Oleh Hakim Bahaman
12 Julai 2021, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Katapillar Books membawakan kembali Mengopi Puisi Episod 3 dengan tajuk “Asyik Puisi, Prosa Macam Mana?”.  Sesi di Twitter Spaces @katapillarbooks ini dikendalikan oleh Za’im Yusoff dan Dr. Fahd Razy. Ahli panel pula terdiri daripada nama-nama yang gah dalam dunia penulisan tanah air seperti Hafizah Iszahanid, Wan Nor Azriq, Shahkang, Rebecca Ilham dan Khairil Idham Ismail.

Episod kali ini membincangkan cabaran yang dihadapi oleh para penulis prosa dalam mendepani perubahan gaya hidup orang muda masa kini yang mahukan semuanya serba pantas, padat dan bergantung kepada teknologi digital.

Menurut Shahkang, kekuatan prosa ialah memberikan ruang dan peluang untuk memasukkan perincian yang tidak dapat diungkap oleh medium lain.  Hafizah Iszahanid pula berkata, prosa memberikan kebebasan berimaginasi yang sewaktu pembacaan. Ini berbeza dengan medium filem, iaitu para penonton dihidangkan dengan imaginasi pengarah filem itu sendiri.

Selain itu, prosa juga kekal relevan kerana memiliki peminatnya tersendiri serta boleh beradaptasi dalam pelbagai bentuk dan platform. Prosa akan terus hidup selagi ada yang memperjuangkan dan menikmatinya.

Hafizah Iszahanid.

Gaya penulisan cerpen semasa tanah air turut dibincangkan pada episod kali ini. Secara umumnya, penulisan cerpen Malaysia masih terikat dengan unsur realisme dan menuntut kesegaran dalam persembahan. Walaupun begitu, ada penulis semasa dianggap menghasilkan karya yang bersifat avant-garda, urban dan bergaya baharu, misalnya Azrin Fauzi.

Para penulis juga diseru untuk menghasilkan karya sebagai kritik sosial dan politik, tetapi secara bijaksana dan artistik. Khairil Idham pula mengingatkan bahawa penulis perlu memberikan kritikan dan renungan kepada isu semasa, tetapi perlu menggabungkan elemen seperti falsafah, intelektual, emosi dan nilai estetika untuk menghasilkan karya yang menjentik.

Para pendengar juga bertuah kerana ahli panel sudi berkongsi pengalaman penulisan dan senarai buku “wajib baca” mereka. Sesi sembang santai ini berlangsung selama dua jam dan berakhir pada pukul 11:11 malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.