23 Oktober 2021, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Daripada 18 cerpen yang dinilai dan dianalisis, sebanyak empat cerpen yang saya akan tampilkan sebagai cerpen terbaik,” ujar Abang Median Abang Said dalam program program SUNTIK: Sunting dan Nilai Hingga Cantik yang berlangsung menerusi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka dan JendelaDBP pada pukul 10 pagi tadi.

Program anjuran DBP yang merupakan siri ketiga ini membincangkan kualiti karya penulisan di ranah media akhbar dan penyiaran untuk mencapai takah yang lebih berkualiti dan bermutu.

Beliau menilai dan menganalisis cerpen pilihan yang terbit di akhbar negeri Sabah dari Julai hingga September 2021. Sebanyak 18 buah cerpen telah dinilai yang merupakan hasil karya daripada pengarang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sejarah. Ada yang merupakan  penulis prolifik dan ada juga penulis yang semakin memaparkan kekuatannya. Antaranya ialah karya Jasni Matlani, Ruhaini Matdarin dan Rodiah Haji Said (sekadar menyebut nama).

Abang Median merumuskan akan kecenderungan pengarang memilih isu kemanusiaan yang bergejolak dalam kehidupan peribadi mereka, di samping menekan isu sosial, isu sejagat yang disisipkan sejarah antarabangsa, malah bertembung dengan isu kasih sayang dan kebudayaan. Elemen genting juga bertaut dengan isu keruntuhan akhlak, kerapuhan sistem kekeluargaan dan keagamaan.

Abang Median menambah, “Terdapat cerpen yang mempunyai pemilihan dan kandungan tema yang menarik, tapi tidak seimbang kekuatan dalam menggarap sesebuah cereka. Umumnya, terdapat kemalapan keseimbangan di antara minda dan jiwa. Isunya besar, namun kesan dan impaknya buat pembaca tidak sebesar isu yang ditampilkan.”

Cerpen “Kerana Mencintaimu Pandemik: Pandemik ini Hanya Sebutir Pasir” mengisahkan seorang watak yang insaf setelah mendengar sebuah khutbah dan perjalanan ke arah perubahan itu yang bertitik tolak daripada khutbah itu sendiri. Konsep dan mesejnya cukup baik, namun ilmunya terasa tidak mengesankan.

Jika kita mahu letak ilmu dalam cerpen, ia hendaklah bergerak selari dengan jalan cerita. Bukan penyampaian secara langsung sehingga menghilangkan estetika atau kekuatan naratif dalam cerpen tersebut.

Tema kebudayan pula ditampilkan melalui cerpen “Rumah Abadi” karya Katerina Susanatati. Menceritakan drama dan usaha memindahkan kubur ibunya supaya lebih dekat dengan kubur ayahnya yang dikelilingi rona budaya dan adat Kadazandusun. Abang Median memuji bahawa elemen kebudayaan dalam cerpen ini kuat, malah membuka satu sisi yang tidak dikenali ramai. Namun, aspek kebudayaan yang ditampilkan hanya jelas di permukaan, dan dicadangkan untuk mendalamkan lagi perinciannya, dimasukkan ke dalam jiwa watak supaya pembaca akan menghargai ilmu kebudayaan sebegitu.

Daripada 18 cerpen yang disiarkan, sebanyak empat cerpen terbaik pada pandangan Abang Median adalah; “Mimpi Sebelum Mati Seorang Kamal”, “12 Menara Naga Agenda Bumi Hangus”, “Satu” dan “Kepala Lembu dalam Aliran Sketsa Leonardo Da Vinci”.

Cerpen “Mimpi Sebelum Mati Seorang Kamal”, karya Suzana Jumadil mengangkat tema sejagat dan sejarah, membentangkan cereka mimpi Mustafa Kamal Ataturk yang bertemu Muhammad Al-Fateh, penakluk Konstantinopel. Selain mempunyai penggarapan yang cantik, dialognya juga dramatik dan berkesan yang menggerakkan cerita dengan baik. Malah, isunya juga bernafas segar dan jarang dapat dijumpai penulis popular kini.

Manakala cerpen “12 Menara Naga Agenda Bumi Hangus” pula dilihat tidak menzahirkan kekuatannya terhadap binaan plot (dengan sengaja), namun fokus pada pemikiran dan tema yang bergerak hidup secara keseluruhan garapan cerpen.

Cerpen “Satu” pula mengangkat permasalahan lokal di negeri Sabah yang direalisasikan dalam realisme baru. Watak ‘Aku/Dia’ menggerakkan cerita yang berkisar dalam gerakan Abu Sayyaf, dengan elemen patriotisme. Ruhaini Matdarin, seorang penulis yang mempunyai sejarah penulisan dengan jalan penceritaan yang berada di takah tinggi dalam ranah sastera turut menekankan aspek emosi, selain memberikan kesedaran sosial, ekonomi dan sejarah kepada pembaca.

Abang Median memilih karya terbaik yang dinilainya daripada empat cerpen luar biasa itu ialah cerpen “Kepala Lembu dalam Aliran Sketsa Leonardo Da Vinci”, karangan Jasni Matlani, yang diterbitkan dalam Harian Ekspres, 18 Julai 2021.

Bukan sahaja ia memukau melalui tajuk, cerpen ini juga kuat dari aspek penceritaan yang diolah pengarang. Abang Median menambah, “Bahasa dengan nada satiranya diolah dengan simbol kepala lembu daripada sketsa Leonardo Da Vinci. Perbezaan persepsi menjadi ideologi utama cerpen ini yang memaparkan perbezaan penafsiran sketsa lukisan Leonardo da Vinci itu. Imej lembu pula membawa konotasi tersendiri, dan keseiringannya dengan permasalahan politik, jelas ia memberi kesan yang luar biasa.”

“Cerpen ini sendiri akan menghasilkan perbezaan persepsi yang tersendiri dalam kalangan pembacanya. Bahasa yang digunakan adalah baik, gubahan frasa dan pemilihan diksi yang selari dengan subjek, kemas susunannya, naratifnya tersusun dan jelas tonggak kekuatan cerpen ini ialah penggunaan kiasan yang mempersonifikasikan abstrak kebodohan, pertelingkahan dan unsur misteri dalam cerpen ini,” jelas beliau.

Tonton siaran program di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.