28 Ogos 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena kempen Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021, sesi webinar bertajuk “Kelangsungan Syair di Malaysia: Dari Kaca Mata Anak Muda” anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diadakan dalam usaha mengangkat dan melestarikan puisi Melayu tradisional, iaitu syair.

Program di bawah Semarak Dasar Kebudayaan Negara ini menampilkan ahli panel seperti Penyelidik Seni Budaya, Dr. Shafa’ Atussara Silahudin dan penyair, Amran Ibrahim Rashidi serta Shahrizal Abdan sebagai moderator.

Shahrizal Abdan sebagai moderator.

Dr. Shafa’ Atussara menyatakan bahawa pendekatan kelestarian dan pemugaran syair baik dari segi teks atau dendangan boleh dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu individu dan kelompok yakni persatuan atau organisasi. Beliau berpandangan, sekiranya tiada kerjasama atau program yang dianjurkan secara kolektif oleh organisasi berkaitan, pastinya kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang dunia syair berada pada tahap minimum.

“Walau bagaimanapun, masyarakat juga perlu mengambil maklum akan peranan mereka dalam usaha memperkenalkan syair kepada generasi baharu. Ini bermakna kedua-dua komponen ini adalah saling memerlukan,” ujarnya.

“Puisi Melayu lama sangat wajar untuk diterapkan dalam diri generasi baharu kerana memiliki ciri-ciri unik,” ujar Dr. Shafa’ Atussara.

Tambahnya lagi, beliau amat menggalakkan semua golongan untuk mendukung DAKEN 2021 yang bakal dilancarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Puisi Melayu lama sangat wajar untuk diterapkan dalam diri generasi baharu kerana memiliki ciri-ciri unik yang menekankan nilai seperti agama, pengajaran, nilai murni dan juga sejarah.

“Syair juga boleh bertindak sebagai medium untuk mengukuhkan nilai budaya dan bangsa yang tinggi dalam kalangan masyarakat, terutamanya anak muda. Sebagai contoh, program seperti pertandingan syair, bengkel penulisan teks, kelas dendangan syair yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta dilihat sebagai satu pendekatan positif dalam melestarikan puisi ini agar tidak hilang ditelan arus zaman,” jelasnya.

Sementara itu, Amran Ibrahim berkata, kita perlu menggunakan kaedah pemujukan bagi menggalakkan anak muda menghasilkan karya puisi tradisional. Bentuk sastera ini sangat istimewa dan dekat dengan nilai Melayu kerana kata-katanya yang penuh dengan tertib, adab, kelembutan, kesusilaan, sopan santun serta nilai pemikiran. Puisi tradisional berbeza dengan sajak moden yang mana sifatnya lebih bebas.

Amran Ibrahim menyeru agar badan-badan berkaitan dapat berganding bahu dalam melestarikan puisi Melayu.

Sambungnya lagi, “Saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Warisan Negara dan JKKN dapat berganding bahu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam melestarikan puisi Melayu. Saya melihat keperluan untuk mewujudkan subjek Sastera dan Budaya di peringkat sekolah rendah, menengah serta Institusi Pengajian Tinggi dan bukan hanya dalam komponen subjek Bahasa Melayu semata-mata. Generasi baharu perlu dididik untuk menyeimbangkan penulisan dan persembahan puisi.

“Kerana kedua-duanya berperanan dari segi saintifik, kesihatan mental dan psikologi. Apabila kita meluahkan dan mendengar perkataan yang indah, cantik, lembut, maka hati serta peribadi akan terbias menjadi seperti kata-kata itu. Melalui persembahan suara yang didendangkan pula dapat memberikan terapi emosi untuk melegakan kesedihan, kemarahan serta memberikan kebahagian dalam diri. Jadinya peranan itu bukan sekadar mendidik jiwa, tetapi juga dapat memberikan rawatan psikologi yang berkesan,” kongsi Amran Ibrahim kepada pendengar.

Program ini disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook JKKN Wilayah Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2021, pukul 6.00 petang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.