20 Oktober 2021, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam penulisan karya kreatif, akan ditemukan kategori seperti novel, cerpen, puisi dan drama. Akan tetapi, di manakah letak duduknya sejenis penulisan yang disebut anekdot? Adakah anekdot juga tergolong sebagai karya kreatif? Jika melihat penjelasan tentang penulisan karya kreatif, memang tidak akan ditemukan kategori anekdot. Adakah anekdot termasuk dalam kategori cerpen? Lantaran timbulnya persoalan itulah, maka akan diperturunkan ceritera ringkas tentang anekdot, satu bentuk karya yang sebenarnya sudah popular dalam kalangan mereka yang gemar menulis pada hari ini.

Jika meneliti, sama ada kamus berbahasa Melayu atau Inggeris, pemerian definisi anekdot adalah hampir sama. Dalam Kamus Dewan Perdana (2021), anekdot bermaksud cerita pendek yang menarik atau lucu tentang sesuatu peristiwa benar atau pengalaman seseorang yang disampaikan sebagai hiburan dan pengajaran kepada pendengar atau pembaca. Merujuk Kamus Besar Bahasa Indonesia Daring (2021) pula, anekdot ialah cerita singkat yang menarik kerana lucu dan mengesankan, biasanya mengenai orang penting atau terkenal dan berdasarkan kejadian yang sebenar. Perkataan anekdot yang berasal daripada bahasa Greek, anekdota diberikan maksud “a short amusing or interesting story about a real incident or person” dalam Oxford Language Dictionary Online.

Berdasarkan pemahaman umum pula, anekdot bererti kisah atau cerita yang ringkas dan biasanya bernada lucu atau bersifat jenaka tentang sesuatu kejadian atau peristiwa. Cerita yang ditulis pula lazimnya berdasarkan kisah benar yang berlaku dalam hidup penulis anekdot itu sendiri, sama ada peristiwa yang dialaminya ataupun yang berlaku di sekelilingnya.

Maknanya, anekdot menjadi ruang untuk sesiapa sahaja berkarya tentang diri dan kehidupannya. Cerita yang ditulis itu pula cenderung memberikan kesan seperti gembira, sedih dan insaf, malah sesetengah cerita itu menjentik hati dan pemikiran pembaca. Walau apa-apa pun pengertiannya, anekdot kini semakin mendapat tempat di hati pembaca kerana sifatnya yang santai tetapi menghiburkan dan mengesankan jiwa.

Pada awalnya, terutamanya di Indonesia, anekdot kebiasaannya ditulis untuk menyampaikan kritikan melalui sindiran terhadap kejadian yang dialami oleh seseorang ataupun sesuatu isu yang berlaku dalam kehidupan masyarakat atau negara. Namun demikian, kritikan berupa sindiran itu tidak bernada kasar atau menyakiti hati orang yang membacanya, malah berjaya menghiburkan pembaca anekdot tersebut.

Anekdot dan Antidot: Catatan Seorang Doktor Rehabilitasi menerima Anugerah Buku Negara 2018 bagi kategori buku perubatan terbaik.

Selain itu, penulisan anekdot juga biasanya mengangkat cerita tentang orang terkenal seperti pemimpin atau tokoh negara berdasarkan perkara yang terjadi. Kejadian atau peristiwa yang menjadi dasar cerita itu disulami dengan elemen lucu yang berunsur rekaan semata-mata bagi “menyedapkan” anekdot tersebut. Jadi rumusannya, anekdot dihasilkan sebagai suatu bentuk kritikan yang menyampaikan realiti sosial dengan cara yang unik dan lucu.

Ekoran ciri penulisannya yang ringkas tetapi padat, ini bermakna penulis anekdot tidak perlu terlalu memberikan penerangan terperinci mengenai setiap unsur yang membina ceritanya. Penulisan anekdot juga tidak mengutamakan perincian latar masa, latar tempat dan perwatakan. Yang penting ialah tema atau persoalan pokok sesuatu cerita yang kebiasaannya ditulis berdasarkan pengalaman, kejadian sebenar atau apa-apa sahaja yang menjadi idea atau pemikiran seseorang.

Hal ini bermakna, penulis anekdot tidak perlu menaratifkan latar serta watak dan perwatakan kepada pembaca. Harus diketahui bahawa perincian berkaitan watak dan latar, termasuk penggunaan bahasa yang terlalu “berbunga-bunga” akan menjadi unsur lewah dalam sesebuah anekdot, sedangkan anekdot perlu ringkas tetapi padat.

Penceritaan dalam anekdot juga bertujuan untuk merangsang pembaca membuat analisis dan membina sendiri kefahaman mereka terhadap sesebuah cerita yang disampaikan melalui anekdot. Penulis anekdot tidak perlu berasa risau jika pembaca tidak memahami apa-apa yang disampaikan dalam cerita. Yakinlah pada kuasa cerita dan daya fikir pembaca kerana setiap pembaca akan mentafsir sesebuah cerita mengikut perspektif mereka sendiri.

Pada masa ini, sudah terbit banyak buku yang menghimpunkan anekdot, yang ditulis berdasarkan tema tertentu. Penetapan tema menjadikan anekdot bukan sahaja karya yang ditunjangi unsur lucu dan jenaka, malah anekdot menjadi ruang bagi penulis meluahkan apa-apa yang terbuku di dalam hati sehingga terhasillah anekdot yang meruntun jiwa dan boleh membuatkan pembaca menitiskan air mata. Kebiasaannya, tema untuk menulis anekdot ditetapkan oleh editor atau pihak penerbit yang menguruskan penerbitan buku tersebut.

Tema juga ditetapkan sebagai langkah untuk membantu penulis mencari ilham untuk menulis anekdot, selain menerbitkan buku anekdot yang tersusun dan bertema. Antara tema yang pernah ditetapkan oleh editor atau penerbit termasuklah kerjaya, suri rumah, sahabat, kematian, kesihatan, kampung halaman dan lain-lain. Buku anekdot yang bertema lazimnya menghimpunkan anekdot yang ditulis oleh ramai penulis.

Namun begitu, tidak kurang juga buku yang menghimpunkan anekdot yang ditulis oleh seorang penulis. Penerbit Kata-Pilar dilihat begitu aktif menerbitkan buku anekdot, malah kerap mengadakan bengkel penulisan anekdot. Berdasarkan carta buku terlaris terbitan Kata-Pilar semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019, ternyata buku anekdot mengungguli carta tersebut.

25 Kes: Himpunan Kes yang Tak Terlupakan merupakan antara buku anekdot yang berjaya menarik minat pengunjung di PBAKL 2019.

Tajuk buku anekdot yang menjadi pilihan pengunjung PBAKL 2019 ialah 25 Kes: Himpunan Kes yang Tak Terlupakan, Buku Pink 2.0: Lagi Cerita-cerita Ibu Mengandung, Anekdot dan Antidot: Catatan Seorang Doktor Rehabilitasi dan Kilo vs Kalori: Cerita-cerita Melawan Obesiti. Selain menduduki senarai lima judul terlaris, buku Anekdot dan Antidot: Catatan Seorang Doktor Rehabilitasi menerima Anugerah Buku Negara 2018 bagi kategori buku perubatan terbaik. Hal ini membuktikan bahawa buku yang berkonsepkan anekdot, walaupun bersifat santai dan penulisannya ringkas telah berjaya menawan hati pembaca, termasuklah hati juri yang menilai kualiti dan elemen menarik yang ada pada sesebuah buku untuk diberikan pengiktirafan.

Rumusannya, penulis yang mahu menghasilkan anekdot harus berpegang pada kata kunci seperti cerita benar yang ditambah sedikit imaginasi penulis, ringkas, lucu dan menghiburkan hati. Maka, kata kunci tersebut menjawab persoalan tentang kategori anekdot dalam penulisan kreatif, iaitu suatu genre penulisan yang ringkas dan padat serta tidak menyamai kepanjangan teks seperti dalam cerpen. Kata kunci itu juga yang menyebabkan buku yang menghimpunkan anekdot menjadi pilihan kebanyakan pembaca pada masa ini, yang secara tidak langsung melahirkan minat untuk menulis anekdot berdasarkan kisah hidup mereka sendiri. Hal ini selaras dengan tulisan Norman Cousins dalam bukunya, The Healing Heart: Antidotes to Panic and Helplessness (1983), yang menyatakan “Penulis membuat hidupnya dengan anekdot.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.