23 September 2021, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dua penulis novel pemenang sagu hati Sayembara Fixi, iaitu Risik karya Rashidah Razali dan Noktah karya Aizat Mahadan berdialog dan membuka cerita berkenaan karya mereka di sebuah slot dialog anjuran Buku Fixi di Twitter @bukufixi pada  21 September (Selasa), pukul 9.30 malam.

Noktah, karya Aizat Mahadan.

Aizat Mahadan berpeluang menerbitkan buku debut beliau bersama Buku Fixi melalui novel Noktah. “Konsep Buku Fixi yang melawan arus dan keluar daripada kepompong kebiasaan novel perdana menjadi platform percubaan saya untuk mula berkarya,”ujar Aizat. Beliau pernah menghantar manuskrip pada Sayembara Fxi pada sebeoum ini, namun rezeki tidak berpihak kepada beliau.  Namun percubaan beliau menyertai dan menghantar karya pada Sayembara Fixi ke-3 akhirnya membuahkan hasil.

Memenangi hadiah sagu hati adalah satu kejutan buat Aizat, memandangkan latar belakang beliau yang bukan seorang penulis. Namun kejutan ini juga merupakan satu transisi besar dalam kehidupan beliau yang mengatakan ini adalah langkah pertama beliau untuk lebih menggiatkan diri dalam bidang penulisan.

Aizat Mahadan yang gemar membaca buku terbitan Buku Fixi terinspirasi secara rapat dengan genre dan struktur naratif yang dibawa penulis Buku Fixi. Novel Noktah ini terhasil daripada pembacaan beliau dan minat dalam kisaran buku-buku yang berkaitan.

Noktah merupakan manuskrip eksperimen saya, ada penggunaan sudut pandangan pertama dan sudut pandangan ketiga. Novel tersebut mengisahkan watak yang mencuba untuk menulis dalam Sayembara Buku Fixi dan bagaimanakah tulisan-tulisan yang dinukil watak itu menjadi kenyataan,” jelas beliau. Oleh itu, idea yang tersarang lama itu mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan manuskripnya.

Rashidah Razali pula adalah penulis yang berehat sebentar daripada menukil prosa dan kembali menaip cereka apabila melihat iklan Sayembara Fixi yang ke-3. “Ini adalah percubaan pertama saya dalam menghasilkan novel untuk audiens yang matang dan dewasa,” tambah Rashidah.

“Sayembara ini adalah pintu untuk saya menjadi penulis Fixi, makanya memang saya sudah memasang niat untuk menulis dan memenangi hadiah, tak kiralah hadiah utama mahupun hadiah sagu hati,” ujar beliau. Rasyidah yang pada awalnya hanya bercita-cita untuk menjadi penulis dalam gedung penerbitan indie itu telah menjadikan buku terbitan Fixi sebagai sumber inspirasi dalam berkarya.

Risik, karya Rashidah Roseli.

Berkenaan novel Risik, Rashidah menyatakan yang salah satu sebab keberhasilan naskhah ini juga adalah kerana sifat Fixi yang terbuka. “Jika ada petikan mahupun penceritaan yang sensitif dan menarik provokasi, Buku Fixi masih boleh terbitkan,” ulas Rashidah. Novel yang berkisar dunia jenayah seksual dan kesan konsekuensi secara realiti ini menggarap kehidupan seharian seorang manusia yang berubah akibat melakukan satu kesalahan, membawa kepada kesalahan yang lain.

Katanya, “Novel ini juga bergerak laju selaras dengan penghasilannya yang mengambil masa pendek kerana saya terjumpa iklan sayembara fixi juga pada saat akhir.” Dengan meletakkan kedudukan beliau sebagai penulis yang masih baharu dan mula menapak dalam ranah penulisan. Beliau turut mengatakan bahawa  penghasilan naskhah Risik ini sebagai satu proses pembelajaran.

“Konsisten untuk menulis daripada muka surat awal hingga ke pengakhiran adalah satu cabaran yang perlu saya hadapi. Malah, faktor kekurangan peminat dan pengikut juga menyebabkan saya ragu-ragu dan takut dengan pencapaian akhir naskhah Risik ini,” tambah Rashidah ketika membicarakan tentang cabaran.

Manakala bagi Aizat Mahadan, cabaran untuk penulis baharu adalah komitmen masa, lebih-lebih lagi beliau yang sudah berkeluarga. Secara peribadinya, Aizat turut beranggapan bahawa cabaran untuk menghasilkan naskhah baharu yang menghembuskan nafas lain daripada lain adalah agenda utama penulis baharu.

Pemenang hadiah sagu hati sayembara Buku Fixi berpeluang untuk menerbitkan naskhah mereka. Menerusi kenyataan mereka di pengumuman Sayembara Fixi ke-3 juga, Buku Fixi tidak akan menerima lagi manuskrip baru hingga ke penghujung tahun 2022 setelah selesai penyenaraian pemenang sayembara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.