28 Julai 2021, 21:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bicara karyawan pada kali ini membicarakan topik berkaitan “Dewan Siswa: Mulakan Penulisan Anda Di Sini” yang menampilkan Puan Shakira Khairudin, Editor Dewan Siswa. Bicara yang diadakan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini telah membincangkan tentang perjalanan majalah Dewan Siswa yang telah menemui pembaca sejak 42 tahun yang lalu.

Dewan Siswa Bil. 07/2021.

Dengan moto “Wadah Ilmu Remaja”, Dewan Siswa telah menjadi antara rujukan utama dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan juga pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Menurut Puan Shakira, “Dewan Siswa bukan sahaja menjadi rujukan dalam bidang akademik, malah Dewan Siswa turut menyediakan ruang untuk menulis bagi penulis pemula dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan IPT.”

Yang menariknya, setiap karya yang berjaya diterbitkan dalam Dewan Siswa akan dinilai untuk Hadiah Tunas Cipta. Secara tidak langsung, ruang dan peluang yang diberikan tersebut dapat melahirkan lebih banyak penulis pemula dalam dunia penulisan.

Tidak dinafikan bahawa usia 42 tahun bukan suatu perjalanan yang mudah untuk memastikan majalah tersebut terus kekal relevan, terutamanya dalam kepesatan dunia digital pada masa kini. “Hanya dengan satu klik, pembaca atau pelayar mampu memperoleh setiap maklumat yang dikehendaki,” ujar Puan Shakira yang juga berpendapat bahawa majalah bercetak masih relevan sebagai rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sallehuddin Ibrahim, Pengasas MyBacaton.

Program yang diadakan pada tengah hari tadi turut menampilkan Encik Sallehuddin Ibrahim, Pengasas MyBacaton yang berkongsikan tentang majalah Dewan Siswa yang menjadi rujukan dalam bengkel penulisan yang telah dianjurkan. Menurut beliau, penulisan yang baik hadir daripada bahan bacaan yang baik.

 

Sidang editor majalah Dewan Siswa amat mengalu-alukan karya dan penulisan dalam kalangan pelayar yang berminat. Setiap karya atau penulisan tersebut boleh e-mel kepada sidang editor majalah Dewan Siswa, iaitu [email protected] dan [email protected]. Setiap penulisan yang dihantar hendaklah disertakan maklumat peribadi yang lengkap. Siaran langsung bicara karyawan tersebut boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.