14 Julai 2021, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Latiff Mohidin begitu sinonim dengan puisi cinta. Namun demikian, dalam kemegahan kejayaan penulis tiga serangkai ini, ada dua lagi nama besar, iaitu Jiwa Merana Aziz atau digelar J.M Aziz dan T. Alias Taib yang lebih mesra digelar Pak Engku dalam kalangan penulis muda dan baharu.

Pak Engku, seorang penulis yang tekun dan berdaya. Selain itu, beliau begitu mencintai kamus sehingga banyak koleksi kamus dimiliki olehnya sebagai rujukan untuk menulis. Berbeza pula dengan J.M Aziz, beliau digelar sebagai pemuisi laut. Beliau banyak menulis tentang laut, penyu, karang dan nelayan.

Pada pandangan penulis, tidak ada penulis yang setekun beliau. Sama tekunnya dengan Marzuki Ali yang menulis puisi tentang keadaan hutan di Terengganu sehingga terhasil karya berjudul Jeritan Satwa Luka yang secara khusus bercerita tentang satwa dan hutan.

Namun demikian, banyak di antara kita yang mungkin terlupa bahawa J.M Aziz juga seorang manusia biasa, seorang pemuisi yang tidak boleh lari daripada bercakap tentang cinta. Puisi J.M Aziz, “Permata untuk Isteri” membuktikan bahawa beliau boleh bercakap tentang cinta dan jika beliau ingin bercakap tentang cinta, puisi itulah penanda aras kualitinya.

J.M Aziz merupakan penyair yang berasal dari Terengganu. Sejarah hidup beliau telah dirakamkan oleh banyak pihak, terutama berkaitan dengan penyakit yang dihidap oleh beliau. Susulan daripada peristiwa itulah nama pena Jiwa Merana (J.M) digunakan selepas dicadangkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said. Nasib yang menimpa J.M Aziz tidak jauh bezanya dengan Elizabeth Browning, seorang penyair abad ke-17 zaman Victoria.

Sumber: Google

Elizabeth, seorang bangsawan yang menentang sistem penghambaan orang kulit hitam. Beliau juga menerima nasib yang hampir serupa dengan J.M Aziz, iaitu menghidap penyakit yang meragut sebahagian keupayaan tubuh badan mereka. Seperti Aziz, Elizabeth menulis puisi cinta untuk suaminya yang berjudul “How Do I Love Thee?”. Puisi ini yang menjadikan beliau dikenali selepas itu.

Persamaan mereka berdua ialah menulis tentang cinta daripada perspektif yang sangat berbeza daripada penyair pada zaman mereka. Perasaan dan nurani yang ditumpahkan dalam puisi mereka bukanlah perkara yang boleh dibuat-buat atau dibentuk dengan pemikiran semata-mata, melainkan dengan keresahan dan keredaan yang besar serta rasa akur yang tidak mungkin kita boleh kecap.

Penulis tidak akan membuat sebarang analisis tentang puisi “Permata Untuk Isteri” atau “How Do I Love Thee?”, tetapi penulis akan sertakan dalam penulisan ini kedua-dua buah puisi berkenaan untuk dinikmati oleh semua dengan wajar. Hal ini disebabkan oleh, ada dalam kalangan kita yang belum mengenali siapakah J.M Aziz atau Elizabeth Browning.

Puisi ialah tentang “rasa” dan perasaan, manakala pemikiran datang selepas itu. Penyair boleh menulis dengan pemikiran kerana tahap kebitaraan mereka yang luar biasa. Namun demikian, pemikiran tidak pernah berjaya menghasilkan “rasa” kerana rasa datang daripada keresahan dan keresahan datang daripada hati.

Walau bagaimanapun, puisi “Permata Untuk Isteri” dan “How Do I Love Thee?” telah melintasi horizon pemikiran dan kebitaraan kerana rasa dan ketulusan yang ditampilkan membina pemikirannya yang tersendiri. Pemikiran terhasil daripada “rasa” yang dilalui oleh kedua-dua penulis ini.

Permata Untuk Isteri

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi

dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri

untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita

untuk kau beri erti dengan kelembutan

untuk kau hargai dengan kasih sayang.

 

Ku ingin kau jadi wanita mulia

yang tahu harga budi dan hati

seorang lelaki bernama suami

 

Kerana engkau isteri

ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini

tak semudah yang kita janjikan

kerana kau isteriku.

 

How Do I Love Thee? (Soneta 43)

How do I love thee? Let me count the ways.

I love thee to the depth and breadth and height

my soul can reach, when feeling out of sight

for the ends of being and ideal grace.

I love thee to the level of every day’s

most quiet need, by sun and candle-light.

I love thee freely, as men strive for right.

I love thee purely, as they turn from praise.

I love thee with the passion put to use

in my old griefs, and with my childhood’s faith.

I love thee with a love I seemed to lose

with my lost saints. I love thee with the breath,

smiles, tears, of all my life; and, if God choose,

i shall but love thee better after death.

Apabila kita bercakap tentang puisi cinta, ingatlah dua orang penyair ini yang bukan sahaja menulis tentang cinta, tetapi mereka menulis dalam “bahasa” cinta itu sendiri. Semoga dengan membaca kedua-dua sajak ini kita dapat mengenali cinta daripada mata seorang perana.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi