati dengan bimbingan setiap slot oleh penceramah. Rata-rata peserta teruja dengan bimbingan oleh tokoh sasterawan Terengganu ini. Mereka dapat mengetahui setiap bidang sastera dengan lebih meluas dan sekali gus mengenali dengan lebih dekat karya yang dihasilkan oleh tokoh sasterawan Terengganu. Mereka juga mengharapkan agar program ini diadakan secara bersemuka pada tahun akan datang untuk memberikan ruang interaksi yang lebih terbuka dengan  penceramah.

Program yang disertai lebih 400 orang peserta dalam kalangan pelajar IPG, UMT, UniSZA dan umum ini diharapkan mampu memupuk minat, membina khalayak sastera dan membimbing peserta dalam kalangan generasi baharu untuk mengenali sastera dengan lebih dekat.

Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, YBrs. Dr. Hajah Narita Mohd Noor, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa beliau amat mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. “Cintailah bahasa kebangsaan kita, sayangilah bahasa dan sastera seperti permata,” ujar beliau.

Program ini wajar ‘diangkat’ untuk masa akan datang dengan melibatkan pembimbing dari luar Terengganu. Penglibatan dalam kalangan Sasterawan Negara pula pasti memberikan keterujaan dalam kalangan peserta. Saranan oleh perasmi  ini diharapkan dapat meningkatkan lagi pencapaian objektif dan keberkesanan program Perkampungan Celik Sastera Terengganu ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.