4 Ogos 2021, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulis karya satira cenderung dalam melihat masyarakat secara mendalam dan telus. Tata dalam pengadunan dan pembinaan latar dunia karya satira pula adalah penuh dengan pekerjaan renyah yang penting dan perlaksanaan kajian secara menyeluruh untuk memenuhi keperluan karya sastera satira.

Pak Tua, atau nama sebenarnya Hj. Mohd Khairi Hj. Halimi, penulis novel satira sejak dari tahun 90-an memberi nasihat bahawa penulis yang berkeinginan untuk menulis satira harus membuat pemerhatian perlakuan dan acara sosial secara mendalam sebagai usaha untuk menghasilkan karya yang memberi kesan.

Beliau yang juga pernah menggunakan nama pena Khairy Halimi dan Maya Rimba telah menerima pelbagai kritikan dan pujian, lantaran kejayaan beliau menghasilkan novel bergenre satira, yang bertemakan adunan watak haiwan dalam kalangan masyarakat yang menggambarkan perihal sosial realiti manusia.

Bagi mengupas dengan lebih lanjut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah  mengadakan Rancangan Bicara Karyawan: Novel Satira Komuniti Aljabar menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada isnin yang lalu.

Menggunakan latar yang sangat tersirat dan tersembunyi, pembaca perlu mengkaji dan memerhati apakah yang cuba disampaikan penulis dengan kaedah penghayatan watak dan latar tempat, latar peristiwa dan latar masa. Kritikan sosial yang terkandung dalam karya satira Khairi Halimi menggambarkan manusia yang tidak ubah seperti haiwan.

“Manusia dan haiwan ini ada persamaannya seperti perasaan, perlu dipujuk kalau merajuk, marah jika lapar, hubungan ibu dan anak, tak suka orang asing mengocak ketenteraman, semangat kekeluargaan dan sebagainya,” jelas Khairi Halimi.

Sering kali menggunakan haiwan sebagai latar dunia satira beliau, Khairi menegaskan, apa-apa jenis watak yang digunakan tetap memerlukan pembaca untuk memberi perhatian penuh dalam menentukan isu serta unsur realiti yang mengambil tempat.

“Kedua-dua unsur ini mempunyai perkaitan antara satu sama lain, perbandingan perlu dilakukan,” tambah Khairi.

Membicarakan karyanya, novel Komuniti Aljabar mengisahkan satu masyarakat kerbau dan bangau yang tinggal di satu perkampungan Wilayah Damai, sebuah perkampungan bendang padi.

“Di sini, latar tempat yang dipilih ialah bendang padi. Bendang padi menggambarkan masyarakat pantai timur yang hidup dengan budaya ketimuran,” Khairi menerangkan cara membandingkan dan menghayati latar karya satira.

Antara naratif yang dibawa dalam Komuniti Aljabar adalah satu peristiwa yang berlaku apabila idea baharu diperkenalkan ke dalam komuniti tersebut. Watak dua spesies ini, kerbau dan bangau bertemu konflik apabila spesies  berbangsa kerbau yang baru pulang dari tanah rantau membawa budaya baharu untuk memadu kasih dengan spesies yang berbeza, iaitu spesies bangau.

“Saya cuba dekatkan pembaca dengan isu yang banyak berlegar perihal keperluan untuk berfikir panjang sebelum memaksa penerimaan budaya asing yang boleh memberi kesan kepada masyarakat tertentu. Boleh dilihat dari aspek yang lebih besar dan genting dalam isu sosial kini, apa pun status yang dikejar, apa pun kekayaan yang dikumpulkan, meskipun apakah ilmu yang dituntut, apabila kita kembali ke udara asal usul kita, harus beringat ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’,” jelas Khairi.

Menyentuh penggunaan haiwan dalam latar satiranya, Khairi menegaskan bahawa kajian menyeluruh harus dilakukan ke atas latar dan watak pilihan, dan digambarkan sesuai dengan wataknya, jika ia ayam yang berkokok, maka berkokoklah ia, jika ia mengeram, maka mengeramlah ia.

Apa-apa juga jenis watak yang penulis guna, mereka harus berpijak pada dunia nyata, dan mencari isu yang dekat dengan masyarakat. Tambah beliau, “Penggunaan satira akan meresap lebih dalam ke jiwa manusia dengan menggunakan kekuatan perumpamaan dan penghayatan.” Program bicara tersebut boleh ditonton di sini.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.