Oleh Hakim Bahaman
19 Julai 2021, 23:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setelah berjaya menganjurkan siri bual bicara dalam talian “Secangkir Kopi Jam 10” melalui laman Facebook yang kini sudah memasuki musim ketiga, Nisah Haron terus melebarkan sayapnya pula ke Twitter Spaces dengan program perkongsian “Anjung Kak Long”.

Episod pengenalan siri bual bicara pada kali ini telah diadakan di Twitter Spaces @nisahharon dengan topik “Buku yang Merobah Duniaku”. Melalui siri ini, Nisah memperkenalkan satu jenama baharu dengan membahasakan diri beliau sebagai “Kak Long” sepanjang sesi tersebut berlangsung.

Nisah Haron memulakan perkongsian dengan mengimbau perjalanan pembacaan beliau sejak dari kecil. Berkebolehan membaca tulisan jawi, beliau sering membaca koleksi buku syair milik nenda beliau. Ibunda beliau pula menjadi sumber bahan bacaan bahasa Inggeris pada ketika itu. Bahkan seawal berada di tingkatan satu, beliau membiasakan tabiat untuk menulis setiap tajuk buku yang dibacanya di dalam buku catatan peribadi!

Para pendengar episod pada kali ini sangat bertuah kerana Nisah telah memperkenalkan buku yang mempengaruhi perjalanan penulisan beliau dalam tiga fasa yang berbeza. Fasa pertama ialah bahan bacaan beliau ketika remaja yang mengesankan seperti Totto-Chan, Gadis Kecil di Jendela, novel terjemahan oleh Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain yang berjudul Isabella dan novel Khadijah Hashim seperti Badai Semalam, Mira Edora dan  Laila Azwa Gadisku.

Apabila direnung kembali, ternyata beliau menyukai karya Khadijah Hashim kerana tema memperkasa wanita yang ada dalam novel tersebut. “Khadijah Hashim membawa watak wanita yang berjaya mencapai cita-cita dan berani mencipta solusi. Tambahan lagi, watak wanita ini ditulis secara begitu bersahaja,” ujar Nisah.

Bagi fasa kedua pula, Nisah memperkenalkan buku bergenre fantasi. Beliau mengangkat siri Saga Artakusiad, karya Ahmad Patria sebagai karya yang membuka mata beliau bahawa ternyata kisah fantasi boleh ditulis dengan baik menggunakan bahasa ibunda. Selain itu, beliau turut menyebut novel Syonagar oleh Hizairi Othman dan novel fantasi penulis Amerika Syarikat, David Eddings sebagai bahan bacaan beliau pada fasa ini.

Seterusnya, fasa ketiga ialah buku yang menjadikan beliau sebagai seorang penulis seperti Dua Dunia, karya Ghazali Tocheh dan novel Di. Ar. Ti dan sekuelnya, Sentuhan Oedipus oleh Rahmat Haroun. Menurut beliau, novel berlatar dunia pelajar perubatan oleh Rahmat Haroun ini menjadi pendorong beliau untuk menghasilkan Mencari Locus Standi yang berkisarkan tentang pelajar undang-undang pula.

Selain itu, Nisah Haron turut memenuhi permintaan pendengar dengan berkongsi beberapa bahan bacaan yang sering diulang baca seperti puisi SN Baha Zain, puisi awal SN  Zurinah Hassan dan siri  Ingatan kepada Kawan oleh Zaen Kasturi.

Sesi sulung ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan sebanyak 50 orang pendengar. Selain itu, Nisah turut memperkenalkan tanda pagar #anjungkaklong bagi sebarang ciapan berkaitan siri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.