13 Oktober 2021, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Skrip Drama Radio Saat Hujan Turun, karya Hasni Jamali menang Anugerah Citra Karya DBP 2020/2021 (Kategori Kreatif) yang diumumkan dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2020/2021 yang diadakan pada 13 Oktober 2021, dan disiarkan secara dalam talian menerusi media sosial rasmi DBP. Majlis Hari Inovasi DBP 2020/2021 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Mohamad bin Haji Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II.

Cerpenis, novelis dan karyawan DBP yang berkhidmat di Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja ini melahirkan rasa syukur dengan kemenangan tersebut. Luah Hasni Jamali dalam laman sosial Facebooknya, “Alhamdulillah … alhamdulillah … alhamdulillah … mak … ayah, along dapat surat anugerah. Terima kasih Allah, guru, sahabat, rakan dan semua yang mendoakan kejayaan Hasni.”

Kejayaan ini bukan pertama kali buat Hasni, tetapi yang ketiga. Sebelum ini, dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2018 dan 2019 beliau telah memenangi anugerah yang sama melalui kategori yang sama, iaitu karya Skrip Drama Radio Sepandai Tupai Melompat yang diterbitkan di Radio Klasik siaran 25 Februari 2018 dan Skrip Drama Radio Damai Sebuah Jiwa yang diterbitkan di Radio Klasik siaran 18 November 2018.

Saat Hujan Turun mengisahkan watak Ibu yang sudah tua dan nyanyuk. Walau bagaimanapun, Ibu enggan menerima kenyataan bahawa anak sulungnya, Along meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, malah menuduh Johan (menantu kedua) menjadi penyebab Along meninggal dunia.

Mengenangkan Ibu yang sakit, Ati (anak kedua) membuat keputusan untuk berhenti kerja dan meninggalkan kemewahan yang ada dan pulang ke kampung untuk menjaga Ibu. Johan (suami Ati) sangat menyokong keputusan isterinya kerana Johan ingin mengambil peluang kedua untuk menjaga ibu mentuanya setelah tidak berpeluang menjaga ibu kandungnya yang telah meninggal dunia.

Thirah (rakan pejabat Ati) menjadi asbab pertolongan ketika Ati dan Johan dilanda masalah. Ati dan Johan mengamalkan berdoa ketika hari hujan, kerana mereka tahu keberkatan dan rahmat berdoa pada waktu hujan yang Allah akan berikan kepada hamba-Nya yang tulus berdoa mengharapkan kebaikan.

Saat Hujan Turun telah disiarkan di radio Selangor.fm dalam slot Layar Merah pada 15 Mac 2020, pukul 12.00 tengah hari dengan menampilkan para pelakon seperti Farah Ahmad sebagai Ati, Heariyanto Hassan sebagai Johan, Fauziah Nawi sebagai Ibu, Boy Ngasri sebagai Aman dan Lisdawati sebagai Thirah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.