Oleh Orked Una
2 Ogos 2021, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Novela The Little Prince oleh Antoine de Saint-Exupéry yang diterbitkan dalam bahasa Perancis dan Inggeris pada tahun 1943 tidak perlu diperkenalkan lagi kerana naskhah agung ini telah diterjemahkan dalam banyak bahasa, diadaptasikan kepada pelbagai medium dan kekal dalam carta lima buku terlaris di dunia.

Terjemahan pertama naskhah ini dalam bahasa Melayu telah diterbitkan pada tahun 2015, oleh Peanutzine dengan tajuk Putera Cilik, terjemahan Ezzah Mahmud. Bagi meraikan perjuangan menambahkan terjemahan karya asing dalam bahasa kebangsaan, The Biblio Press menerbitkan Putera Kecil yang diterjemahkan oleh Azzah Abdul Rahman.

Bagi mempromosikan buku terjemahan baharu, berilustrasi dan berwarna penuh, The Biblio Press membawa perbincangan Putera Kecil melalui Twitter Spaces @BiblioPress.

Sesi perbincangan ini membawakan Shamsul Amin, pengurus penerbitan sebagai moderator dan ahli panel, Azzah Abdul Rahman, penterjemah Putera Kecil; Aliff Basri, editor Putera Kecil; dan Kiridaren Jayakumar, pengasas The Bibliphole.

Menurut Azzah, pada awalnya beliau tidak mengetahui apakah signifikan tugu seorang budak lelaki dan seekor musang pada pusat tarikan pelancong, kampung kebudayaan dan taman tema di Korea. Azzah mula membaca naskhah ini pada tahun 2018 ketika berpeluang melawat tanah kelahiran Antoine.

Seterusnya ketika berada di pesta buku Instanbul, Azzah dapat melihat banyak buku The Little Prince dalam pelbagai versi dan gaya ilustrasi. Dari situ beliau jatuh hati dan mahu menterjemahkan karya tersebut.

Jawab Azzah ketika ditanya mengapa beliau mahu menterjemahkan semula The Little Prince? “Penterjemahan semula ini bukanlah tidak mengiktiraf terjemahan terbitan Peanutzin. Saya mahu terjemahkan karya ini untuk menghargainya sendiri dan mahu sampaikan The Little Prince lebih meluas lagi kepada rakyat Malaysia, penutur bahasa Melayu. Negara lain mengangkat naskhah ini, jadi saya tidak mahu rakyat Malaysia ketinggalan.”

Ketika menyunting terjemahan yang dihasilkan olehnya, Aliff Basri membacakan setiap bab kepada anaknya untuk melihat penerimaan anak kecil berusia sembilan tahun terhadap buku cerita untuk bacaan kanak-kanak. Beliau mendapati bahawa pada awal bab, walaupun jalan ceritanya mudah, namun berat dengan falsafah dan memerlukan beliau untuk memberikan penerangan kepada anaknya.

Mendengar cerita Putera Kecil menimbulkan perasaan ingin tahu anaknya tentang tema yang disampaikan dan maksud pilihan perkataan dalam Putera Kecil.

“Buku ini sangat sesuai untuk orang dewasa menghargai kanak-kanak dan merupakan buku yang baik untuk persiapkan anak-anak tentang globalisasi,” kata Aliff.

Pendapat Aliff mengenai naskhah ini sebenarnya sesuai sebagai bacaan orang dewasa kerana banyak refleksi boleh dilakukan, dipersetujui oleh semua pembicara dan juga moderator.

Isu dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1940-an ini, masih relevan hingga sekarang dan sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat. Namun begitu, kanak-kanak perlu dipandu oleh orang dewasa supaya dapat mendalami maksud penceritaan yang mahu disampaikan oleh penulis.

Naskhah Putera Kecil ini dijual dengan promo istimewa: pra tempah edisi penterjemah, pra tempah buku sahaja atau pilihan pra tempah empat kombo edisi istimewa. Pra tempah ini boleh dilakukan melalui Shopee bibliophile.os.

Pihak Biblio Press turut membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menterjemahkan karya asing, sama ada karya hak awam atau karya yang masih berhak cipta supaya ramai pembaca boleh menikmati bacaan karya luar negara dalam bahasa Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.