Oleh Hakim Bahaman
19 Julai 2021, 12:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) telah menganjurkan dua bengkel deklamasi puisi pada 15 dan 16 Julai 2021 yang lalu. Bengkel ini dianjurkan untuk meningkatkan kualiti persembahan kepada bakal deklamator yang akan berentap di Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) peringkat negeri Selangor dan seterusnya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan kelak.

Pembentangan oleh Cikgu Lim.

Bengkel ini dianjurkan melalui aplikasi Zoom oleh Cikgu Lim Ah Nee untuk sesi pertama dan Pegawai Waran 1 Marzelan Md. Jusoh untuk sesi malam kedua. Kedua-dua pembimbing ini merupakan pendeklamasi terkenal di negeri Selangor.

Kedua-dua pembimbing tersebut telah berkongsi pelbagai ilmu dan petua untuk membuat persembahan yang baik. Cikgu Lim misalnya, menekankan aspek artikulasi dalam persembahan iaitu bait-bait puisi perlu dibunyikan secara seimbang, berintonasi dan mengikut jeda yang tepat.

Manakala Tuan Marzelan pula menasihati peserta supaya menghafal dan menghayati setiap bait puisi yang dideklamasikan. Para peserta juga diingatkan untuk mencari nada yang sesuai untuk dibawakan sewaktu mendeklamasi puisi.

Selain itu, peserta turut diberikan beberapa petua seperti penggunaan mimik muka dan alat bantu persembahan yang selari dengan bait-bait puisi yang dibaca. Para peserta juga diingatkan supaya mengenal pasti kesan emosi yang ingin dipamerkan semasa mendeklamasikan puisi tersebut di hadapan panel hakim dan penonton.

Cikgu Lim dan Tuan Marzelan juga menggalakkan para peserta yang akan menyertai SDPK nanti untuk berhubung dengan penulis puisi yang akan dideklamasikan nanti demi memahami maksud dan tujuan penulis menuliskan puisi dengan lebih baik.

Yang menariknya, peserta berpeluang untuk mendengar persembahan deklamasi puisi oleh Tuan Marzelan yang bertajuk “Jangan Gendang Bertingkah Lagi”, tulisan Ab Rani Embi. Beliau pernah mendeklamasikan puisi ini sewaktu mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di SDPK bagi peringkat kebangsaan pada tahun lalu.

SDPK dijalankan pada setiap tahun dan peserta dikehendaki untuk mendeklamasikan puisi daripada antologi Tanggam Warisan, terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Antara peserta yang berpeluang untuk menyertai bengkel tersebut yang diadakan secara dalam talian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.