Oleh Hakim Bahaman
29 Julai 2021, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Episod kedua Anjung Kak Long bersama-sama Nisah Haron di Twitter Spaces pada kali ini membawakan tajuk “Tujuh Bunga Melayu dalam Pantun”. Sebagai pembukaan, Nisah membawa pendengar mengimbau kenangan sewaktu kecil dengan mengingatkan kembali lagu rakyat yang liriknya berasal daripada pantun seperti “Pok Amai-Amai” dan “Timang Tinggi-Tinggi”. Lagu-lagu ini membuktikan bahawa pantun sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu sejak dari usia kanak-kanak lagi.

Menurut Nisah, orang Melayu tidak mudah untuk menzahirkan perasaan secara terang-terangan. Oleh itu, pantun merupakan antara medium dalam kalangan masyarakat Melayu untuk menyimpan dan memanifestasikan emosi dengan menggunakan perkataan yang berlapis-lapis.

Bunga Tanjung.

Pantun juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu pada masa dahulu menerapkan unsur alam seperti bunga yang dijadikan sebagai pembayang dalam pantun. Nisah memetik hasil kajian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Zarina Tajudin, “Terdapat lebih 30 jenis bunga yang disebutkan dalam pantun Melayu.” Namun untuk episod pada kali ini hanya membicarakan tentang tujuh bunga yang menjadi pilihan Kak Long.  Bunga-bunga tersebut ialah Kesidang, Melur, Tanjung, Cempaka, Kenanga, Mawar dan Selasih.

Ketujuh-tujuh bunga ini menjadi pilihan kerana warna dan baunya serta unsur simbolik terhadap masyarakat melayu sama ada disebut sebagai pembayang atau maksud sesebuah pantun khususnya wanita.

Cukup wangi bunga kesidang,

     Makin pagi makin berbau;

Berapa tinggi Gunung Ledang,

     Sudah daki baru tahu.

(Kurik Kundi Merah Saga)

 

Kesidang berwarna putih dan bersih, kembangnya sejambak, wangi lagi mewangikan. Sifat bunga kesidang yang “memanjat” ini menjadi turut terkait dengan  pembayang bagi pantun di atas iaitu Gunung Ledang. Walaupun kini terletak di dalam negeri Johor, Gunung Ledang merupakan panduan pelayar untuk masuk ke Pelabuhan Melaka pada zaman dahulu. Oleh itu, wajarlah bunga ini dipilih sebagai bunga rasmi negeri Melaka yang juga merupakan bunga kegemaran Nisah.

Bunga Kenanga.

Manakala, bunga yang bersaiz kecil, tetapi berbau wangi seperti Melur dan Kenanga membawa simbolik wanita Melayu yang kecil molek, bijak dan santun tetapi masih mampu menarik perhatian. Bunga-bunga ini selalunya menjadi pilihan untuk disanggul.

Bunga Tanjung pula melambangkan wanita bangsawan Melayu kerana berbau harum dan pokoknya tinggi. Cempaka, menurut Nisah melambangkan sifat srikandi melayu kerana memiliki struktur yang kuat pada kelopaknya. Beliau sendiri memilih nama “Cempaka Wilis” bagi salah satu watak utama novel remaja beliau Tawarikh Cinta. Manakala, bunga mawar desa yang harum berduri pula membawa lambang perempuan cantik yang pintar mempertahankan dirinya.

Bunga Selasih.

Terakhir, Nisah memetik beberapa rangkap pantun yang menyebut bunga Selasih. Bunga Selasih selalunya disebut dalam pantun yang berkaitan dengan perkasihan.

Kalau merendam biji selasih,

     Minum mari dalam cawan;

Sudah jodoh bertemu kasih,

     Laksana paku lekat di papan.

(Kurik Kundi Merah Saga)

 

Nisah turut mengingatkan bahawa pantun ialah cerminan masyarakat. Apatah lagi mutakhir ini, pantun dijadikan sumber humor yang tidak bertempat, itulah cerminan masyarakat kita sebenarnya. Oleh itu, para pendengar diseru untuk menghargai fungsi pantun yang sarat dengan hasil pemerhatian teliti orang Melayu terhadap alam.

Nisah telah membicarakan fungsi sebenar pantun dengan menggunakan pendekatan yang santai dan padat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.